Ketika wabak COVID-19 menyebabkan jutaan hilang pekerjaan di Thailand, Unyakarn Booprasert mendapati dirinya tidak mempunyai wang atau sesiapa yang dapat membantunya. Wanita itu sehingga terpaksa membahagikan sebungkus mi segera kepada tiga hidangan sehari.

Dia juga berputus asa menunggu wang sebanyak 15.000 bath (RM 1974) yang dijanjikan kerajaan di bawah skim bantuan No One Left Behind. Unyakarn adalah antara 15 juta pemohon yang tidak memenuhi syarat untuk menerima bantuan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia membuat rayuan pada April lalu tetapi tidak diendahkan oleh pihak Kementerian Kewangan. Dia kemudian cuba membunuh diri di hadapan bangunan kementerian itu dengan memakan racun tikus sebagai tanda protes.

Justeru cubaan bunuh diri itu, pihak berkuasa meneliti kesnya semula dan memutuskan bahawa Unyakarn layak mendapat bantuan. Kisah Unyakarn adalah salah satu daripada masalah besar yang menimpa Thailand ketika ini.

Peningkatan ketara akibat wabak COVID-19

Kes bunuh diri di Thailand melonjak naik akibat kesan wabak COVID-19. Seramai 2,551 orang membunuh diri pada enam bulan pertama tahun 2020, meningkat 22 peratus dari tempoh yang sama pada 2019. Peningkatan ini dipercayai akibat tekanan wabak yang melanda.

Kumpulan paling terjejas akibat wabak ini termasuklah pekerja pelancongan, pendatang dan pekerja seks. Industri pelancongan yang menyumbang sebanyak 12% kepada GDP Thailand lumpuh apabila sempadan negara ditutup bagi memerangi penyebaran COVID-19.

Menurut ahli ekonomi, Thanaporn Sriyakul, pekerja seks mungkin antara yang paling terjejas kerana kebanyakan mereka tidak didaftarkan dalam sistem jaminan sosial dan mempunyai akses terhad terhadap bantuan kerajaan.

Budaya dan ekonomi menjadi punca

Sebenarnya, masalah ini bukanlah sesuatu yang baru. Keadaan sama pernah berlaku semasa krisis kewangan Asia 1997. Ketika itu, kes bunuh diri meningkat sekitar 20 hingga 25 peratus.

Sebelum kedatangan COVID-19 lagi, Thailand sememangnya mempunyai kes bunuh diri tertinggi di Asia Tenggara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kadar bunuh diri tahunan di Thailand adalah sebanyak 14.4 per 100,000 penduduk sementara purata standard dunia adalah 10.5 per 100,000 penduduk.

Ketika ini, dianggarkan berlakunya satu cubaan membunuh diri setiap 10 minit di Thailand.

Menurut profesor Universiti Sains Sosial Singapura, Antonio L Rappa, budaya dan ekonomi menjadi penyumbang kepada kadar bunuh diri yang tinggi di Thailand. Beliau telah mempelajari budaya, sejarah dan politik Thailand selama lebih 20 tahun.

Selain faktor ekonomi, Rappa juga mengatakan bahawa rakyat Thailand mempunyai sejarah yang panjang menjadi "pejuang" dan sudah terbiasa dengan idea "kematian".

Budaya protes di Thailand bermaksud orang mungkin rela mati untuk menyatakan perjuangan mereka. Malah, ajaran Buddhisme Treravada yang dipraktikkan secara meluas juga mengajar agar menerima idea ini.

Langkah kerajaan menangani masalah bunuh diri

Semasa wabak COVID-19 melanda, banyak talian bantuan yang disediakan untuk memberi khidmat nasihat tetapi timbul masalah lain. Terlalu banyak panggilan menyebabkan pemanggil perlu menunggu selama 10 hingga 12 minit sebelum panggilan dijawab.

suicide hotline thailand

Sebilangan orang tidak mahu menunggu begitu lama walaupun Jabatan Kesihatan Mental sudah menyediakan sebanyak 20 talian panggilan.

Kerajaan Thailand juga menawarkan sokongan tambahan seperti menyediakan rawatan kesihatan mental di hospital awam dengan cas sebanyak 30 baht (RM 4) sahaja.

Namun, langkah baik kerajaan ini juga mempunyai kelemahan tersendiri. Menurut penasihat kesihatan mental, Amornthep Sachamuneewongse, kekurangan pekerja kesihatan mental menyebabkan pesakit perlu menunggu lama di hospital kerajaan.

Rawatan di hospital swasta mungkin lebih baik dan cepat tetapi memerlukan belanja yang tinggi. Ini adalah mustahil bagi pesakit mental yang mengalami masalah kewangan.

Amornthep juga pernah cuba untuk membunuh diri lima tahun yang lalu. Dia mengalami halusinasi dan gejala kemurungan seperti skizofrenia dan memerlukan hampir setahun untuk didiagnosis dengan betul. Ini menunjukkan bebanan besar kerajaan untuk menangani ratusan ribu pesakit yang melalui masalah sama.

Pelbagai langkah bantuan tambahan

Kerajaan Thailand sedar bahawa perlunya kempen meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental. Pihak berkuasa bekerjasama dengan pelbagai NGO, firma teknologi bahkan industri hiburan.

hotline kesihatan mental thailand

Untuk berhubung dengan orang ramai, kerajaan Thailand telah menubuhkan pasukan khas "Hope Task Force" yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan aplikasi Line bagi berkomunikasi dengan pesakit.

Platform ini menyediakan lebih banyak saluran bantuan serta membolehkan sukarelawan dan pakar kesihatan mental berhubung dengan lebih berkesan seperti berbual dengan lebih daripada satu orang dalam talian.

Jabatan Kesihatan Mental juga membangunkan aplikasi Pemeriksaan Kesihatan Mental. Pengguna boleh menjawab soalan pilihan yang merangkumi keletihan, tahap tekanan dan kemurungan.

Untuk mendekati golongan muda pula, pihak berkuasa berkolaborasi dengan Unicef dan platform muzik Joox Thailand dalam kempen "The Sound of Happiness" yang menampilkan podcast, lagu dan perkongsian selebriti tentang kesihatan mental.

the sound of happines

Malah, satu lagu berjudul Nai Lao (Mari Bicara) yang diterbitkan nyanyian artis hip-hop Autta, Blacksheep dan Milli menjadi kegemaran di kalangan pendengar muda.

Menurut penerbit lagu itu dan pengasas label YUPP!, Sakkapit Makun, kerajaan mungkin kekurangan sumber untuk membantu masalah kesihatan mental di Thailand akibat COVID-19 tetapi sumbangan bersama semua pihak mampu mengurangkan sedikit beban yang dialami rakyat negara itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)