ted bundy dan isabella guzman

Sehingga kini, terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk mengenalpasti ciri-ciri seorang psikopat. Bagaimanapun, beberapa kajian mendapati ciri-ciri tersebut mungkin lebih mudah dilihat melalui platform dalam talian yang kita gunakan sehari-hari iaitu media sosial.

Tahukah anda, kira-kira satu hingga dua peratus orang dalam kalangan populasi masyarakat umum merupakan psikopat? (Peratusan ini lebih tinggi di penjara, bilik lembaga pengarah dan pelajar jurusan ekonomi/perniagaan.)

Ini bermakna, sekiranya anda mempunyai 100 orang rakan di Facebook, kemungkinan satu atau dua orang merupakan psikopat. Persoalannya, kawan yang mana satu?

Walaupun kajian-kajian ini masih belum membuktikan sesuatu ciri itu adalah sahih dan muktamad, namun ia mungkin tanda-tanda amaran awal yang perlu diperhatikan.

1. Lelaki yang kerap memuat naik swafoto

Pakar psikologi dari Victoria University, Profesor Marc Wilson menyatakan bahawa individu yang mempunyai kecendurangan psikopat lebih gemar menghabiskan masa di media sosial. Secara khususnya, mereka lebih cenderung memuat naik gambar swafoto yang telah diedit supaya dilihat lebih segak, mempunyai rangkaian kenalan yang luas dan menjadi rebutan ramai.

orang lelaki yang suka selfie mungkin ada tanda narsisistik dan psikopat 936

Menurut Prof. Wilson lagi, media sosial merupakan platform terbaik bagi individu dengan ciri psikopat ini supaya lebih diagung-agungkan. Jadi, mereka sanggup meluangkan masa lebih lama untuk mengedit setiap gambar dan memastikan diri mereka sentiasa kelihatan hebat.

2. Kaki troll dan kaki buli alam maya

Ini adalah antara ciri yang paling mudah dikenal pasti. Kemungkinan tiada siapa yang akan berasa terkejut sekiranya mendapat tahu bahawa individu yang suka memberikan komen penuh kebencian dan sengaja menjengkelkan orang lain mempunyai kecenderungan menjadi seorang psikopat. Tabiat toksik ini pula dilakukan tanpa secalit pun rasa bersalah.

psikopat suka memberi komen jahat dan benci untuk menyakitkan hati orang lain 986

Penyelidikan yang dijalankan oleh Erin Buckels dan rakan sekerjanya dari University of Manitoba menyiasat sama ada individu yang gemar menghasut secara maya ini mempunyai ciri keperibadian yang jatuh dalam kategori "Dark Tetrad." Mereka mendapati hubung kait antara sifat dalam Dark Tetrad dengan tabiat trolling ini adalah agak signifikan.

Pada masa yang sama, saintis dari Sweden juga mengesahkan bahawa individu yang gemar berkongsi bahan lucah atau berunsur ganas juga mempunyai kecenderungan menjadi psikopat.

3. Obsesi terhadap makanan dan keseronokan lain

Mungkin anda pernah terfikir, mengapakah ada sesetengah orang begitu taasub memuat naik gambar hidangan mereka sebelum mula menjamah makanan? 

Salah satu puncanya mungkin kerana mereka mempunyai kecenderungan psikopatik. Ini disebabkan seorang psikopat lebih gemar berbicara tentang tiga keseronokan duniawi iaitu makanan, hubungan intim dan wang.

psikopat taasub dengan makanan dan keseronokan dunia yang lain

Satu penyelidikan lain juga telah diterbitkan dalam jurnal Computers in Human Behavior. Kajian itu yang dijalankan ke atas 6,724 peserta mendapati individu yang memperolehi skor tinggi dalam ujian personaliti psikopat sering memuat naik status berkisar tentang memenuhi keinginan dan kepuasan diri sendiri.

4. Obsesi dengan isu berkaitan politik

Mungkin anda, saya dan majoriti orang lain juga pernah memuat naik satu atau dua post berkaitan politik dalam mahupun luar negara. Walau bagaimanapun, anda boleh menarik nafas lega kerana ia tidaklah terus menjadikan kita tergolong dalam kategori psikopat.

psikopat taasub dengan politik

Ini disebabkan seorang psikopat dilaporkan begitu taasub dengan isu politik. Hal ini demikian kerana mereka sangat tertarik dengan topik-topik yang melibatkan kuasa, pengaruh dan segala jenis konflik. Tambahan pula, kisah-kisah konflik ini acap kali disebarkan dengan mudah dan meluas di media sosial. Maka, ia menjadi wadah terbaik bagi individu psikopat untuk mempamerkan tingkah laku agresif.

5. Marah apabila tiada like atau komen

Seorang psikopat cenderung untuk berasa marah apabila status yang dimuat naik tidak mendapat perhatian yang diinginkan. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai ketaasuban terhadap diri sendiri yang terlampau tinggi. Mereka kemudian mungkin boleh bertindak agresif dengan menyerang mana-mana post lain sambil meninggalkan komen penuh kebencian atau sengaja menyebarkan berita palsu bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak.

psikopat marah apabila tidak diberikan perhatian secara dalam talian

Ada tak mana-mana rakan media sosial anda mempunyai tanda-tanda begini? Jika ada, mungkin anda boleh cuba melarikan diri dengan membuang mereka secara diam-diam dari senarai rakan.

Namun, tiada jaminan yang mereka tidak akan cuba "add friend" dan berkawan kembali dengan anda kerana itulah sifat seorang psikopat - punyai ego setinggi langit dan tidak tahu malu. 

Rujukan:

1. Forbes : The Disturbing Link Between Psychopathy and Leadership

2. DailyMail UK : Did you study business or economics? Then you might be a psychopath, claim scientists

3. NewstalkZB : Researcher warns that social media is empowering corporate psychopaths

4. Slate : Internet Trolls Really Are Horrible People

5. DigitalTrends: Study says Facebook can tell if you’re a psychopath

6. Inc. : Want to Know If Someone Is a Psychopath? Listen for How Much They Discuss These 3 Topics

7. Science Direct : Dark personalities on Facebook - Harmful online behaviors and language



Hakcipta iluminasi.com (2017)