iluminasi ketagihan rekaan media sosial7

Pada 9 Februari 2009, Facebook memperkenalkan butang 'Like.'

Pada awalnya, butang tersebut hanyalah satu butang biasa. Tidak ada langsung dibangunkan untuk mempengaruhi minda pengguna media sosial dalam mengejar penghargaan pembaca.

"Saya hanya mahu mempromosikan kesan positif," kata Justin Rosenstein, salah seorang pereka Facebook yang memperkenalkan butang 'Like.' "Kami rasakan kami berjaya mencapai matlamat asal kami, tetapi kami tak sangka ada kesan negatif yang akan muncul - selepas butang tersebut menjadi terlalu berkesan."

iluminasi ketagihan rekaan media sosial2

Hari ini, kita menulis atau berkongsi sesuatu dengan satu tujuan - mungkin ada orang yang akan suka apa yang aku kongsikan.

Di sinilah berlakunya rasa ingin diiktiraf oleh orang lain, yang dirasai oleh berbilion manusia di seluruh dunia yang menjadikan media sosial sebagai satu cara berkomunikasi yang sangat-sangat efektif, sehinggakan perniagaan yang beruntung juta-juta juga menjana keuntungan dengan butang 'Like.'

Apa yang ditakrifkan sebagai 'ekonomi tumpuan' adalah terma kepada fenomena ini. Ia berhubungkait dalam kadar tumpuan seseorang individu kepada sesuatu yang dikongsikan. Jika sebelum ini perniagaan adalah pertukaran pembekalan dan permintaan, kini 'tumpuan' adalah bahan dagangannya.

Lebih banyak 'tumpuan' dapat ditarik, lebih bernilai sesuatu platform itu kepada pengiklan untuk mempromosikan produk atau servis mereka.

iluminasi ketagihan rekaan media sosial4

Walaupun begitu, tumpuan ini amat bergantung kepada kondisi seseorang pada ketika itu dan tumpuan seseorang itu sebenarnya akan berkurangan mengikut faktor-faktor seperti waktu tidur, kerja, keluarga dan perhubungan sosial dunia nyata. Bukan semua orang mampu menerima kawan yang sentiasa menumpukan mata pada telefon sepanjang masa.

Jadi apa yang kita lakukan di media sosial selalunya melibatkan sesuatu yang membuatkan kita rasa senang, gembira. Bagaimanapun, menurut Facebook sendiri, apabila kita mendapat maklumbalas dari perkongsian kita, kita akan merasakan sedikit kegembiraan. Kegembiraan yang sedikit ini pula amat mengasyikkan, sehingga membuatkan kita rasa ketagih.

Begitulah penjelasan mengapa kita mampu menatap skrin media sosial sekian lama.

Selepas kejayaan butang 'Like' Facebook, Youtube melancarkan butang 'Like- Dislike,' Instagram dilancarkan dengan fungsi butang hati dan Twitter mengemaskini platform mereka dengan pengenalan butang yang sama pada tahun 2015.

iluminasi ketagihan rekaan media sosial3 92

Bekas pereka Google, Thristan Harris cuba menerangkan bagaimana media sosial memanipulasi penggunanya dengan menggelarkan ketagihan itu berpunca dari apa yang beliau labelkan sebagai intermittent variable rewards atau hadiah pelbagai dalam tempoh masa yang tidak tentu.

Kaedah paling mudah memahami keadaan ini adalah dengan menggambarkan pemain mesin slot. Apabila tuas ditarik, pemain tidak tahu sama ada mereka akan menang atau tidak, jadi mereka akan terus mencuba. Ini sama seperti tindakan kita yang sentiasa memeriksa laman Facebook kita untuk melihat sama ada kita menang atau tidak 'Like' daripada orang lain.

Kaedah mencipta ketagihan melalui 'Like' ini ternyata jelas, tetapi beberapa kaedah lain juga wujud dan agak sukar untuk dikesan.

Pasti anda sedar setiap kali anda membuka Instagram atau Twitter, akan ada selang masa sebelum paparan menjadi lengkap untuk tatapan anda. Itu adalah rekaan yang disengajakan. Apabila kita terpaksa menunggu beberapa saat sebelum kita dapat melihat 'hadiah' yang kita akan perolehi hasil dari perkongsian orang lain atau sekadar mendapat butang hati, kita akan merasa lebih puas selepas mendapat tahu 'hadiah' kita ketika itu.

Selain itu, salah satu aspek psikologi yang digunakan kepada pengguna media sosial adalah prinsip tekanan kawan-kawan yang diwujudkan apabila kita mendapat notifikasi tentang perkongsian kita yang di 'Like' atau dikongsi oleh pengguna lain. Dengan menghantar notifikasi kepada kita, ini akan 'memaksa' kita membalas respon atau sekurang-kurangnya membuka platform untuk menyemak notifikasi penuh.

Perasan tak bila kita sedang membaca status dan ada titik tiga yang muncul ketika ada orang lain menaip untuk memberikan komen? Itu juga adalah salah satu rekaan supaya anda tidak berganjak dari skrin dan terus menunggu supaya anda dapat membaca mesej yang sedang ditaip, selepas selesai ditaip.

iluminasi ketagihan rekaan media sosial

Dalam teknik-teknik ini, Snapchat adalah juara dalam memanipulasi minda penggunanya. Dengan memperkenalkan sistem Snapstreak di mana untuk setiap hari dua pengguna Snapchat berinteraksi akan dihadiahkan satu streak, kedua-dua pengguna akan terus memastikan Snapstreak mereka tidak hilang dan akan berusaha mengekalkannya, walaupun mereka sebenarnya langsung tidak berkomunikasi.

"Dengan mencipta sasaran seperti itu, kepentingan pengguna Snapchat sudah beralih kepada tabiat hendak menjaga Snapstreak dan bukan lagi untuk menggunakan platform Snapchat sebagai medium komunikasi," kata Adam Alter, penulis buku Irrersistable: The Rise of Addictive Technology and the Business of Keeping Us Hooked..

"Apabila situasi seperti itu berlaku, nampak kepentingan Snapchat kini bukan bukan lagi untuk keseronokan dan pengalaman penggunanya, tapi hanya sekadar mahu orang terus kekal menggunakan Snapchat," ujar beliau.

Apabila Justin Rosenstein ditanya apakah bentuk kaedah membuat pengguna ketagih yang paling buruk yang diamalkan platform media sosial, beliau menjawab notifikasi yang sentiasa masuk.

"Kebanyakan notifikasi yang masuk sebenarnya hanyalah gangguan kepada kita," kata dia. "Notifikasi itu membuatkan kita ketagih, susah hendak berenggang dengan telefon, sedangkan maklumat yang masuk sebenarnya boleh dilihat kemudian atau ada masanya, tidak berguna langsung."

iluminasi ketagihan rekaan media sosial5

Menurut statistik, golongan remaja memeriksa telefon mereka 157 kali setiap hari, 145 minit setiap hari, memeriksa hanya untuk merasakan hubungan, justifikasi kepada diri sendiri dan yang paling penting - disukai. Atas sebab tersebut Jutsin berhenti dari Facebook setelah merasakan Facebook hanyalah alat untuk membuang masa.

Adam Alter berpendapat tidak akan banyak perubahan dapat dilakukan dalam menjadikan perniagaan platform media sosial lebih beretika. Adam menyarankan agar pengguna berusaha mengawal ketagihan mereka atau menggunakan aplikasi yang mampu membantu. Pengguna juga harus lebih vokal dalam memastikan platform media sosial tidak berterusan mengambil peluang atas ketagihan yang mereka cipta.

Justin menyimpulkan semua ini dengan pandangan beliau berkenaan isu ketagihan yang dijana oleh pemegang platform media sosial - "hidup kita ni pasti akan berakhir. Jika kita tak berhati-hati, satu hari nanti kita akan sedar hidup kita dipandu komputer dan peranti mobil, yang tidak mendatangkan sebarang faedah."


Artikel ini adalah terjemahan artikel The Secret Ways Social Media is Built for Addiction


tags : , , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)