Bagi kebanyakan orang, perkataan "radiasi" adalah sesuatu yang dikaitkan dengan bahaya. Tanpa disedari, setiap hari kita terdedah kepada radiasi yang terdapat dalam cahaya matahari, bahan radioaktif yang tertimbus dalam tanah atau batu, televisyen berwarna, bangunan, produk-produk agrikultur, lombong dan pembakaran arang.

Badan yang terdedah kepada radiasi sebenarnya akan menerima kesan dalam jangka masa singkat dan jangka masa panjang. Namun, ia bergantung sebanyak manakah kita terdedah kepada radiasi tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, segelintir orang begitu teruja untuk melawat tempat-tempat yang mempunyai bahan radioaktif tinggi. Berikut adalah beberapa lokasi radioaktif di seluruh dunia yang menjadi tumpuan pelancong.

5. Lombong Uranium Mary Kathleen - Australia

lombong uranium mary kathleen

Lombong uranium Mary Kathleen dibuka di bahagian barat laut Queensland pada tahun 1950-an. Ia terletak kira-kira 6 km dari bandar perlombongan berhampiran yang suatu masa dahulu mempunyai populasi 1,000 orang penduduk dengan sekolah, pejabat pos, panggung wayang dan banknya sendiri.

Lombong itu beroperasi dan membekalkan uranium kepada Lembaga Tenaga Atom United Kingdom sehingga syarikat Mary Kathleen Uranium Limited tamat kontrak pada tahun 1963. Ia dibuka semula pada tahun 1974 dan terus membekalkan uranium kepada beberapa syarikat asing sehingga kehabisan sumber tahun 1982. 

lombong uranium mary kathleen 2

Ia kemudiannya ditutup dan bandar perlombongan itu dirobohkan, hanya tapak asas bandar itu sahaja yang masih ada. Disebabkan pelbagai bahan kimia yang dilepaskan batu di kawasan itu, airnya telah bertukar menjadi biru cerah dan bersinar. Ramai pelancong dari seluruh dunia datang untuk melihat sendiri keindahan tempat itu. Namun, adakah selamat bekas lombong itu untuk dilawati?

Menurut Dr. Gavin Mudd dari Royal Melbourne Institute of Technology, paras radiasi di kawasan itu adalah lebih tinggi berbanding tempat lain. Sekiranya anda pergi ke sana menggunakan kenderaan dan berhenti seketika untuk mengambil gambar, ia tidaklah begitu bahaya. Namun, Dr. Mudd menegah agar pelancong mandi atau minum air biru di kawasan lombong itu. (sumber)

4. Projek Pelupusan Weldon Spring - Amerika Syarikat

bukit sisa nuklear weldon spring

Weldon Spring adalah salah satu tempat dengan sejarah radioaktif yang panjang. Semasa Perang Dunia Kedua, Tentera Amerika Syarikat telah membeli 17,000 ekar tanah di kawasan ini dan menjadikannya kilang memproses bahan letupan seperti TNT dan DNT untuk tentera Sekutu.

Kilang itu ditutup pada 15 Ogos 1945, beberapa hari selepas perang tamat. Kebanyakan tanah kemudiannya dijual semula. Pada tahun 1955, Lembaga Tenaga Atom Amerika Syarikat pula telah membina loji pemprosesan uranium di atas baki kawasan seluas 2,000 ekar .

Pada tahun 1966, loji itu ditutup dan ditinggalkan selama 20 tahun. Kawasan ini tercemar dengan lebih daripada 1.5 juta meter kubik asbestos, radiasi uranium dan pelbagai lagi bahan tercemar. Jabatan Tenaga A.S. kemudian memulakan pembersihan tapak ini pada akhir 1980-an dan selesai pada tahun 2001.

bukit sisa nuklear weldon spring 2

Terdapat satu bukit batu kasar buatan manusia yang menutupi kawasan sisa nuklear di situ. Bukit yang digelar sebagai Projek Pelupusan Spring Weldon itu kini menjadi tarikan pelancong. Ia menawarkan pemandangan yang baik bagi kawasan persekitarannya.

Namun, ada pelancong yang tidak berani untuk mendaki bukit itu kerana apa yang ada di bawahnya. Tapak itu disahkan selamat dan sebagai bukti, salah seorang pengawal yang telah bertugas selama beberapa belas tahun di situ tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. (sumber)

3. Tapak ujian nuklear di Maralinga - Australia

maralinga 543

Dari tahun 1956 hingga 1963, kerajaan British menjalankan pelbagai ujian bom nuklear di Maralinga, Australia Selatan. Sebanyak tujuh peranti diletupkan dan yang terbesah adalah 27 kilotan.

Pada akhir tahun 1960-an, tapak ujian itu cuba dibersihkan dengan dengan cara mengorek beberapa lapisan tanah agar tanah tercemar bercampur dan ditimbus di dalam. Sebanyak 22 lubang digali dan ditutup dengan konkrit. Setiap lubang ini dianggarkan mengandungi plutonium sebanyak 4 kg setiap satu.

Pada penghujung 1990-an, pembersihan yang lebih teliti dilakukan dengan mengorek dan menanam ratusan ribu meter padu tanah yang tercemar dengan radioaktif. Semua kenderaan dan jentera yang digunakan juga ditanam bersama. 

tapak ujian nuklear maralinga

Tanah ini akhirnya dikembalikan kepada orang asli Marilanga Tjarutja. Kini, bekas tapak ujian nuklear itu talah dijadikan kawasan perlancongan. Pengunjung boleh menaiki bas untuk melawat perkampungan dan lapangan udara tentera yang ditinggalkan. Selain itu, mereka juga boleh melawat kawasan di mana semua kenderaan dan jentera proses pembersihan akhir ditanam.

Satu zon ujian di Maralinga masih ditutup dan dijangka hanya selamat selepas 25,000 tahun akan datang. Pengunjung juga dinasihatkan agar tidak menggali tanah yang ada di Maralinga. Sesiapa yang mematuhi peraturan ini dijangka menerima kesan radiasi yang sangat sedikit. (sumber)

2. Lombong Radon di Boulder, Montana - Amerika Syarikat

lombong radon free enterprise

Radon adalah gas radioaktif berbahaya yang tidak berwarna, tidak berbau dan tiada rasa. Agensi Perlindungan Alam Sekitar A.S. dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggap Radon sebagai karsinogen (bahan yang menyebabkan kanser pada tisu hidup).

Namun, sesetengah orang percaya bahawa Radon adalah rawatan yang sesuai untuk masalah tertentu seperti artritis. Inilah sebab mengapa ada gua atau lombong yang sengaja dimasuki untuk membiarkan diri mereka terdedah dengan gas ini. Salah satunya ialah Lombong Kesihatan Radon Free Enterprise di Boulder, Montana.

terapi radon 569

Tempat ini bermula sebagai lombong uranium pada tahun 1949 tetapi bertukar menjadi pusat terapi Radon tiga tahun kemudian. Pengunjung boleh turun 26 meter di bawah tanah untuk berehat dalam lombong ini sambil menghirup udara yang kaya dengan Radon. 

Sekiranya anda fobia tempat sempit, terdapat ruangan khas di bahagian atas di mana Radon dipam naik dari kedalaman 32 meter di bawah tanah. Kadar Radon dalam udara biasa adalah sekitar 4 pikocurie per liter (pCi/L).

Bagi pengunjung Lombong Kesihatan Radon Free Enterprise pula, mereka terdedah kepada sehingga 1700 pCi/L secara purata. Satu sesi biasa Terapi Radon di situ biasanya berlangsung selama 30 hingga 60 jam dalam masa 10 hari. Radon boleh menyebabkan kerosakan pada sel paru-paru dan menjurus kepada kanser. (sumber)

1. Bilik Kawalan Chernobyl di Pripyat - Ukraine

bilik kawalan reaktor 4 chernobyl

Anda mungkin pernah mendengar tentang kemalangan nuklear terburuk dunia iaitu Bencana Chernobyl di Pripyat, Ukraine. Lokasi kemalangan nuklear pada tahun 1986 itu sebahagiannya telah dibuka untuk pelancong seperti Zon Pengecualian Chernobyl (LV LINK 2)

Kini, pelancong juga boleh memasuki ruang kawalan Reaktor 4 iaitu kawasan yang menjadi punca bencana terburuk dalam sejarah itu. Sebelum ini, akses hanya terhad kepada pekerja pembersihan dan penyelidikan sahaja.

Melawat ke bilik kawalan Reaktor 4 bukanlah perkara yang sama seperti berjalan-jalan di bandar mati Pripyat. Tahap radiasi di dalam bilik kawalan ini dilaporkan 40,000 kali lebih tinggi berbanding biasa. Pelawat perlu memakai pakaian hazmat yang sesuai. Mereka hanya boleh berada selama lima minit sahaja dan menjalani saringan radiasi selepas itu.

lawaran ke zon pengecualian chernobyl

Lawatan ini baru sahaja dibuka pada bulan Julai yang lalu apabila Ukraine mengisytiharkan Chernobyl sebagai tarikan pelancong yang rasmi. Dianggarkan seramai 85,000 pelawat telah memasuki Zon Pengecualian sehingga hari ini.

Lawatan selama sehari ke Zon Pengecualian dikenakan cas sekitar USD 100 (RM 418) manakala bayaran tambahan diperlukan bagi lawatan ke bilik kawalan Reaktor 4. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)