Duduk di negara beriklim panas, penggunaan pendingin hawa dikatakan oleh orang ramai sebagai satu keperluan.
Walaupun begitu, tidak ramai yang sanggup untuk berhadapan dengan kos pembayaran bil elektrik yang perlu ditanggung; penulis salah seorang daripadanya. Disebabkan oleh tingginya kos untuk menjalankan pendingin hawa, penulis memilih untuk hidup berpanas bergantung kepada kipas siling sajalah.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai yang kata kos elektrik di negara kita tinggi. Memang benar, daripada perspektif kita. Walau demikian, jika dibandingkan dengan lima negara Asia paling mahal kadar elektriknya - kita masih boleh dikatakan antara yang berpatutan.
5. Thailand
Diselia oleh sebuah badan di bawah Kementerian Tenaga Thailand yang dinamakan EGAT atau Electrical Generating Authority of Thailand sejak tahun 1969, kedudukan EGAT sebagai penyelia utama elektrik di negara itu sering dikritik kerana gagal memanfaatkan monopoli yang mereka ada, dalam menyediakan perkhidmatan terbaik.
Di kalangan negara Asia, rakyat Thailand perlu membayar harga yang agak tinggi untuk bekalan. Untuk setiap satu kilowatt per jam (kWh), rakyat negara itu perlu membayar 3.817 baht atau RM0.52 sen.
Jika dibandingkan dengan kita yang membayar RM0.109 untuk 200kWh pertama, rakyat Thailand perlu membayar lebih RM0.411 sen untuk jumlah unit yang sama.
4. Hong Kong
Di Hong Kong terdapat dua badan utama penyelia elektrik utama iaitu HK Electric (HKE) dan China Light and Power (CLP).
Kedua-duanya beroperasi membekal tenaga di kawasan berbeza, dengan CLP bertanggungjawab di Kowloon serta majoriti kawasan yang baru dibuka sementara HKE pula membekal kepada Pulau Hong Kong, Ap Lei Chau dan Pulau Lamma.
Bagi membantu beban caj penggunaan yang terlalu mahal di negara itu, kerajaan Hong Kong mengumumkan subsidi maksima sebanyak HK$2,000 setahun untuk pengguna kediaman dan HK$5,000 untuk perniagaan bermula Januari 2020.
Dengan penawaran subsidi ini, pengguna HKE perlu membayar RM0.34 untuk setiap 1kWh bagi 150 unit pertama. Bagi pengguna di kawasan CLP, mereka perlu membayar harga lebih tinggi iaitu RM0.48 sen untuk 1kWh bagi 400kWh pertama.
3. Singapura
Perubahan kepada sistem bekalan elektrik di Singapura dirombak pada bulan November 2018, dengan pembukaan sistem OEM atau Open Electricity Market di mana 12 lagi pembekal dibenarkan bersaing dengan badan utama sebelum itu, Singapore Powers (SP) bagi membantu menurunkan kos.
Sehingga bulan April 2020, sebanyak 12 syarikat telah menawarkan perkhidmatan membolehkan pengguna memilih pembekal yang mereka gemari. Disebabkan itu, syarikat-syarikat mula menawarkan bekalan mengikut pakej yang ditetapkan, sama ada melalui perjanjian harga 1kWh kekal sepanjang durasi atau untuk kontrak lebih panjang, harga yang lebih rendah dapat ditawarkan.
Selain itu, ada juga pembekal yang menawarkan harga tetap tanpa had untuk kadar bulanan membolehkan pengguna mengguna sebanyak mana elektrik tanpa perlu lagi bimbang dengan amaun bil yang bakal diperolehi.
Secara purata, untuk setiap 1kWh elektrik yang digunakan, pengguna di Singapura perlu membayar di antara RM0.53 ke RM0.55 sen, sekiranya menggunakan pelan kiraan biasa. Harga tarif standard yang diselia oleh SP sebagai harga siling adalah RM0.71 sen.
2. Filipina
Beberapa tahun dahulu, Filipina menjadi negara paling mahal kadar elektrik mereka sebelum dipintas Jepun. Ini diakui sendiri oleh badan pembekal utama mereka Meralco - sehingga memerlukan pelarasan tarif elektrik dilakukan setiap bulan di negara tersebut.
Apa yang lebih memburukkan situasi, bukan saja tarif tinggi serta kerap berubah dilaksanakan, warga Filipina turut sama berdepan dengan pertambahan 12% cukai penggunaan ke atas jumlah bil mereka setiap bulan.
Oleh kerana pelarasan terlalu kerap dijalankan ke atas kadar 1 kWh penggunaan di Filipina, agak sukar untuk kita mendapatkan angka yang tepat tentang harga yang perlu dibayar. Untuk bulan Mei tahun 2020, setiap 1kWh akan dikenakan caj RM0.75, turun daripada kadar bulan April 2020 iaitu RM0.77 sen untuk 1kWh.
1. Jepun
Insiden bencana loji nuklear pada tahun 2011 yang berlaku akibat gempa bumi Tohoku di Fukushima menyebabkan bekalan tenaga di Jepun melalui zaman malap, terjejas teruk disebabkan penutupan loji nuklear Fukushima.
Bencana itu menyebabkan Jepun yang selama ini meletakkan 30% kebergantungan mereka untuk sumber elektrik daripada nuklear, terpaksa mencari jalan lain dalam menampung bekalan. Pada
Insiden Fukushima menyebabkan kepercayaan orang ramai terhadap kepenggunaan tenaga nuklear mula merudum, mengakibatkan tekanan agar operasi loji nuklear di berhentikan. Sehingga bulan Mei tahun 2019, hanya 5 pusat janaan kuasa nuklear di Jepun dibenarkan beroperasi, berbanding 39 sebelum bencana bagi memastikan insiden tidak berulang.
Situasi ini meningkatkan kos bekalan elektrik di Jepun disebabkan kesukaran untuk mereka menampung bekalan, diburukkan lagi dengan pelarasan harga yang dibuat setiap bulan bergantung kepada harga minyak dunia.
Untuk setiap 1kWh di Jepun, harga yang dibayar adalah sekitar RM1.21 bagi pengguna kediaman, jauh meninggalkan Filipina di belakang.
Begitulah bagaimana mahalnya caj kegunaan elektrik di 5 negara Asia ini jika dibandingkan dengan kita, yang hanya dikenakan caj RM21.80 untuk 200kWh pertama atau RM0.109 untuk 1kWh.
Murah juga. Apa jenama pendingin hawa yang ok ya? Perlu ke penulis guna yang berkuasa 1.5HP untuk ruang tamu?