"Coach. Saya ni jenis cepat gemuk. Makan sikit je badan dah naik. Metabolisme saya rendah ni," kata salah seorang peserta.

"Jadi cubalah naikkan metabolisme," jawab saya.

"Macamana nak naikkan metabolisme kita? Eh! Metabolisme tu apa?" tanya dia lagi sambil sengih-sengih tak bersalah.

Umumnya ramai yang guna alasan metabolisme mereka rendah bila berat badan mudah sangat naik. Ramai alami salah faham ni. Makanannya tak betul, tetapi metabolisme yang dipersalahkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beginilah kawan-kawan. Jom saya cuba terangkan secara ringkas.

Apa itu kadar metabolisme?

metabolisme penerangan

Metabolisme diambil daripada perkataan Yunani iaitu 'metabolē'. Dalam bahasa inggeris, metabolism sementara dalam bahasa Melayu pula bermakna 'perubahan.' Dalam erti kata lain, proses metabolisme merupakan satu bentuk perubahan yang berlaku melalui tindak balas kimia dalam badan kita.

Metabolisme adalah kadar jumlah kalori yang dibakar oleh badan untuk mengekalkan fungsi dan nyawa. Segala akitivti tubuh kita, termasuklah proses pernafasan dan sistem badan memerlukan tenaga sebagai 'minyaknya' dan sumber tenaga ini bergantung kepada sumber kalori.

Ibarat enjin kereta yang hanya mampu bergerak selepas membakar bahan bakar iaitu petrol atau diesel. Metabolisme dalam badan pula adalah agen yang bakar kalori dalam badan.

Jika seseorang itu tinggi kadar metabolisme badannya, maka proses pembakaran kalori juga akan cepat berlaku. Ada yang metabolisme rendah, jadi proses ni lambat. Bagaimanapun,  ada juga yang metabolsimenya tinggi sehingga mampu makan banyak-banyak, tapi berat langsung tak naik-naik.

Beruntung sungguhlah mereka ini.

Faktor mempengaruhi metabolisme badan

metabolism kadar

Sebelum saya pergi lebih jauh, lebih baik saya ulas beberapa faktor semula jadi yang mempengaruhi metabolisme badan:

1. Komposisi Badan

Jika dibandingkan di antara dua individu yang mempunyai berat yang sama, individu yang mempunyai otot berlebihan akan mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi kerana otot membakar lebih banyak kalori berbanding lemak.

2. Genetik

Setiap orang mempunyai struktur tulang dan bentuk badan yang berbeza, boleh dikategorikan kepada tiga iaitu mesomorph, ectomorph dan endomorph. Orang yang tinggi dan langsing seperti pemain basketball Lebron James biasanya mempunyai kadar metabolisme melebihi individu seperti Wayne Rooney, bekas pemain bola sepak Manchester United yang berbadan "stocky" atau padat dan lebih rendah.

3. Umur

Kadar metabolisme juga akan menurun dengan umur seseorang. Dengan itu, keperluan kalori seseorang juga akan turun. Ini sesuatu yang tak boleh kita ubah lagilah.

Teruskan usaha anda!

arif sukri dulu dan sekarang

Inilah kenyataan dan pemahaman ringkas yang boleh saya jelaskan kepada kalian berkenaan metabolisme badan. Walaupun kadar metabolisme badan ini adalah anugerah Tuhan kepada seseorang sama ada pantas atau perlahan, namun janganlah pula kita anggap ia perlu kekal sebegitu saja.

Ini kerana kadar metabolisme kita boleh ditingkatkan dengan beberapa langkah mudah. Ada yang nak baca lagi bagaimana nak tingkatkan metabolisme badan anda?

Esok saya kongsikan bahagian seterusnya khas untuk peminat-peminat Iluminasi!


Arif Sukri atau lebih dikenali dengan istilah popularnya 'Ustaz Fitness' merupakan seorang jurulatih kecergasan. Diiktiraf oleh National Association of Strength and Conditioning Research atau NASC dalam bidang kejurulatihan, Ustaz Fitness kerap mengadakan sesi rundingan dan latihan bagi membantu orang ramai menurunkan berat badan.

Beliau terkenal sebagai individu yang berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 40 kg tanpa menggunakan sebarang bantuan suplemen.




Hakcipta iluminasi.com (2017)