Bagi yang tidak tahu, dalam Sukan Olimpik dan beberapa acara peringkat antarabangsa, negara Taiwan biasanya akan menggunakan nama Chinese Taipei sebagai identiti negaranya. Bagi orang awam, ia pastinya satu yang mengelirukan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak tahu sejarah konflik antara negara ini dengan China.

Namun apabila melihat pada peta dunia, anda sekali-kali tidak akan dapat melihat perkataan Chinese Taipei padanya. Untuk memahami mengapa Taiwan memilih untuk menggunakan nama Chinese Taipei dalam keadaan tertentu, kita perlu mengetahui sedikit sebanyak sejarah negara Taiwan dan China itu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Evolusi China

chiang kai shek

Chiang Kai-shek, pemerintah yang melarikan diri ke Taiwan bersama pengikutnya

Abad ke 20 boleh dianggap zaman kegelapan bagi negara China. Walaupun negara ini dikatakan sudah wujud lebih 3500 tahun dengan sejarah yang begitu panjang, 70 tahun kebelakangan ini adalah sesuatu yang sangat menarik dan unik.

Sejarah China begitu panjang dan penuh dengan perubahan empayar, zaman, pemberontakan dan perpindahan politik dan pada tahun 1949, pergolakan terbaru berlaku. Ketika itu, Kuomintang iaitu Parti Nasional China yang menguasai negara hampir 40 tahun telah digulingkan oleh tentera Komunis yang diketuai oleh  Mao Zedong semasa perang saudara yang kejam dan berdarah.

Kuomintang telah memerintah Republik China (Republic of China - ROC) tetapi telah digulingkan oleh Komunis yang kemudiannya mengasaskan Republik Rakyat China (People’s Republic of China - PRC). Walau bagaimanapun, 4 tahun sebelum itu, pada tahun 1945, parti Kuomintang yang sama telah menguasai Taiwan kembali dari Jepun selepas berakhirnya Perang Dunia 2.

lokasi taiwan

Taiwan dahulunya dikenali sebagai Formosa, sebuah negara pulau yang terletak kira-kira 100 batu dari negara China. Pulau seluas kira-kira 36 ribu km persegi ini dikuasi oleh ROC. Selepas parti ROC ini dikalahkan oleh pihak komunis di Tanah Besar China, mereka telah melarikan diri ke pulau ini. Dalam erti kata mudahnya, Taiwan merupakan wilayah penguasaan terakhir bagi ROC.

Walaupun pulau ini tidak didiami oleh manusia ribuan tahun lamanya, ia tetap menjadi tumpuan dalam sejarah. Kedudukannya yang tidak jauh dari kawasan tanah besar China menjadikannya pusat perdagangan dan pengangkutan utama. Disebabkan kedudukannya yang strategik inilah pulau ini menjadi rebutan dan pernah dikuasai oleh beberapa buah negara. Daripada penduduk asal kepulauan ini, ianya pernah dikuasai oleh China, Belanda dan Jepun.

Perspektif daripada negara Barat

mao zedong 722

Sepanjang abad ke-20, Komunisma telah muncul sebagai satu ancaman besar buat negara Barat. Kempen selama puluhan tahun dan Perang Dingin telah berlaku kerana percubaan untuk menolak dan menghentikan penyebaran fahaman komunisma. Oleh itu, apabila tentera Mao menguasai China pada tahun 1949, ia adalah masa yang amat menakutkan bagi golongan kapitalis dan pencinta demokrasi di Barat.

Pada mulanya, kebanyakan negara-negara demokratik terus menyokong ROC (yang kini terasing di Taiwan). Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ia menjadi semakin jelas bahawa PRC akan mengekalkan kawalan dan penguasaan Tanah Besar China. PRC menjadi lebih kukuh dan dihormati masyarakat antarabangsa dan kesetiaan ke Taipei (ibu kota Taiwan baru) akhirnya beralih ke arah Beijing. Hal ini dapat dilihat apabila pada tahun 1971, PBB secara rasmi mengiktiraf dan menyambut PRC sebagai ahli.

Walaupun Taiwan sememangnya satu kuasa ekonomi dan dianggap sebagai salah satu daripada 4 "Harimau Asia", ia tidak dapat dibandingkan dengan kekuatan perindustrian dan komersial yang lebih besar di Tanah Besar China yang mempunyai lebih daripada 1.3 bilion orang.

Oleh itu, masyarakat antarabangsa perlu menghormati China dan pada masa yang sama berhadapan dengan situasi yang sensitif di Taiwan yang mengamalkan bentuk pemerintahan yang paling digemari oleh negara-negara pejuang demokrasi.

Evolusi negara Taiwan 

kemerdekaan taiwan 824

Keadaan ini menjadi semakin rumit semenjak 1980-an apabila negara pulau itu melalui beberapa perubahan demokrasi. Permulaannya terjadi pada tahun 1996 apabila Taiwan melalui pemilihan Presiden yang pertama, menjadikannya lebih dekat dengan polisi dan dasar-dasar Amerika Syarikat.

Namun, kerana keperluan untuk menjaga hubungan dengan China sebagai sebuah negara besar, negara-negara demokrasi ini terpaksa mengurangkan interaksi dengan Taiwan. 

Malah, Amerika Syarikat turut mempunyai dasar lama untuk tidak mempunyai hubungan langsung dengan kepimpinan Taiwan selama lebih 40 tahun sebelum ianya telah diingkari Donald Trump yang telah menerima panggilan telefon dari Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, yang mengucapkan tahniah atas kemenangannya dalam pemilihan Presiden.

Apa kaitan dengan "Chinese Taipei" ?

chinese taipei 65

Setelah membaca sejarah ringkas antara China dan Taiwan dan diatas, maka lebih mudah untuk memahami mengapa nama "Chinese Taipei" digunakan. Disebabkan hubungan kompleks antara dua buah negara ini iaitu China (PRC) dan Taiwan (ROC), maka mestilah diwujudkan jalan tengah sekiranya kedua-dua entiti ini menyertai pertandingan peringkat antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik, Sukan Asia, Piala Dunia dan sebagainya.

Tanah Besar China dan Taiwan masing-masing mengaku mempunyai kedaulatan terhadap pulau ini. Kedua negara ini turut mempunyai organisasi sukan masing-masing dan memanggilnya "Jawatankuasa Olimpik China”. Bukan itu sahaja, dalam acara sukan Taiwan juga kerapkali memperkenalkan atlet mereka sebagai "dari China".

Sehinggalah pada tahun 1976 apabila Taiwan tidak lagi dibenarkan menggunakan nama "China". PRC yang menguasai China dan diiktiraf masyarakat antarabangsa telah mengharamkan mana-mana entiti lain daripada menggunakan perkataan "China". Akibat daripada konflik ini, Taiwan telah memboikot Sukan Olimpik pada tahun tersebut tetapi kembali menyertai Olimpik pada tahun 1984 apabila isu nama ini selesai.

taiwan olimpik 640

Sebuah nama samaran sebagai jalan tengah diperlukan agar tidak timbul isu China mempunyai kekuasaan atas Taiwan atau sebaliknya. Perkataan "Taiwan", "Chinese Taiwan" atau "Taiwan China" tidak sesuai seolah-olah menggambarkan Taiwan dikuasai oleh China.

Pihak ROC akhirnya bersetuju untuk menggunakan nama Chinese Taipei kerana ia menggambar menetapkan  sempadan wilayah penguasaan ROC yang jelas. Nama ini secara tidak langsung menunjukkan perpisahan yang jelas antara Taiwan dan Tanah Besar China tetapi membawa maksud Taiwan sebuah entiti yang merdeka sepenuhnya. Oleh itu Beijing menerimanya nama ini dan sanggup berkompromi.

Setelah nama ini dipersetujui, organisasi yang mewakili atlet Taiwan yang bertanding di Sukan Olimpik juga telah dijenamakan semula sebagai "Chinese Taipei Olympic Committee” atau CTOC.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Economist
  3. Olympics
  4. BBC News



Hakcipta iluminasi.com (2017)