Di tengah-tengah kejiranan kediaman yang tenang di pinggir bandar Kyoto, Jepun, terdapat sebuah bukit setinggi 30 kaki yang dikelilingi rumput hijau. Bukit kecil itu dikatakan adalah tanah perkuburan bagi hidung lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terkorban semasa Jepun menyerang Korea pada akhir abad ke-16.

Dalam perang yang diketuai oleh panglima Toyotomi Hideyoshi, Jepun menyerang Korea pada tahun 1592 dengan tujuan untuk menakluki Semenanjung Korea dan China yang kemudiannya berada bawah jajahan Dinasti Ming.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika itu tentera Jepun sebahagian besarnya berjaya menguasai Semenanjung Korea tetapi tidak dapat meneruskan penguasaan mereka ke China. Panglima Hideyoshi mengarahkan tenteranya untuk berundur tetapi melakukan serangan semula setahun kemudian pada 1597.

tugu toyotomi hideyoshi

Namun, sekali lagi pertahanan yang kuat gabungan pasukan Dinasti Ming dan Joseon Korea telah memaksa jepun untuk berundur semula ke semenanjung selatan. Pertempuran antara dua kumpulan itu tertangguh selama 10 bulan lamanya. Akhirnya pada tahun 1598, permusuhan itu berakhir dengan kematian panglima Toyotomi Hideyoshi secara tiba-tiba.

Pada masa itu, para pahlawan sering memotong kepala musuh yang dikalahkan sebagai bukti kiraan mangsa mereka. Kepala yang dipotong itu biasanya diletakkan garam, dibungkus dalam tong dan dihantar pulang ke Jepun.

Setibanya di Jepun, kepala itu akan dihitung dan para jeneral akan memberi ganjaran berdasarkan jumlah tentera musuh yang berjaya dibunuh mereka.

samurai

Apabila pencerobohan ke atas Korea itu berlanjutan, bilangan kepala yang dihantar tentera Jepun adalah terlalu banyak dan menjadi hampir mustahil untuk dikendalikan.

Untuk memudahkan urusan, pihak Jepun memutuskan bahawa hanya hidung musuh sahaja yang akan dikumpulkan. Ada kalanya telinga juga dipotong bagi menggantikan hidung. Walaupun kepala musuh masih lagi dipenggal, akan tetapi hanya hidung dan telinga mereka sahaja yang dipotong dan dihantar pulang ke Jepun untuk kiraan.

Arahan yang diberikan oleh panglima Hideyoshi kepada tenteranya ketika pencerobohan adalah jelas. Dia mahu semua orang dihapuskan tanpa mengira usia, jantina, pangkat atau di mana sahaja mereka tinggal.

potong hidung

Seorang penulis, Stephen R. Turnbull, dalam bukunya bertajuk Samurai Invasion menceritakan kisah tentang seorang sami Jepun yang menggambarkan kekejaman yang dihadapi oleh penduduk Korea ketika pencerobohan berlaku.

"Bermula dari waktu matahari terbit, kami mengejar dan memburu mereka di kawasan pergunungan. Kami menjelajah desa-desa yang jaraknya kira-kira satu hari perjalanan. Apabila mereka dikepung, kami menyembelih mereka secara beramai-ramai.
Sepanjang 10 hari itu kami telah menahan lebih daripada 10,000 tawanan tetapi kami tidak memotong kepala mereka semua. Kami hanya memotong hidung mereka sahaja untuk dibawa pulang. Ketika itu jumlah kepala yang berjaya dikumpul oleh jeneral Yasuharu seorang sahaja mencecah hampir 2,000 orang."

Menurut Stephen R. Turnbull lagi, pasukan tentera Hideyoshi secara keseluruhannya berjaya mengumpulkan 185,738 kepala orang Korea dan 29,014 kepala orang Cina dalam pencerobohan itu.

stephen r turnbull

Stephen R. Turnbull

Angka ini dapat dipastikan dengan tepat kerana terdapat satu unit yang dipertanggungjawabkan ketika itu untuk merekod dan menyimpan resit semua kepala dan hidung yang dihantar pulang ke Jepun.

Namun, angka sebenar adalah sukar untuk diketahui kerana mungkin ada kepala dan hidung yang tidak berjaya sampai, dibuang atau hilang ketika dalam perjalanan. Selain itu, bukan semua hidung yang dipotong itu diambil daripada mayat orang Korea dan Cina yang terkorban.

Untuk meningkatkan kiraan, ramai tentera Jepun yang memotong hidung dan telinga mangsa dan tawanan yang masih hidup. Orang-orang Korea dilaporkan telah bertahan hidup selama bertahun-tahun tanpa hidung atau telinga.

gambar mimizuka pada poskad 1920 an

Gambar Mimizuka pada poskad 1920-an

Hidung dan telinga yang dihantar ke Jepun kemudian dikebumikan di dua tempat iaitu Kyoto dan Okayama. Di Kyoto, Hideyoshi mengarahkan agar hidung-hidung itu dikebumikan di tapak Kuil Hokoji dan satu tempat sembahan kecil telah dibina di bukit pengebumian itu.

Salah seorang sami besar di kuil itu mendakwa ia adalah belas kasihan yang ditunjukkan oleh panglima Hideyoshi terhadap mangsa-mangsanya. Namun, tidak dapat dipastikan mengapakah Hideyoshi memilih untuk menghormati korbannya dengan cara pengebumian Buddha.

Selama beberapa abad, Anak Bukit Mimizuka telah menjadi tapak lawatan penting bagi warga Korea yang berkunjung ke Jepun. Tapak sembahan yang dibina di atas timbunan itu diberi nama Hanazuka yang bermaksud "anak bukit hidung".

mimizuka 2

Beberapa dekat kemudian, kerana kedengaran terlalu kejam nama itu telah ditukar kepada Mimizuka yang bermaksud "anak bukit telinga". Walaupun diberi nama baru, ia sedikitpun tidak mengurangkan perasaan gerun terhadap kekejaman yang berlaku.

Anak Bukit Mimizuka ini tidaklah begitu popular di kalangan penduduk Jepun sehinggalah beberapa dekad yang lalu. Jepun yang sememangnya terkenal kerana sejarah mereka yang suka menindas membuatkan negara itu sering dibenci.

Pada tahun 1970-an, presiden Korea Selatan ketika itu iaitu Park Chung Hee telah menyatakan hasratnya agar Anak Bukit Mimizuka itu diratakan oleh pihak berkuasa Jepun.

park chung hee

Park Chung Hee, bekas presiden Korea Selatan

Ada juga yang berpendapat bahawa anak bukit itu sepatutnya dipindahkan ke Korea untuk menghormati roh-roh orang yang telah ditanam di situ. Manakala sebahagian yang lain pula merasakan bahawa ia harus dibiarkan sahaja di Jepun sebagai peringatan kepada keganasan yang dilakukan oleh negara matahari terbit itu.

Bagi kebanyakan orang Korea, anak bukit itu bukanlah salah satu penghormatan kepada mangsa tetapi lebih kepada monumen kejayaan yang diperolehi panglima Hideyoshi.

Rujukan :

1. NY Times

2. Korea Herald

3. Atlas Obscura




Hakcipta iluminasi.com (2017)