Oleh pada 18 Aug 2021 kategori

Zambia adalah sebuah negara yang terletak di bahagian selatan benua Afrika. Negara itu baru sahaja selesai menjalani pengundian pemilihan presiden dan keputusannya memihak kepada pembangkang.

hakainde hichilema 471

Para penyokong parti pembangkang dilihat berpesta di ibu negeri Zambia iaitu Lusaka apabila calon presiden, Hakainde Hichilema, berjaya mengalahkan Presiden Edgar Lungu dengan perbezaan hampir sejuta undi

Hichilema akhirnya berjaya menjadi presiden Zambia setelah lima kali gagal dalam pilihan raya sebagai pembangkang. Siapakah presiden baru ini dan bagaimana dia boleh berjaya setelah berkali-kali gagal? Berikut adalah kisah Hakainde Hichelima.

Latar belakang Hakainde Hichilema

Hichilema dilahirkan pada 4 Jun 1962 dalam sebuah keluarga miskin di selatan Zambia. Sejak kecil lagi, dia sering membantu keluarganya dengan mengembala lembu ternakan mereka.

Kemiskinan tidak menghalang Hichilema untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dia mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di University of Zambia dalam bidang ekonomi dan pentadbiran perniagaan.

hichilema muda

Hichilema ketika muda

Hichilema kemudian melanjutkan pula pelajarannya di University of Birmingham di UK dan berjaya memperolehi MBA. Dia kembali ke kampung halamannya untuk mengetuai sebuah syarikat UK yang berpangkalan di Zambia.

Dia juga terlibat dalam pelbagai perniagaan merangkumi pengurusan hartanah, kesihatan, perundingan kewangan, pelancongan dan ternakan. Hichilema juga memiliki ladang ternakan lembu yang terbesar di Zambia. Dia menternak lembu kerana ia merupakan hobinya sejak kecil lagi.

Perjalanan politik Hichilema

Setelah menjadi usahawan elit di Zambia, Hichilema aktif pula dalam bidang politik. Dia kali pertama bertanding sebagai calon presiden adalah pada tahun 2006 sebagai peneraju Parti Bersatu untuk Pembangunan Nasional (UPND). Organisasi itu sebahagiannya dibiayai oleh Hichilema sendiri.

Namun, Hichilema kalah dalam pilihan raya itu. Kekalahan Hichilema berterusan dalam pilihan raya berikutnya iaitu pada tahun 2008, 2011, 2015 dan 2016. Nasib baik menyebelahi Hichilema dalam cubaan kali keenamnya pada tahun ini. 

hichilema

Pada pilihan raya presiden 2021, Hichilema disokong oleh parti-parti pembangkang Zambia lain yang turut tidak berpuas hati dengan pemerintahan Presiden Lungu dan keadaan ekonomi Zambia yang tenat.

Penganalisis politik Zambia berkata, kerjaya Hichilema selama 15 tahun dalam bidang politik sebagai pembangkang menyiapkannya untuk menyandang jawatan presiden. Dia sudah mempunyai pengalaman yang dalam dan tahu selok-belok politik di Zambia.

Walau bagaimanapun, tugas sukar menanti Hichilema untuk memulihkan semula negaranya. Zambia merupakan pengeluar tembaga kedua terbesar di Afrika tetapi ekonominya semakin merudum setelah kejatuhan harga tembaga sejak 2011. Pandemik COVID-19 menambahkan lagi kesengsaraan penduduk di negara itu.

Bagaimana Hichilema berjaya menjadi presiden

Punca utama mengapa Hichilema diundi sebagai presiden adalah kerana rakyat mahukan pemulihan ekonomi. Kerajaan pimpinan Presiden Lungu gagal memulihkan ekonomi sebaliknya menambahkan lagi hutang negara ke tahap yang kritikal.

presiden edgar lungu

Edgar Lungu

Parti Barisan Patriotik yang diketuai oleh Lungu juga sering dikaitkan dengan korupsi. Lungu yang dilantik sebagai presiden sejak 2011 gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan cukai, menyediakan lebih banyak pekerjaan serta peruntukan bagi rakyat Zambia memulakan perniagaan sendiri. 

Hampir separuh daripada tujuh juta pengundi di Zambia adalah individu yang berusia bawah 35 tahun dan kebanyakannya tiada pekerjaan. Sebahagian besar golongan belia memberi sokongan mereka kepada Hichilema dalam pemilihan kali ini.

Rakyat mahukan seorang usahawan berjaya dan berpengalaman seperti Hichilema untuk memacu semula ekonomi negara. Mereka percaya Hichilema mampu melakukan lebih baik dalam mentadbir ekonomi dan berurusan dengan komuniti antarabangsa berbanding Presiden Lungu.

Pakar politik juga percaya kejayaan Hichilema adalah sebagai satu bentuk "protes" rakyat terhadap kepimpinan Presiden Lungu. Sebelum ini, majoriti pengundi tidak mengundi Hichilema dalam lima pemilihan presiden yang disertainya.

hh 443

Hichilema bijak mendekati pengundi belia melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter. Selain politik, Hichilema juga berkongsi isu-isu lain di media sosial seperti bagaimana dia menguruskan perniagaannya sehingga berjaya menjadi individu paling kaya di Zambia. Perkara itu berjaya menaikkan kepercayaan pengundi terutamanya golongan belia.

Rakyat Zambia berharap agar penyerahan kuasa akan berlaku dengan aman. Sebelum ini, rejim Presiden Lungu telah beberapa kali menahan Hichilema atas pelbagai tuduhan yang dilihat bermotifkan politik.

Sebaliknya, Hichilema berjanji tidak akan melakukan perkara yang sama kepada pembangkang setelah menjadi presiden.



Hakcipta iluminasi.com (2017)