influencer media sosial realiti hakikat

Mungkin ada orang yang akan mendakwa penulis ketinggalan zaman serta enggan menerima perubahan..

Tetapi penulis sebenarnya cukup menyampah dengan kumpulan-kumpulan pempengaruh atau 'influencer' media sosial yang sibuk nak buat 'lintas langsung' di mana saja mereka berada. Gaya mereka mengalahkan wartawan.

Ada di merata tempat tumpuan orang seperti kompleks beli belah, kedai makan, kafe dan bermacam lagi lokasi yang mampu dijadikan topik - pempengaruh ada kalanya tidak mempedulikan kehadiran orang lain semasa mereka sibuk 'bekerja.'

Wujud beberapa situasi yang boleh timbul ekoran kewujudan pempengaruh ini yang sebenarnya agak menyakitkan hati kami semua. Benarkah ada?

1. Tolong jangan libatkan orang awam 

influencer tayang perangai biadap

Satu perkara yang paling utama dan perlu dihormati adalah hak orang yang tak mahu terlibat dalam video anda - termasuklah juga individu yang ingin dijadikan subjek video anda. 

Bukan semua orang mahu dipaparkan dalam saluran anda yang ramai sangat pengikutnya tu, jadi sebaiknya kalau nak sangat cipta kandungan carilah topik yang kalau melibatkan orang lain, orang tu tahu dia dirakam. Jika nak pilih lokasi, pilihlah lokasi di mana orang tak ramai. 

Bukan apa...kami tak mahulah terlanggar anda atau jurukamera anda yang sedang khusyuk melakukan aksi anda tu. Dalam tempat yang padat dengan orang dan anda pula sibuk nak rakam video, tak kena lah gaya dan masanya.

Lagipun apabila influencer suka hati saja tayang orang lain untuk jadi bahan topik kandungan mereka, dah dapat kebenaran tuan punya badan ke? Jika ada orang rakam video mak ayah influencer kena maki dan tularkan, anda setuju ke wajah mak ayah anda disebar? 

2. Tolong jangan sentuh orang lain secara fizikal

prank pegang tangan

PERLU KAMI TEKANKAN LAGI SEKALI! Jika anda nak libatkan orang lain dalam video, tolonglah cari orang yang nak terlibat dalam video anda dulu. Dapatkan persetujuan mereka. Belanja mereka makan sebagai upah penyertaan.

Khasnya kalau anda rancang nak libatkan orang lain dengan sentuhan fizikal! Dah lah rakam wajah tak minta kebenaran, influencer boleh pula curi-curi sentuh tubuh orang lain untuk jadi bahan kandungan.

Macam geng kaki prank. Buat-buat pegang tangan orang lain masa naik eskalator. Prank ajak orang bergaduh siap cuit-cuit nak bagi mangsa panas. Bila dah mula sentuh fizikal orang lain, kita dah mula pecah masuk sempadan antara kita dengan individu yang terlibat.

Situasi pun dah berubah. Takut-takut....

3. Jika kena belasah atas prank anda, rasakan

influencer rakam video prank 431

...ada yang mula rasa panas dengan gelagat anda. 

Tak mustahil untuk seseorang yang dilibatkan tanpa rela dalam video-video anda bertindak balas secara fizikal, kepada anda kumpulan pempengaruh. 

Bila ada orang bertindak kasar, anda sebagai influencer pastilah akan kongsi video rakaman kejadian anda, mainkan persepsi mereka yang serang anda sebagai orang yang tak cool, tak open bla bla bla.

Namun beban kesalahan sebenarnya jatuh kepada anda. Bila anda dah libatkan orang lain dalam video anda, anda kenalah hadapi risikonya. Kena serang atau kena maki ketika mencipta kandungan tu, patut anda terimalah sebagai asam garam anda sebab nak sangat bergelar pempengaruh ni. 

Tetapi jika anda kena belasah disebabkan oleh tindakan anda nak cipta video anda, kami hanya boleh kata....rasakan. Kami sering ketawa besar bila ada video influencer kena serang balik dengan mangsa.

4. Anda bukan pasukan produksi berlesen pun

lelaki masuk dalam rakaman tiktok

Terimalah hakikat - sebagai pempengaruh, semua yang anda, anda lakukan tanpa memiliki lesen untuk melakukan penggambaran. Tak ada siapa lantik anda buat tu semua. Apa yang anda lakukan adalah secara sukarela.

Walaupun isu berkenaan lesen hak penggambaran ini masih agak kabur di negara kita berikutan ketiadaan akta jelas pelesenan penggambaran video di tempat awam untuk tayangan dia media sosial - anda sebagai pempengaruh perlu sedar bahawa sesi rakaman anda itu boleh mencetuskan konflik sekiranya sudah mula dianggap mengganggu.

Sebagai contoh pernah tular video pemilik kereta Mustang terhenti di tengah jalan disebabkan kehabisan minyak, yang telah menyebabkan jalan sesak.

Jika benar kehabisan minyak tak mengapa. Biasalah. Tetapi kenapa perlu situasi itu yang jelas sudah menyusahkan orang lain, boleh pula dijadikan sesi rakaman video yang perlu dimuat naik sebagai kandungan? 

4. 10, 15 tahun lagi anda akan malu dengan perbuatan anda

tiktok nenek tua

Hanya apabila kita matang, barulah rasa menyesal apabila menoleh kembali ke belakang melihat kembali semua perbuatan dan tindak tanduk kita selama ini. Itulah yang bakal berlaku kepada anda golongan pempengaruh yang kini mungkin merasakan diri anda gah dipuji dan dijulang pengikut anda yang ramai. Kami yakin satu hari nanti, anda akan melihat balik semua video yang anda hasilkan dengan rasa 'bodohnya aku dulu' dalam hati. 

Waktu itu anda akan mengenang semula semua masa yang anda dah perhabiskan untuk mencipta kandungan yang sebenarnya tak membawa apa-apa faedah kepada anda dan masyarakat - jika anda influencer jenis sebegitulah.

Anda akan malu, kesal dan menyesal kenapa sebahagian besar hidup muda anda dihabiskan untuk menghasilkan rakaman yang menghiburkan orang lain, tanpa memberikan impak kepada sesiapa.

Anda juga akan mula mempersoalkan apa gunanya jumlah follower dan like yang banyak, dalam hidup anda.

Jika anda tak bersetuju dengan pandangan ini, kami tanya anda satu soalan - bila anda dah bercucu cicit, adakah anda akan kongsikan pautan Tik-Tok anda bagi tontonan seisi keluarga? 

Seandainya jawapan anda 'GILA! MALULAH WOI!' itu tandanya anda sendiri sebenarnya ada rasa malu dengan 'hasil kerja' anda sebagai influencer ketika ini. Insaflah. Kembali ke pangkal jalan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)