Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat pada tahun 2016 merupakan satu keputusan yang mengejutkan seluruh dunia. Walaupun tidak mempunyai latar belakang politik dan tidak mempunyai profesionalisma sebagai seorang pemimpin, beliau berjaya mengalahkan pencabarnya dan seterusnya menjadi Presiden Amerika Syarikat yang baru menggantikan Barrack Obama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat beberapa teori dan pendapat mengenai kemenangan Donald Trump ini antaranya peratusan pengundi yang rendah membolehkan Donald Trump yang mempunyai ramai penyokong fanatik ini menang mudah ke atas lawannya. Walaupun dakwaan ini seakan-akan benar, sebenarnya terdapat satu lagi faktor yang mungkin memberikan kemenangan kepada Donald Trump, iaitu penyebaran berita tidak benar atau berita palsu.

Apabila musim pilihan raya, maka setiap pengguna internet akan ghairah mencari informasi-informasi berkaitan pilihan raya terutamanya mengenai calon yang bertanding. Akibat daripada keghairahan ini, kebiasaannya pengguna sosial media tidak akan berfikir panjang untuk berkongsi sesuatu informasi yang diperolehi di akaun laman sosial mereka.

Maka, bagi golongan yang optimistik dan bijak mengambil kesempatan, mereka memandang suasana ini sebagai satu peluang cerah untuk menjana ratusan ribu ringgit melalui penulisan berita palsu. Wang ini biasanya dijana apabila pembaca mengklik iklan yang diletakkan di laman web mereka.

Statistik jumlah berita palsu menjelang musim pilihan raya Amerika Syarikat 2016

statistik berita palsu

Mengikut statistik, beberapa bulan sebelum berlangsungnya pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, pengguna laman sosial Facebook lebih banyak berkongsi berita palsu berbanding berita sebenar. Menariknya, berdasarkan kajian, kebanyakan berita palsu yang viral ini datangnya daripada Macedonia, iaitu sebuah negara yang berada di utara Greece.

Mark Zuckerberg, iaitu CEO Facebook sendiri mengakui akan penyebaran berita palsu yang berasal daripada Macedonia ini. Video di bawah adalah sebuah dokumentari yang telah membongkar industri penulisan berita palsu di Macedonia. 

Industri Berita Palsu di Macedonia

Sewaktu musim pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, pihak Facebook telah mengenalpasti terdapat kira-kira lebih 100 buah laman web yang memuatkan berita tidak benar. Kebanyakan laman web ini akan menghasilkan berita palsu yang akan memberi kelebihan buat calon daripada Parti Republikan, iaitu Donald Trump.

Antara salah seorang individu yang mengaku secara terbuka membuat penulisan berita palsu adalah Mirko Ceselkoski. Dengan gelaran "Pakar Strategi di Facebook", beliau secara terbuka mengaku beliau secara tidak sengaja telah membantu kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

berita palsu macedonia

Dalam temuramah yang dibuat, beliau juga mengaku melatih ribuan penulis menulis konten penulisan yang dikhaskan untuk pembaca daripada Amerika Syarikat dan konten ini termasuklah berita tidak benar. Malah, beliau juga dengan bangga mengatakan para pelajarnya juga secara tidak langsung telah membantu kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya tersebut.

Menurut Mirko Ceselkoski, segalanya bermula sejak tahun 2000 lagi. Walau bagaimanapun, salah seorang pelajarnya secara tidak sengaja terjumpa lubuk membuat wang daripada teknik penulisan berita palsu ini ketika bereksperimen dengannya menjelang musim pilihan raya.

Teknik membuat duit daripada penulisan berita palsu

buat duit online

Berikut merupakan cara atau teknik yang diajar oleh Mirko Ceselkoski kepada para pelajarnya. Hendaklah diketahui bahawa apa yang diajar oleh beliau adalah satu perbuatan yang salah, tidak beretika dan tidak bermoral.

1. Membina laman web - Laman web yang dibina mestilah kelihatan profesional dan mudah dibaca. Ianya kelihatan seperti laman web besar lain yang memuatkan berita-berita terkini. Nama laman web tersebut juga mestilah seolah-olah melambangkan ianya berasal daripada Amerika Syarikat. Contohnya "The Denver Guardian".

2. Mencuri konten - Laman web tersebut akan dipenuhi dengan konten-konten yang dicuri daripada laman-laman web popular. Tajuk dan isinya akan diubah sedikit bagi menipu enjin carian bahawa ianya adalah konten original. Dalam banyak-banyak artikel, akan diletakkan beberapa artikel palsu yang memang bertujuan untuk menarik trafik ke laman web tersebut.

3. Membina halaman rasmi Facebook - Bagi memudahkan konten mudah viral, halaman Facebook rasmi perlulah dibina. Disinilah segala penulisan akan dikongsi. Kewujudan halaman rasmi Facebook ini akan memberikan gambaran bahawa laman web tersebut adalah autentik dan benar.

4. Meletakkan pelbagai jenis iklan dalam laman web - Iklan-iklan inilah punca utama pendapatan. Antara iklan yang biasa dipaparkan adalah iklan daripada Google Adsense.

5. Tajuk dan gambar yang menggemparkan - Apa yang membezakan laman web berita palsu ini dengan laman web biasa adalah penggunaan tajuk dan gambar yang menggemparkan. Penggunaan tajuk dan gambar yang menggemparkan ini merupakan "clickbait" yang akan menggalakkan orang ramai mengklik dan berkongsi artikel tersebut. Kedua perkara ini merupakan elemen paling penting. Berikut merupakan antara berita palsu dengan tajuk yang sangat menggemparkan:

contoh berita palsu 421

Bagi memastikan penulisan yang dibuat mengikut standard bahasa Inggeris Amerika Syarikat, mereka juga kebiasaannya akan mencari penulis berbayar daripada Amerika Syarikat untuk menulis bagi pihak mereka. Mirko Ceselkoski juga mengatakan beberapa bulan sebelum musim pilihan raya dan ketika musim pilihan raya itu sendiri, terdapat beberapa orang pelajarnya yang mampu menjana pendapatan daripada penulisan berita palsu ini sehingga $100,000 sebulan.

Dalam wawancara ini juga, beliau mengakui apa yang dilakukan itu tidak bermoral dan beretika. Walau bagaimanapun, tiada undang-undang di Macedonia yang mengatakan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah. Ketika ditanya mengenai pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 2020, beliau mengatakan tetap akan melakukannya lagi akan tetapi menggunakan strategi yang sedikit berbeza.

Kredit:

CNN

BuzzFeed News




Hakcipta iluminasi.com (2017)