Memiliki tanah sendiri merupakan satu impian yang diangankan ramai orang. Berikutan harga yang semakin tinggi, tanah menjadi satu aset berharga sama ada melalui nilai pelaburan atau peluang yang terbuka untuk mengusahakannya.

Malangnya tak semua orang akan mendapat peluang membeli tanah disebabkan oleh ketiadaan peluang ataupun kekangan kewangan. Walau bagaimanapun, bagi lima individu dan badan bukan kerajaan berikut - mereka sangat bernasib baik mempunyai aset yang sangat berharga di atas nama mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda siapa pemilik tanah bukan kerajaan terbesar di dunia? Berikut adalah lima yang tertinggi setakat ini.

5. Joe Lewis

joe lewis pemilik tanah

Individu ke lima terkaya di United Kingdom dengan nilai aset sebanyak RM24 billion anggarannya, Joseph C. Lewis atau lebih dikenali dengan nama Joe Lewis lebih banyak menjalankan urusan perniagaannya dari negara angkatnya Bahamas.

Beliau mengumpulkan aset semasa era 70-an hingga 90-an, bekerjasama dengan ahli ekonomi terkenal George Soros berspekulasi tentang naik turun nilai matawang. Hasil aktiviti itu dikatakan membawa dana yang sangat besar pada Lewis, menjadikannya kaya sekelip mata.

Lewis menjadi pelabur terbesar dalam syarikatnya Tavistock Group, yang menguasai lebih 200 buah syarikat antaranya pasukan bola sepak Tottenham FC, beberapa syarikat carigali minyak, syarikat pengurusan resort dan juga Australian Agricultural Company, syarikat paling tua negara Australia. Beliau dianggarkan menguasai lebih 7 juta hektar tanah di seluruh dunia.

4. Zhongding Dairy Farming & Severny Bur

original heilongjiang mudanjiang

Satu kerjasama di antara dua buah syarikat iaitu Zhonding Dairy Farming dari China dan Severny Bur dari Russia membuka ladang terbesar dunia, dengan kedua-duanya berkongsi hak milik tanah seluar 9.1 juta hektar.

Kerjasama kedua-dua syarikat dari dua buah negara ini diwujudkan selepas kerajaan Russia mengambil langkah menghalang kemasukan bahan-bahan tenusu dari mana-mana negara Eropah selepas krisis di antara negara tersebut dengan Ukraine.

Bagi menampung permintaan yang ada, Russia mewujudkan kerjasama dengan China menubuhkan ladang gergasi terbesar dunia itu. Berapa besar ladang tersebut? Sama besar dengan negara Portugal.

3. Gina Reinhart

gina reinhart pemilik tanah

Digelarkan antara wanita paling kaya dalam dunia serta dinobatkan selaku orang paling kaya di Australia untuk tempoh 2011 hingga 2015, Gina Reinhart mewarisi perniagaan keluarganya yang terkenal dalam industri perlombongan di sana.

Selepas mengambil alih perniagaan keluarganya sepenuhnya, Reinhart berjaya melipat gandakan keuntungan seterusnya berjaya bergelar billionaire dalam tempoh tidak sampai 10 tahun. Hasil kekayaan itu seterusnya membuka peluang pada Reinhart melabur dalam pelbagai jenis perniagaan.

Reinhart membeli S. Kidman & Co, sebuah syarikat pengeluar daging lembu di Australia yang menjadi pemilik persendirian kawasan tanah terbesar di Australia. Langkah itu melonjakkan Reinhart sebagai antara individu paling banyak memiliki tanah dengan jumlah keseluruhan 12 juta hektar.

2. Orang Inuit di Nunavut, Kanada

orang inuit kanada

Sebuah wilayah di Kanada yang bernama Nunavut mempunyai keluasan lebih 2 juta kilometer persegi, terletak di bahagian paling utara negara tersebut. Hanya mempunyai populasi seramai 36,000 orang, walaupun mempunyai keluasan yang sangat besar sekitar 2,038,722 km persegi - iklim yang berbahaya menyebabkan kawasannya tidak berpenghuni.

Apa yang menarik tentang tanah besar ini, pada tahun 1993 - sebuah perjanjian di antara Tunggavik Federation of Nunavut yang mewakili orang-orang Inuit dan kerajaan Kanada berjaya dimeterai. Hasil daripada itu wujud wilayah yang dinamakan Nunavut dengan pemilikan tanah tersebut dipindahkan kepada penduduk tempatan di bawah pentadbiran Tungavik Federation of Nunavut.

Kerajaan Kanada dikehendaki membayar royalti pada penduduk bagi sebarang urusan dengan hasil galian mineral yang banyak disana, perlu dikongsikan bersama penduduk tempatan. Atas perjanjian itu, orang-orang Inuit di Kanada menjadi tuan tanah kedua terbesar dunia.

1. Gereja Katolik

gereja katolik tanah

Ramai penganalisis berpendapat agak mustahil sebenarnya untuk mana-mana pihak mampu menjumlahkan kesemua harta dan aset yang dimiliki oleh Gereja Katolik yang berpusat di Vatican City. Jumlah aset di Vatican City saja sukar untuk dinilai, tidak termasuk hasil karya seperti lukisan di Sistine Chapel dan bangunan-bangunan gereja yang menyimpan banyak hasil karya zaman lampau.

Satu ketika dulu semasa zaman kemuncak gerakan Katolik, dikhabarkan gereja Katolik pernah memiliki hampir 20% keseluruhan tanah Eropah. Bagaimanapun, tanah yang dimiliki oleh institusi ini semakin lama semakin berkurangan.

Anggaran jumlah keluasan tanah yang dimiliki oleh gereja Katolik ketika ini adalah seluas 177 juta hektar - tidak termasuk tanah yang digunakan bagi pembinaan sekolah-sekolah Katolik dan hospital yang sangat banyak jumlahnya. Sekiranya angka 177 hektar diambil sebagai anggaran, jumlah tanah yang dimiliki oleh Gereja Katolik ketika ini sebenarnya lebih besar daripada keluasan negara Perancis atau Sepanyol. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)