Oleh pada 19 Dec 2017 kategori

jan koum dan brian action pengasas whatsapp inc

Sumber Foto: buhoweb.com

Siapa sangka seorang pemuda yang hidup susah papa kedana mampu mengubah nasibnya menjadi salah seorang manusia terkaya di muka bumi ini? Kenali pengasas aplikasi perhubungan Jan Koum dan kisah hidup beliau. 

Kehidupan Awal di Ukrain

ukraine kyiv 1970s

Sumber Foto: shutterstock.com

Jan Koum dilahirkan pada 24 February 1976 di Kiev, Ukrain SSR, Soviet Union kepada ibu bapa berbangsa Yahudi sebagai anak tunggal. Beliau menjalani kehidupan sederhana di sebuah bandar kecil yang terbabit dengan pertelingkahan politik.

Mereka turut berdepan dengan rakyat yang mempunyai perasaan kebencian kepada bangsa Yahudi (anti-semitism) di negara tersebut.

Akibat keadaan yang kurang selamat di tanah air, keluarga beliau membuat keputusan untuk berpindah ke Amerika Syarikat. Jan bersama ibu dan nenek beliau ke Mountain View, California pada tahun 1992 dan tinggal di sebuah apartment kecil.

Bapa beliau akan bersama mereka kemudian. Walaubagaimanapun, bapa beliau terlantar sakit ketika di Ukrain dan tidak dapat bersama mereka di AS. Akhirnya, bapa beliau meninggal dunia pada tahun 1997.

Jan berusia 16 tahun ketika mula menjejakkan kaki ke AS. Beliau berasa sangat mencabar untuk menyesuaikan diri di sebuah negara baharu. Namun, beliau tiada pilihan lain.

Kehidupan Setelah Berpindah Ke Amerika Syarikat

jan koum di san jose state university

Sumber Foto: dayonline.ru

Ketika di AS, mereka hidup atas elaun kebajikan. Kemudian ibu beliau mula mengambil upah menjaga kanak-kanak bagi menyara keluarga manakala beliau sendiri turut bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kedai runcit. 

Ketika di sekolah menengah, beliau menjadi berminat dengan programming dan mempunyai bakat dalam bidang tersebut. Beliau belajar sendiri ilmu programming melalui manual yang dibeli dari kedai.

Pada usia 18 tahun beliau sudah berjaya mempunyai skil sebagai seorang jurutera rangkaian komputer. 

Beliau kemudian menyambung pelajaran ke San Jose State University. Sebagai pelajar, beliau membuat kerja sampingan di Ernst & Young sebagai penguji keselamatan bagi membayar yuran pengajian.

Perkenalan Dengan Pengasas Bersama WhatsApp, Brian Acton

jan koum dan brian acton pengasa bersama whatsapp 296

Sumber Foto: dailymail.co.uk

Pada tahun 1997, semasa masih bekerja di syarikat ini, beliau ditugaskan untuk menguji tahap keselamatan sistem pengiklanan sebuah enjin carian iaitu Yahoo. Ketika melakukan tugas ini, beliau berkenalan dengan Brian Acton, salah seorang pekerja terawal di Yahoo. 

Selepas beberapa bulan, Jan menyertai Yahoo sebagai jurutera infrastruktur, ketika masih lagi belajar di San Jose State University. Beberapa hari selepas beliau menyertai Yahoo, syarikat tersebut menghadapi masalah kerosakan sistem.

Beliau sedang berada di kelas ketika kerosakan ini berlaku, dan beliau telah dipanggil untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Ketika saat itu, beliau sedar beliau perlu memilih antara universiti atau kerja. Beliau membuat keputusan untuk berhenti belajar dan terus bekerja di Yahoo. 

Jan dan Brian sama-sama bekerja di Yahoo selama 9 tahun. Ketika waktu tersebut, mereka bukan sahaja menjadi rakan karib, malah turut mempunyai minat yang sama dalam teknologi media sosial yang sedang berkembang. 

Walaubagaimanapun, Yahoo tidak memberi peluang kepada mereka untuk menerokai bidang baru tersebut. Jadi, mereka berhenti kerja pada tahun 2007 bagi mencuba sesuatu yang baru.

Kedua-dua mereka mengambil cuti selama setahun dan mengembara ke Amerika Selatan. Setelah pulang ke AS, kedua-dua mereka masing-masing memohon pekerjaan di Facebook dan Twitter, dan kedua-dua permohonan mereka telah ditolak. 

Bermulanya Perjalanan Syarikat Aplikasi WhatsApp Inc.

jan koum mengasaskan whatsapp inc

Sumber Foto: smartchoiceshealthyliving.com

Pada tahun 2009, Jan membeli sebuah iPhone. Ketika mula menggunakan App Stores, beliau sedar akan potensi yang terdapat di pasaran bagi aplikasi yang boleh digunakan di iPhone. 

Kesedaran ini memberi idea kepada beliau untuk menghasilkan aplikasi kos rendah yang memudahkan komunikasi.

Teruja dengan idea tersebut, beliau terus bertemu Brian dan kedua-dua mereka menubuhkan sebuah syarikat baharu iaitu WhatsApp Inc. pada ulang tahun hari lahir Jan pada 24 Februari 2009. 

Pejabat pertama WhatsApp merupakan sebuah gudang yang dikongsi bersama dengan sebuah syarikat lain iaitu Evernote. Mereka hanya mempunyai beberapa ruangan kerja yang kecil serta pekerja terpaksa menggunakan blanket dek cuaca sejuk kerana tidak mempunyai pemanas.  

Antara prinsip asas  syarikat mereka adalah mereka tidak akan meletakkan sebarang iklan. Duo itu melancarkan aplikasi whatsapps pada awal tahun 2010. Pada awalnya, aplikasi ini sering kali crash dan mengalami banyak masalah.

Selepas beberapa bulan percubaan yang penuh dengan kekecewaan, Jan hampir-hampir berputus asa namun Brian meyakinkan beliau untuk memberikan sedikit masa lagi. 

Pada ketika itu, tidak terdapat banyak aplikasi mesej segera, dan lama kelamaan WhatsApp mendapat tempat di hati pengguna dan menjadi popular walaupun tiada sebarang pemasaran. 

Berjaya Menarik Perhatian CEO Facebook Mark Zuckerberg

mark zuckerberg bertemu jan koum

Sumber Foto: blog.webskitters.com

Populariti yang semakin meningkat membolehkan pengasas syarikat tersebut untuk mendapatkan pelaburan dari luar bagi menambah baik produk mereka. Populariti WhatsApp berjaya menarik perhatian gergasi media sosial seperti Facebook.

Pada tahun 2012, CEO Facebook Mark Zuckerberg telah menelefon Jan dan mereka berjumpa. Mereka bertemu di kedai kopi dan kemudiannya melakukan aktiviti mendaki bersama.

Mereka terus berhubung dan melakukan beberapa lagi pendakian bersama. Keduanya berkongsi minat yang sama, iaitu menghubungkan dunia. 

Dalam masa beberapa bulan selepas WhatsApp stabil, pangkalan pengguna aplikasi ini semakin berkembang, dan pada Februari 2013, mereka mempunyai 200 juta pengguna aktif. 

Pada Februari 2014, Mark menjemput Jan untuk makan malam dan membuat penawaran untuk mengambilalih WhatsApp. Jan mengambil masa untuk berfikir selama beberapa hari. 

Pembelian/Pengambilalihan WhatsApp Inc. Oleh Facebook

facebook membeli whatsapp inc

Sumber Foto: edition.cnn.com

Pada Hari Valentine, Jan datang semula bertemu Mark, mengganggu dating Mark dan isteri beliau Priscilla. Mereka berbincang tentang terma pengambilalihan di situ juga. 

Pada malam sebelum menandatangani perjanjian berkenaan, Jan berjaga sehingga lewat malam untuk meneliti segalanya berkenaan kertas kerja bersama team pelabur dari Sequoia yang menyumbang wang bagi siri A WhatsApp. 

Memandu pulang pada pukul 2.30 pagi, tayar kereta beliau meletup pada kelajuan 120 km/h dan hampir-hampir mati. Simboliknya, keesokan harinya beliau menandatangani kertas kerja pengambilalihan oleh Facebook pada pintu pejabat lama beliau. 

Pejabat tersebut hanya beberapa blok dari ibu pejabat WhatsApp sekarang di Mountain View. 

Facebook membeli aplikasi WhatsApp dengan bayaran sebanyak US$ 19 bilion. Pada bulan sama pembelian, saham beliau dalam WhatsApp tiba-tiba melonjak kepada US$6.8 bilion. Pendapatan bersih beliau terus meningkat bersama peningkat nilai stok Facebook. 

Selepas pengambilalihan, Jan menyertai Lembaga Pengarah Facebook dan bersetuju dengan pembayaran gaji pokok sebanyak US$1, namun dengan stok option bernilai bilion US$.

Merupakan Seorang Yang Sangat Dermawan & Low Profile

jan koum seorang yang low profile dan dermawan

Sumber Foto: dld-conference.com

Beliau terus menerajui WhatsApp selepas pembelian. Beberapa bulan selepas penjualan WhatsApp, Jan menjadi sangat dermawan. Beliau secara senyap menderma sebanyak US$556 juta kepada Silicon Valley Community Foundation. 

Beliau juga menderma sebanyak US$1 juta kepada yayasan yang bertanggungjawab terhadap sistem sumber operasi terbuka (open-source OS) iaitu FreeBSD. Bagi beliau, FreeBSD sebelum ini telah sedikit sebanyak membantu beliau untuk keluar dari kemiskinan. Beliau merupakan penggunaan OS tersebut. 

Walaupun kini kaya raya, Jan tetap low-profile sepanjang karier beliau. Menurut beliau, penjualan WhatsApp kepada Facebook hanya mengubah 10% hidup beliau, dan beliau masih tinggal di rumah yang sama, berkawan dengan kawan-kawan yang sama. Tidak banyak perbezaan. 

Ketika WhatsApp dijual, ia memiliki lebih kurang 450 juta pengguna aktif. Kini, WhatsApp menjadi aplikasi mesej percuma paling popular dengan pangkalan pengguna sebanyak 1.2 bilion. 

Kehidupan Peribadi

jan koum dan kekasihnya

Sumber Foto: moejackson.com

Pada tahun 1996, beliau telah dikenakan perintah larangan oleh mahkamah daripada mendekati bekas kekasih beliau. Beliau dituduh telah menyerang secara lisan dan fizikal, serta turut mengancam bekas kekasih beliau. Baru-baru ini, beliau meluahkan perasaan kesal kerana berkelakuan sedemikian.

Ibu beliau meninggal dunia akibat barah pada tahun 2000. 

Rujukan:

  1. businessinsider.com
  2. thefamouspeople.com

tags : , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)