Oleh pada 15 Jun 2019 kategori

Topik homoseksualiti dan LGBT nampaknya tidak dapat reda daripada terus dibincangkan di negara kita. Ekoran beberapa pendedahan yang didakwa berlaku, melibatkan individu-individu berkepentingan dalam kerajaan sendiri - penulis rasa seolah-olah kita telah memutarkan masa kembali ke 20 tahun lalu, pada tahun 1998.

Mereka yang faham maksud penulis, senyum sajalah baca ayat di atas ya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Polemik LGBT kerap kali dijadikan topik tulisan dalam laman kami, kerana kami percaya masalah ini akan semakin lama semakin menyelubungi masyarakat kita. Lihat saja apa yang telah berlaku di Eropah misalnya, dengan yang terbaru di Taiwan selepas negara itu menjadi negara pertama Asia mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Thailand dikatakan bakal menurut langkah serupa, jadi adalah lebih baik untuk kita belajar serba sedikit tentang undang-undang melibatkan LGBT yang ada di kalangan jiran kita. Kita mulakan dengan Thailand terlebih dahulu.

1. Thailand

lgbt thailand

Kita sudah biasa mendengar kewujudan komuniti Ladyboy yang menjadi salah satu identiti pelancongan Thailand. Berbanding dengan jiran-jirannya, Thailand merupakan negara paling terbuka dalam segala hal melibatkan seksualiti ini. Sejak dahulu, festival melibatkan golongan gay di Thailand kerap kali dianjurkan, sebelum perubahan masyarakat menghentikan festival-festival serupa dijalankan.

Selepas berlaku pindaan pada tahun 2015 yang menjadikan diskriminasi terhadap jantina dan kecenderungan seksual satu jenayah, barulah gerakan LGBT di Thailand kembali aktif secara terbuka. Hasilnya, perarakan PRIDE yang terhenti lebih sedekad lamanya kembali dianjurkan pada tahun 2017.

Pada Disember 2018, kerajaan Thailand meluluskan pembacaan usul membenarkan perkahwinan sejenis diiktiraf secara rasmi dan hanya menunggu kelulusan daripada Parlimen, ketika ini.

Bagaimanapun, usul ini dikritik kerana hanya mengiktiraf pendaftaran perkahwinan tanpa memberikan hak sama rata pada pasangan sejenis, buat masa sekarang. Pasangan sejenis tetap tidak diberikan hak pengambilan anak angkat secara bersama, dengan proses tersebut hanya boleh dilakukan secara individu.

2. Indonesia

indonesia anti lgbt

Oleh kerana beberapa wilayah di Indonesia diberikan kuasa secara autonomi, wujud beberapa perbezaan dalam undang-undang berkaitan LGBT di Indonesia. Secara amnya, hubungan homoseksual di Indonesia tidak mempunyai sebarang bentuk larangan terhadap perlaku sodomi, kecuali di Aceh dan Sumatera Selatan. Beberapa cubaan untuk menjadikan liwat satu jenayah di seluruh Indonesia berdepan kegagalan.

Wilayah seperti Aceh dan Sumatera Selatan pula mengamalkan undang-undang syariah yang menghukum pesalah kelakuan homoseksual dengan 100 kali sebatan atau 100 bulan penjara.

Walaupun tidak melarang aktiviti homoseksual secara jelas, perkahwinan sejenis tidak diiktiraf di Indonesia di mana-mana wilayah sekalipun - kerana perlembagaan Indonesia secara terang hanya menerima penyatuan seorang lelaki dan seorang wanita dalam ikatan perkahwinan.

Oleh kerana itu, tidak wujud dalam rekod pasangan sama jenis dan ini menyebabkan mana-mana pasangan sejenis hanya ada secara tidak rasmi; tidak mempunyai hak serupa seperti pasangan normal yang lain.

3. Singapura

perarakan singapura

Menjadi antara salah satu negara maju yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk hubungan LGBT, Singapura mengambil pendekatan agak konservatif dalam hal ini. Walaupun demikian, kerajaan Singapura tetap memberikan kelonggaran kepada aktivis LGBT untuk menganjurkan perarakan dan festival mereka secara awam, bermula pada tahun 2005.

Apa yang sedikit aneh berkenaan undang-undang di Singapura sama seperti di negara kita, oleh kerana undang-undang mereka mempunyai beberapa kekaburan yang belum diperjelaskan - hanya hubungan homoseksual di antara dua lelaki saja diletak sebagai satu jenayah. Sementara itu, hubungan lesbian pula tidak.

Kerajaan Singapura tidak mengiktiraf mana-mana bentuk perkahwinan sejenis, tidak membenarkan pengambilan anak angkat oleh pasangan sama jantina dan tidak menetapkan sebarang undang-undang anti diskriminasi terhadap golongan LGBT. Pada asasnya, undang-undang Malaysia dan Singapura hampir mirip, kecuali kelonggaran perarakan yang diberikan untuk aktivis LGBT.

4. Brunei

sultan brunei anti lgbt

Digelarkan sebagai negara paling tegas terhadap golongan LGBT, kerajaan Brunei harus diakui paling terkedepan dalam menghadapi gejala buruk ini. Bagaimanapun, berikutan ketegasan itu jugalah kerajaan Brunei sering menjadi sasaran pro LGBT yang dilihat sengaja menjadikan negara itu musuh nombor 1 mereka.

Pada pertengahan tahun 2013, kerajaan Brunei mengumumkan fasa pertama pengenalan hukuman berasaskan syariah kepada mana-mana pelaku yang ditangkap melakukan hubungan sejenis, sama ada secara sembunyi atau terbuka.

Tindakan itu dikritik banyak pihak kerana menganggap apa yang bakal diperkenalkan Brunei, merupakan satu tindakan zaman lampau. Rancangannya, sistem itu akan dilaksanakan berperingkat-peringkat, berjalan sepenuhnya pada bulan April tahun 2019.

Bagaimanapun, selepas berdepan kecaman serta tekanan banyak pihak antarabangsa, Sultan Brunei mengambil keputusan menangguhkan terlebih dahulu pengenalan hukuman rejam sampai mati, ke atas mana-mana pasangan sejenis yang dibuktikan bersalah pada bulan Mei 2019.

5. Filipina

filipina anti lgbt

Selain Thailand, negara Filipina juga terkenal di kalangan komuniti LGBT sebagai negara paling mesra golongan mereka. Berbanding semua negara berjiran kita - Filipina adalah negara paling mesra LGBT.

Namun, mereka juga mempunyai wilayah-wilayah autonomi yang membenarkan wilayah tersebut memperkenalkan undang-undang mereka sendiri. Jadi wujud perbezaan-perbezaan dalam mengukur tahap penerimaan masyarakat Filipina, terhadap gejala LGBT.

Secara keseluruhan, tidak ada undang-undang yang melarang sebarang bentuk aktiviti LGBT di Filipina, membolehkan aktiviti seperti pertandingan ratu cantik transgender diadakan secara terbuka dan besar-besaran. Malahan Kongres Filipina sendiri mempunyai seorang wakil transgender sejak tahun 2016 iaitu Geraldine Roman, seorang lelaki yang memilih untuk menjadi wanita. Geraldine kini dianggap sebagai pemimpin nombor satu negara itu dalam usaha memperjuangkan hak-hak golongan LGBT.

Homoseksualiti dibenarkan di Filipina, namun setakat ini mereka belum membenarkan perkahwinan sejenis didaftarkan. Bagaimanapun, individu yang menukar jantina setakat ini belum dibenarkan menukar jantina asal mereka dalam rekod pendaftaran negara.

Beberapa wilayah di Filipina sudah pun memperkenalkan undang-undang anti diskriminasi, bagi melindungi golongan tersebut dalam pelbagai aspek.

Apa yang kelakar, dalam sebuah ucapan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada bulan Jun 2019, dia mengaku satu masa dulu dia pernah menjadi seorang homoseksual sebelum dipulihkan oleh wanita-wanita cantik yang dikenalinya.

Begitulah ringkasan bagaimana penerimaan negara-negara lain dalam isu berkaitan LGBT ini. Bagaimana dengan negara kita? Adakah anda setuju undang-undang kita diperketatkan atau dilonggarkan? Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen.

Suka artikel seperti ini? Fahamkan bagaimana Taiwan menjadi negara Asia pertama mengiktiraf perkahwinan sejenis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)