Cuba anda sedut udara. Segar kan rasanya? Ya, sekiranya anda tinggal dalam suasana yang bersih serta mempunyai kualiti udara yang baik. Bagaimana pula dengan mereka yang tinggal dalam udara tercemar? Adakah menyedut udara tercemar setiap hari, mampu merendahkan tahap kesihatan anda? Jawapannya sudah tentu. Tetapi bagaimana pula kalau ada pendapat menyebut - udara tercemar mampu menyebabkan kegemukan?
BESARKAN TEKS A- A+
Percaya tak? Dakwaan ini ada benarnya berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan oleh beberapa kumpulan saintis di China dan di Kanada.
Menyedut udara mampu menyebabkan saiz badan bertambah
Bunyinya pasti karut, kerana pada kita - mustahil untuk udara menyumbang kepada masalah berat badan. Namun dua kumpulan saintis dari Ohio State University, Peking University, Imperial College dan China Academy of Science mendapati ada kebenarannya bagaimana udara tercemar mampu menyebabkan masalah kegemukan pada anda.
Kajian yang mereka jalankan masih lagi dalam peringkat awal, melibatkan tikus-tikus yang didedahkan kepada udara tercemar setiap hari. Punca kajian ini dijalankan semuanya untuk mencari punca utama kenapa risiko penyakit jantung melibatkan penduduk bandar lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal di kawasan pinggir mahupun pedalaman.
Kumpulan penyelidik di Kanada berjaya menemui perubahan ketara pada berat badan tikus yang didedahkan dengan udara kotor seperti dibandar berbanding tikus yang dibekalkan udara bersih ditapis. Penambahan berat badan secara konsisten berlaku pada semua tikus yang menghidu udara kotor dalam tempoh 10 minggu, melibatkan penambahan jumlah lemak bersaiz mikroskopik 20% lebih tinggi pada bahagian perut dan organ dalaman tikus-tikus yang dijadikan bahan kajian.
Kajian di Beijing pula melibatkan tikus-tikus yang mengandung, mendapati berlakunya perbezaan berat badan ketara pada ibu tikus mengandung dan kandungan yang dilahirkan; berbanding dengan ibu tikus yang hidup dalam suasana udara bersih.
Tikus yang hidup dalam udara kotor di Kanada didapati mempunyai masalah perubahan tahap kesihatan sehinggakan tidak lagi bertindak balas terhadap bahan insulin yang diberikan, sementara tikus di Beijing pula didapati mempunyai masalah lemak berlebihan, kolestrol, kerosakan tisu dan kekurangan daya metabolisme.
Kenapa situasi ini wujud?
Apa yang berlaku setakat ini belum dapat dibuktikan secara fakta namun pendapat awal mengatakan pencemaran udara yang berlaku, menyebabkan berlakunya reaksi pada tubuh tikus yang dijadikan kajian.
Partikel-partikel tercemar bersaiz 2.5 mikrometer dikatakan punca utama masalah gangguan, menyebabkan radang pada bahagian paru-paru sehingga menghalang oksigen dialirkan dengan sempurna dalam tubuh. Apabila situasi itu timbul, tubuh secara automatik akan bertindak balas mengaktifkan sistem perlindungan badan kita - merangsang sistem saraf untuk membebaskan hormon sehingga tubuh gagal mengawal kandungan gula dalam darah.
Sistem perlindungan badan kita juga akan memulakan proses yang digelarkan sebagai 'cytokines' bagi membersihkan darah seterusnya memulakan proses pembaikian tisu badan. Bagi mendapatkan tenaga melakukan semua itu, isyarat kepada otak dihantar - membuatkan tikus menjadi lebih lapar.
Ada tak kajian melibatkan manusia?
Ada, tetapi hanya dalam bentuk kajian soal selidik sahaja.
Dalam kajian tahun 2011 yang diterbitkan pada tahun 2012 oleh penyelidik dari Columbia University - ibu-ibu yang mengandungkan anak dan terdedah kepada bahan tercemar 'polycyclic aromatics hydrocarbon' atau PAH yang merupakan ejen utama pencemaran udara; didapati melahirkan anak yang mempunyai tahap obesiti lebih tinggi, nilai BMI lebih tinggi dan kandungan lemak lebih tinggi - apabila anak mereka berusia 5 ke 7 tahun.
Ini menunjukkan wujudnya hubungan di antara lokasi tempat tinggal seseorang dengan tahap kesihatan anaknya, di masa depan. Laporan yang sama turut menyebabkan selain pencemaran udara di luar, salah satu sumber utama pencemaran udara yang menyebabkan masalah kegemukan kepada kanak-kanak di situ adalah disebabkan tabiat menghisap rokok yang menyumbang kepada gejala serupa.
Kajian jangka masa panjang yang dilakukan di Ontario, Kanada menunjukkan wujudnya faktor konsisten bagaimana udara tercemar menyumbang kepada masalah obesiti kepada penduduknya, dengan kadar purata dua kali ganda peluang seseorang untuk obese - sekiranya dia tinggal dalam kawasan dengan kualiti udara rendah.
Selain daripada masalah kegemukan, masalah hipertensi juga menjadi masalah utama hidup dalam udara yang kotor.
Apa yang jelas, walaupun belum dibuktikan sepenuhnya - wujud hubungan yang ketara antara kualiti udara yang anda hidu dengan tahap metabolisme badan anda, seterusnya akan memberikan kesan pada tubuh anda.
Beringat-ingatlah selepas ini sebelum anda menyedut udara yang busuk, kerana udara tersebut mungkin akan membuatkan anda berasa lapar seterusnya rasa nak makan dan makan lagi - sehingga satu hari anda jadi gemuk, tanpa sedar.
Rujukan