Kredit foto : HRJoe

Bagi mereka yang lahir selepas kewujudan interaksi media sosial, anda tidak merasai betapa berbezanya hubungan sesama masyarakat sebelum ramai individu berani mendedahkan identiti dalam internet.

Media sosial terdahulu walaupun menggalakkan kita menggunakan nama sebenar, namun sambutannya kurang menggalakkan. Ramai selesa menggunakan nama samaran, tidak gemar mendedahkan wajah sebenar kita sehinggalah media sosial generasi seterusnya mempopularkan penggunaan nama sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keterbukaan kita terhadap perubahan ini bagaimanapun menghilangkan beberapa misteri tentang 'siapa kita?' sehingga akhirnya menyebabkan identiti kita mudah diakses sesiapa saja. Berikut adalah lima aktviti yang kini sudah hilang impaknya akibat perubahan ini.

1. Temuduga kerja

temuduga kerja zaman moden

Temuduga kerja satu ketika dulu adalah kali pertama penemuduga dan calon bersua muka.Calon perlu membawa bermacam jenis dokumen serta bukti kemahiran, bagi membuktikan dirinya layak ketika dinilai dalam proses temuduga.

Namun kewujudan rangkaian media sosial yang membuka semua informasi kita kepada umum, telah menyebabkan proses temuduga zaman sekarang bermula lebih awal - melalui carian nama kita di internet sebelum sesi sebenar berjalan.

Calon-calon temuduga zaman sekarang tidak lagi dinilai hanya berdasarkan kemahiran dan kelulusan atas kertas, sebaliknya turut dinilai berdasarkan ciapan, perkongsian, buah fikiran dan apa saja yang dimuat naik di media sosial.

Jangan terkejut pula sekiranya anda langsung tidak pernah dipanggil untuk temuduga, sekiranya perkongsian media sosial anda berbaur negatif atau kerap mengeluh tentang gaji tak cukup.

Penulis sendiri memang menjadikan media sosial sebagai saringan pertama dalam proses temuduga. Buat apa kita nak buang masa temuduga seseorang, kalau kita dah tahu dia selalu mengeluh dan mengamuk setiap kali gagal temuduga di media sosial.

2. Permohonan maaf secara berdepan

permohonan maaf

Siapa suka mengikut kontroversi yang berlaku dalam media sosial, angkat tangan. Perkongsian dalam media sosial kerap menimbulkan persengketaan sesama kita, khasnya apabila melibatkan perkongsian palsu atau dakwaan yang direka-reka.

Apabila ada yang dah 'terbukti' menipu serta berdepan ugutan saman, akan keluarlah video sedih atau kenyataan panjang memohon maaf atas kesilapan yang terlanjur dilakukan.

Masalahnya majoriti permohonan maaf yang dilakukan nadanya masih bersifat angkuh, tidak menyesali apa yang dilakukan serta dibuat hanya kerana terpaksa. Tak ikhlaslah kiranya. Permohonan maaf pula dibuat tanpa bersua muka, dilakukan melalui perkongsian semata-mata.

Kalau dah buat salah, apa salahnya usaha sikit pergi bertemu mangsa dan minta maaf berdepan-depan bertemu mata? Takut ke? 

3. Tonton wayang tanpa tahu jalan cerita

haley joel osment i see dead people

Satu misteri yang penulis benar-benar rindui adalah perasaan seronok nak pergi menonton wayang tanpa tahu apa yang akan kita tonton, melainkan apa yang ditunjuk dalam 'trailer' filem.

Media sosial memudahkan misteri filem baru dirungkai, dengan netizen tampak gembira membincangkan tentang filem yang telah mereka tonton sehingga dikongsikan semua maklumatnya.

Dulu, perkara sebegini berlaku dalam panggung semasa filem ditayangkan. Kalau ada di kalangan penonton yang dah tengok filem tu, mesti dia akan tercelupar cakap "haa, lepas ni dia mati kena tikam!" atau "ni sekejap lagi hantu keluar" dekat kawan dia.

Kita yang duduk dalam panggung nak hayati cerita, habis terganggu sebab dia dah beritahu dulu. 

Sekarang ni, belum sempat beli tiket pun dah ada yang terlebih rajin nak bercerita pasal filem yang baru dia tonton di internet. Dah hilang dah misteri untuk kita. 

4. Melakukan kerja amal

pantang larang selfie apabila membantu orang susah 886

Pepatah menyebut 'bersedekahlah dengan ikhlas dengan tangan kanan, sehinggakan tangan kiri tak tahu berapa nilai sedekah kita.' Itu tandanya buatlah sesuatu amal kebajikan seikhlas mungkin tanpa perlu menunjuk-nunjuk. 

Sayangnya dalam era di mana media sosial dijadikan medan promosi gerak kerja kebajikan, usaha kebajikan juga sudah mula dijadikan satu kaedah pemasaran yang efektif. Perlukah perkongsian sebegitu dibuat?

Mereka yang terlibat kata perlu, kerana menjadi bukti mereka menyampaikan amanah orang lain. Tetapi persoalannya bukankah sebelum era media sosial, boleh saja kebajikan dilakukan tanpa dijadikan satu agenda mengejar populariti dan promosi? 

Kadang-kadang rasa menyampah melihat badan-badan ini mempromosikan gerakan mereka pun ada jugalah. Kita tahu mereka buat benda baik, tapi entah kenapalah kadangkala perkongsian yang dibuat agak menyimpang dari tujuan asalnya. 

Banyak sangat gambar sukarelawan berposing dan bergembira, walaupun ketika itu suasana sepatutnya hiba.

5. Temujanji buta

blind date temujanji buta

Sepanjang usia penulis, penulis hanya sekali pernah menghadiri temujanji buta atau blind date sekitar awal alaf 2000. Malangnya selepas temujanji itu, penulis gagal menghubungi kenalan tersebut.

Mungkin dia merasakan penulis terlalu kacak untuk dirinya.

Sesiapa yang pernah menghadiri temujanji buta pasti faham debaran yang kita akan rasakan bila menantikan si dia hadir kan? Dua puluh tahun lalu, komunikasi di internet hanya terhad kepada teks.

Sangat bergantung kepada tahap kepercayaan kita dengan dia. Jika dia kata lelaki, lelakilah dia. Jika dia mengaku perempuan, wanitalah dia. Tua atau muda, kaya atau miskin, apa kerja dia, semuanya tidak kita tahu kesahihannya melainkan kita memberanikan diri bertemu muka.

Bila dah jumpa pula, bukan semuanya berakhir dengan gembira. Ada yang tengah-tengah makan, dia kata nak ke tandas sekejap tapi lepas tu tak muncul kembali pula.

Media sosial embuatkan perkenalan sebegini mustahil, kerana amat mudah untuk kita mengetahui identiti seseorang sebelum kita berjumpa. Bukan setakat nama dan wajah, malahan apa dia suka makan, kerja atau sekolah di mana, semuanya sudah diwartakan untuk tatapan semua. Masih ada tak orang yang tegar melibatkan diri dalam melakukan temujanji buta?

Jika ada, apa pengalaman anda? Bagaimana anda melakukannya dalam era media sosial yang menceritakan semua maklumat peribadi kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)