Hidung kita dipenuhi dengan hingus atau lebih tepat istilahnya, mukus yang memainkan peranan besar dalam sistem pertahanan badan kita.

Didapati di beberapa organ tubuh seperti hidung, telinga dan tekak, mukus sebenarnya datang dalam pelbagai jenis serta memastikan badan kita berfungsi dengan sempurna. Salah satu fungsi yang tidak kita sedari adalah mukus yang kita geli ini, sebenarnya menjadi rumah kepada organisma-organisma kecil yang digelarkan 'mikrob' - organisma yang membantu tubuh kita menyerap vitamin dan mencernakan makanan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun menjijikkan, peranan mukus atau dalam bahasa kasarnya 'tahi hidung' jarang sekali kita perkatakan dengan terperinci. Jom kita tengok kenapa kita ada tahi hidung.

Apa itu tahi hidung?

apa itu tahi hidung

Tahi hidung sebenarnya adalah mukus yang telah kering, hasil gabungan bendalir yang dihasilkan badan kita beserta partikel-partikel yang telah berjaya ditahan daripada memasuki sistem tubuh kita, melalui rongga hidung yang terbuka.

Selepas mukus berjaya memerangkap partikel-partikel halus ini, bulu-bulu lembut di dalam hidung kita yang dinamakan 'cilia' akan menolak mukus beserta partikel ini ke depan, untuk dinyahkan.

Bagaimanapun, ada mukus yang gagal dinyahkan sehingga menjadikannya kering - seterusnya membentuk apa yang kita labelkan sebagai 'tahi hidung.'

Patutkah kita korek hidung?

korek hidung khusyuk

Ini adalah soalan yang kerap kali ditanyakan. Perlukah kita korek hidung? Jawapan sebenarnya tidak perlu, kerana badan kita memang berupaya mengeluarkan mukus keras atau tahi hidung secara semulajadi.

Proses bersin menjadi antara cara utama mukus keras dikeluarkan. Selain itu, majoriti mukus yang dihasilkan badan kita juga ditelan oleh kita sebenarnya tanpa kita sedari. Walaupun begitu, ramai yang tetap suka korek hidung mereka kerana tabiat itu mengasyikkan. Samalah seperti korek telinga.

Dalam kajian yang telah dijalankan pada tahun 2006, didapati wujud risiko lebih tinggi pada individu yang gemar mengorek hidung untuk dijangkiti kuman yang dinamakan 'Staphylococcus aureus.'

Tabiat mengorek hidung juga boleh menyebabkan pendarahan pada bahagian hidung kerana hidung kita disambungkan dengan lima arteri darah yang dinamakan kiesselbach’s plexus. Bakteria 'Staphylococcus aureus' apabila sampai ke bahagian kulit yang terdedah, boleh menyebabkan jangkitan pada kulit serta kesan luka pada bahagian yang dijangkiti.

Saya nak juga korek hidung ni! Bagaimana?

mata stim korek hidung

Tak salah nak korek hidung, apatah lagi apabila tahi hidung kita menyebabkan kita rasa tak selesa. Bagaimanapun pakar perubatan menasihatkan agar kita menggunakan tisu. Selain itu, selepas selesai setiap sesi mengorek, pastikan anda membersihkan jari dengan air dan sabun anti bakteria bagi memastikan kebersihan tangan anda.

Sekiranya anda menghadapi kesukaran mengeluarkan tahi hidung yang keras, titiskan larutan saline dalam hidung anda yang ada dijual di farmasi.

Jika anda mengalami masalah tahi hidung yang selalu keras sehinggakan anda terpaksa selalu 'melombongnya'; minum air dalam kuantiti yang lebih banyak. Ini kerana mukus sebenarnya dibuat daripada air. Badan yang kekurangan air akan menyebabkan pengeluaran mukus lebih rendah, seterusnya menyebabkan kecairan mukus dalam anda berkurangan.

Apabila mukus anda terlalu pekat, itu yang menyebabkan tahi hidung keras mudah terkumpul di hidung sehingga membuatkan anda dan mungkin juga orang lain, merasa tidak selesa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)