Sebelum kilang memproses nadir bumi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) memulakan operasinya di Pahang, ianya telah ditentang oleh ramai pihak terutamanya penduduk tempatan. Malah, isu ini juga pernah dibahaskan di peringkat parlimen.

Namun, walaupun halangan demi halangan yang perlu ditempuhi, Lynas akhirnya dibenarkan beroperasi pada tahun 2012 di pusat perindustrian Gebeng, Kuantan Pahang. Lokasi ini dipilih kerana kawasan ini memiliki semua sumber yang diperlukan untuk menjalankan operasi dengan kos yang lebih rendah daripada rancangan awal pembukaannya di kawasan Western Australia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penentangan pembukaan Lynas di Malaysia ini kebanyakannya berkisar mengenai kerisauan sisa buangan nadir bumi ini yang didakwa mengandungi radioaktif. Kerisauan dan penentangan penduduk ini ada asasnya memandangkan pencemaran radioaktif amat merbahaya dan mempunyai kesan jangka panjang kepada kesihatan.

Kali ini, kami bukanlah ingin memperkatakan mengenai Lynas sebalinya ingin mengimbau kembali tragedi pencemaran radioaktif yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu.

Tragedi yang dimaksudkan adalah kes pencemaran sisa radioaktif yang berlaku di Bukit Merah, Perak sekitar tahun 1982.

Pembukaan kilang memproses nadir bumi di Perak

tapak pembuangan sisa radioaktif

Pada tahun 1979, syarikat Asian Rare Earth Sdn. Bhd (ARE) telah ditubuhkan. Syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1982 dan merupakan syarikat mengekstrak yttrium daripada bahan mineral monazite. Yttrium merupakan sejenis nadir bumi dan monazite turut mengandungi bahan radioaktif lain antaranya thorium dan uranium.

Syarikat ini juga bukan calang-calang kerana pemegang saham utamanya adalah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35%), Beh Minerals (35%), Lembaga Urusan Tabung Haji (20%) dan selebihnya beberapa individu persendirian. 

Pembukaan kilang berisiko tinggi ini telah mendapat nasihat daripada Pusat Penyelidikan Tun Ismail (Puspati) dari Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sebelum pembukaannya.

Hasil perbincangan ini, telah diputuskan bahawa sisa pemprosesan monazite itu kelak akan menjadi hak milik dan tanggungjawab pihak kerajaan negeri Perak. Sisa pemprosesan ini disimpan kerana dikatakan berpotensi digunakan sebagai sumber tenaga nuklear.

Pada awalnya, sebuah kawasan seluas 9 ekar yang terletak di Parit, Perak telah dipilih sebagai tapak untuk membangunkan kilang ARE ini. Walau bagaimanapun, akibat bantahan daripada ramai pihak terutamanya penduduk tempatan, lokasinya telah diubah kira-kira 7 km daripada Kampung Baru Bukit merah.

Keluhan dan bantahan daripada penduduk tempatan

pembuangan sisa radioaktif

Sejak kilang ini mula beroperasi, penduduk di kawasan penempatan terdekat di pekan Papan mengeluh bahawa asap dan bau yang kurang menyenangkan daripada kilang ARE amat mengganggu hidup mereka. Penduduk mengalami kesukaran bernafas dan pedih mata akibat akibat pencemaran udara ini.

Selama bertahun-tahun lamanya, keluhan mereka ini tidak diendahkan. Lebih mendukacitakan, penduduk setempat telah menemui bukti bahawa kilang ARE ini telah membina parit khas yang mengalirkan pembuangan sisa radioaktif ini ke sebuah kawasan yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.

Pada 1984, penduduk Papan dan pekan berdekatan telah menandatangani satu surat bantahan rasmi kepada beberapa pihak antaranya Perdana Menteri, Menteri Kesihatan, Menteri Besar Perak dan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Respon-respon yang diterima amat mendukacitakan.

Bertitik-tolak daripada ini, beberapa siri demonstrasi secara aman telah dilakukan oleh penduduk tempatan agar kerajaan masuk campur. Tidak cukup dengan demonstrasi, penduduk dari Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah telah bersama-sama memperjuangkan nasib penduduk Papan dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah.

asian rare earth

Bagi membuktikan kepada kerajaan bahawa pembukaan kilang ARE itu sangat berisiko kepada penduduk, mereka telah mendapatkan kerjasama daripada beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk membuat kajian terperinci. Antara pihak yang telah terlibat adalah:

  1. Sahabat Alam Malaysi (SAM) - bacaan yang diambil oleh pegawainya menunjukkan tahap radiasi di tapak itu adalah 88 kali ganda lebih tinggi daripada had maksimum yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Perlindungan Radiologi (ICRP). 
  2. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IAEA) mengisytiharkan parit yang menyalurkan dan menyimpan sisa radioaktif itu tidak selamat.
  3. Dr William Cannell (ahli fizik dan penganalisis keselamatan British) mendapati kerja kejuruteraan pengurusan sisa radioaktif disitu “amat buruk”.
  4. Dr Jun Ui (Pakar sisa industri Jepun) mendapati kawasan yang dipilih tidak sesuai untuk menyimpan sisa berbahaya.
  5. Dr Edward Radford (bekas ahli Jawatankuasa Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat mengenai Kesan Biologi Radiasi Pengionan) mendapati tapak itu tidak sesuai dan parit itu mempunyai dinding yang nipis dan retak.

keracunan radioaktif

Setelah beberapa kali perbincangan dan kes ini turun naik beberapa kali di mahkamah, akhirnya pada tahun 1994 ARE telah mengambil keputusan untuk menutup dan memberhentikan sepenuhnya operasi kilang mereka.

Penutupan operasi ARE ini  merupakan kejayaan terbesar kepada penduduk setempat yang telah membantah pembukaan kilang ini sejak 1982. Sekiranya anda hendak membaca secara lebih mendalam kronologi perjuangan penduduk setempat menentang ARE, boleh rujuk halaman Persatuan Pengguna Pulau Pinang (PENGGUNA).

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Sumber gambar



Hakcipta iluminasi.com (2017)