Sekiranya anda menggunakan WhatsApp atau media sosial lain dan menyertai banyak "group" yang disertai oleh pengguna yang lebih berumur seperti group keluarga, tempat kerja mahupun komuniti setempat, adakah anda perasan bahawa mereka yang sudah berumur atau berusia lebih cenderung untuk berkongsi berita palsu?

Bertenang, ini bukanlah tuduhan kepada semua pengguna media sosial yang lebih berumur sebaliknya merujuk kepada "kebanyakan" daripada mereka. Menariknya, ada kajian yang dilakukan dan terdapat penjelasan daripada aspek sains mengapa perkara seperti ini terjadi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita sedia maklum, musim pilihan raya merupakan musim di mana berita palsu paling mudah tersebar. Malah, penyebaran berita palsu juga merupakan satu strategi oleh sesebuah parti politik untuk memburuk-burukkan pihak lawan dan usaha untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.

Satu ketika dahulu kami pernah bongkarkan industri berita palsu di Macedonia yang memainkan peranan penting sewaktu musim pilihan raya di Amerika Syarikat pada tahun 2016. Malah, industri ini dikatakan menjana jutaan dollar setiap bulan!

Siapakah yang paling banyak berkongsi berita palsu?

berita palsu

Selain pendedahan mengenai industri penghasilan berita palsu sewaktu musim pilihan raya Amerika Syarikat itu, terdapat satu lagi kajian menarik berkaitan penyebaran berita palsu yang dibuat ketika itu. Siapakah yang paling banyak berkongsi berita palsu ini?

Menurut satu kajian yang dijalankan pada ketika itu, mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas adalah golongan yang paling banyak berkongsi berita palsu. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa salah satu sebab utama penyebaran berita palsu ini adalah faktor umur mereka itu sendiri.

Penemuan ini disokong oleh data demografi - individu yang berusian lebih daripada 65 tahun (yang didedahkan dengan internet ketika mereka sudah lanjut usia) berkongsi lebih dua kali ganda lebih banyak artikel berita palsu daripada individu  yang berada dalam kumpulan usia tertua kedua.

kongsi berita palsu

Pada musim pilihan raya AS tahun 2016 dahulu, ciapan Twitter orang dewasa yang lebih tua didapati mengandungi paling banyak berita palsu berbanding dengan kumpulan umur yang lain. Mungkin kenyataan dan fakta ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak merbahaya, namun golongan inilah sebenarnya yang mempunyai peratusan tinggi undi dalam pilihan raya tersebut.

Malah, ketika pandemik COVID-19 yang sedang melanda kini antara cabaran utama adalah penyebaran berita-berita palsu mengenai COVID-19 ini sehingga wujudnya terma "covidiot". Penyebaran berita palsu ini mengakibatkan lebih ramai individu yang menganggap COVID-19 ini sedar demam dan selsema biasa. Malah, salah faham mengenai pemberian vaksin juga timbul daripada penyebaran maklumat salah mengenai vaksin yang didalangi oleh golongan anti-vaksin. 

Mengapa orang berumur lebih cenderung berkongsi berita palsu?

penyebaran berita palsu

Penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa penurunan kognitif umum (general cognitive) boleh mempengaruhi tingkah laku dalam talian orang dewasa yang lebih tua. Contohnya, apabila mereka membaca berita dalam talian, walaupun ia dikenal pasti sebagai berita palsu, mereka mungkin lebih senang mengingati kisah itu sehingga lama kelamaan mula menganggapnya berita benar.

Ini dapat dijelaskan dengan 'kesan pengulangan’ (repetitive effect) di mana memori untuk konteks (berita palsu) mungkin dilupakan, tetapi memori subjektif (kekerapan membaca berita palsu) yang dilihat banyak kali di media sosial menyebabkan berita tersebut mudah diingati sehingga lama-kelamaan mereka menganggapnya berita benar. 

Ini dapat menjelaskan bagaimana berita di Facebook atau Twitter, yang muncul beberapa kali dalam paparan pengguna lebih cenderung untuk dikongsi oleh orang dewasa yang lebih tua. Walau bagaimanapun, teori ini sahaja tidak dapat menjelaskan mengapa orang dewasa yang lebih tua gemar berkongsi berita palsu.

orang berumur media sosial

Penjelasan lain yang boleh menerangkan sebab terjadinya tingkah laku ini adalah 'literasi digital', iaitu kemampuan seseorang menggunakan teknologi dengan berkesan. Dipercayai bahawa kekurangan literasi digital boleh menjadi faktor utama dalam perkongsian berita palsu oleh orang dewasa yang lebih tua.

Bukti untuk ini dapat dilihat pada bagaimana orang dewasa yang lebih tua melaporkan kurang kesediaan untuk berkongsi berita palsu daripada orang dewasa yang lebih muda di dalam kehidupan realiti, namun akhirnya mereka tetap berkongsi berita palsu tersebut ketika dalam talian. Dalam kata lain, mereka tidak dapat mengesan sama ada berita itu palsu atau benar.

Perkongsian berita palsu dalam talian ini secara langsung bertentangan dengan niat orang dewasa yang lebih tua ini dan oleh itu, dapat dijelaskan oleh kurangnya literasi digital mereka yang menyebabkan mereka sukar untuk mengesan dan membezakan sama ada sesuatu berita itu palsu atau benar.

Adakah terdapat solusi untuk masalah ini?

literasi digital

Daripada menyalahkan tingkah laku dalam talian orang dewasa yang lebih tua mengenai penurunan kognitif mereka, kita dapat mengambil pandangan yang membina di mana pendidikan boleh menjadi penyelesaian kepada masalah ini.

Setakat ini, kita hanya memfokuskan untuk memberikan pendedahan teknologi terhadap orang dewasa yang berumur ini semata-mata, tetapi kita tidak mengajar mereka bagaimana untuk menggunakan teknologi dengan betul. 

Sebagai generasi muda, kita mesti memastikan pengguna yang lebih tua mempunyai literasi digital yang diperlukan agar mereka tahu menggunakan teknologi dengan betul. Sebagai contoh, kita boleh mengajar mereka bagaimana mendapatkan sumber yang sahih untuk maklumat tertentu, bagaimana mengesan berita palsu dan seumpamanya. 

Kredit:

  1. RTE
  2. LA Times
  3. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)