Polemik gaji minima seringkali menjadi isu yang besar di negara kita, apatah lagi apabila isu tersebut dibawa sebagai sebahagian daripada janji dan menifesto politik parti-parti bertanding.

Lagilah menyakitkan hati pula apabila gaji minima yang dijanjikan tidak kunjung tiba dengan 1001 alasan.

Isu ini memang hangat di mana-mana negara sekalipun termasuklah  semua negara yang berjiran dengan kita. Ini kerana gaji minima secara tak langsung  menggambarkan kemampuan kewangan rakyat sesebuah negara serta kos sara hidup yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seseorang individu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda di negara manakah gaji minima paling tinggi boleh diperolehi di kalangan negara-negara Asia Tenggara? Jom kita lihat negara mana berjaya melaksanakan gaji minima yang baik selaras dengan keperluan asas rakyat negara tersebut.

5. Vietnam

gadis vietnam persidangan apec

Negara Vietnam memperkenalkan akta gaji minima yang berbeza mengikut kawasan, dengan keseluruhan negara tersebut dibahagikan kepada empat daerah.

Daerah 1 adalah kawasan bandar Hanoi dan bandar Ho Chi Minh, daerah 2 mewakili bahagian pinggir Hanoi dan Ho Chi Minh, serta Can Tho, Da Nang dan Hai Phong. Daerah 3 mewakili kesemua daerah seperti Bac Ninh, Bac Giang, Hai Duong dan Vinh Phuc. Kategori keempat mewakili kesemua yang tidak disebut dalam kategori 1, 2 dan 3.

Sistem gaji minima Vietnam diperkenalkan dengan kaedah kiraan bulanan. Daerah 1 layak mendapat RM741.42 sebulan, daerah 2 pula RM654.92, daerah 3 RM576.66 dan yang terakhir iaitu daerah 4 pula berhak mendapatkan RM514.88.

Gaji minima tertinggi - RM741.42

4. Indonesia

tunjuk perasaan tuntut gaji minima

Tidak seperti Vietnam, Indonesia pula mengamalkan sistem gaji minima berdasarkan kepada wilayah yang ada - ditetapkan sendiri oleh Gabenor-Gabenor pentadbir wilayah masing-masing berdasarkan kepada keperluan penduduk setempat.

Oleh kerana itu data gaji minima di Indonesia mempunyai maklumat yang sangat berbeza di antara kawasan-kawasan yang ada. Kadar gaji minima paling tinggi di Indonesia sudah pastilah untuk penduduk Jakarta yang berhak menerima RM1070.94 sebulan.

Ekoran perbezaan dasar yang ada, apabila dibandingkan dengan Jakarta wilayah-wilayah menampakkan penurunan yang sangat ketara dengan beberapa wilayah lain ada yang hanya menerima 1/5 daripada gaji minima di Jakarta. Di Yogyakarta misalnya, mereka hanya layak mendapat RM462.17. Di beberapa kawasan pedalaman lain, jumlah gaji minima boleh menurun dengan lebih mendadak.

Gaji minima tertinggi RM1070.94

3. Filipina

bantahan gaji minima filipina indonesia

Sama seperti Indonesia, Filipina turut sama menggunakan sistem wilayah dalam menentukan kadar gaji minima yang harus digunakan. Oleh kerana itu maklumat yang ada turut sama mempunyai ketidak seimbangan tetapi keadaannya lebih terkawal, berbanding Indonesia. Mungkin juga dibantu dengan keluasan negara yang lebih kecil.

Selain itu, kadar gaji minima di Filipina juga dibahagikan mengikut kategori dengan kerjaya dalam bidang pertanian mempunyai tangga gaji khas, berbeza dengan profesion lain di negara tersebut.

Kadar paling tinggi gaji minimanya terletak dalam wilayah NCR atau National Capital Region yang merangkumi 16 buah kawasan metropolitan Filipina, seperti Manila, Quezon, Makati, Malabon, San Juan dan Las Pinas. Di kawasan seperti ini gaji minimanya boleh mencecah RM1186.27. Sementara itu, wilayah Mindanao menjadi penerima gaji minima terendah, pada kadar RM593.14 sahaja sebulan.

Gaji minima tertinggi RM1186.27

2. Malaysia

pekerja pembersihan gaji minima

Janji untuk menetapkan gaji minima di negara kita pada kadar RM1500 nampaknya sukar dicapai sebelum kerajaan kita mengumumkan bahawa gaji minima di seluruh Malaysia dinaikkan ke kadar RM1050.

Pengumuman ini menyebabkan bantahan orang ramai yang merasakan kadar itu tidak munasabah serta membelakangi janji pilihanraya.

Ekoran tekanan itu, kerajaan Malaysia memilih untuk meletakkan gaji minima di seluruh Malaysia pada kadar RM1100 bersamaan dengan RM5.29 untuk setiap satu jam waktu bekerja. 

Angka itu dinaikkan RM100 bersamaan RM5.77 satu jam di semua wilayah utama Malaysia bermula Januari tahun 2020, menjadikan gaji minima kita di sesetengah kawasan bandar utama terletak pada kadar RM1200, sementara kawasan selebihnya kekal pada kadar RM1100.

Gaji minima tertinggi RM1200.

1. Thailand

pekerja kilang di thailand

Kerajaan Thailand di bawah pemerintahan tentera telah pun menggubal undang-undang Thailand, bagi membantu menaikkan kadar gaji minima di negara tersebut pada tahun 2018. Sama seperti Indonesia dan Filipina, sistem wilayah diperkenalkan namun kadarnya pula ditetapkan sendiri oleh kerajaan pusat.

Langkah ini sedikit sebanyak berjaya membantu menyamaratakan pendapatan rakyat Thailand, ekoran jurang yang wujud di antara wilayah tidaklah sebesar apa yang berlaku di Filipina atau Indonesia khasnya.

Kadar gaji minima tertinggi diberikan pada pekerja di kawasan Bangkok, Phuket, Chon Buri dan Rayong yang berhak mendapatkan RM1323.43 sebulan. Di kawasan sekitar Yala, Pattani dan Narathiwat yang terletak di bahagian selatan, kadar gaji minima mereka merupakan yang paling rendah sekitar RM1235.20 sebulan.

Singapura dan Brunei

Dua negara iaitu Brunei dan Singapura tidak mengamalkan dasar gaji minima dan membenarkan golongan majikan menetapkan kadar gaji, bergantung kepada pasaran dan permintaan.

Walaupun begitu di Singapura, dua kumpulan pekerja iaitu tukang cuci dan pengawal keselamatan diberikan keistimewaan gaji minima yang telah ditetapkan. Gaji tukang cuci di Singapura haruslah dibayar pada kadar RM3007.65 dan pengawal keselamatan pula berhak mendapat RM3308.41.

Oleh kerana Brunei tidak mempunyai sistem gaji minima, apa yang boleh penulis kongsikan tentang negara tersebut hanya gaji purata pekerja di sana. Di Brunei, gaji puratanya dilaporkan sekitar RM6099 ke RM6708 sebulan, dengan kajian yang dijalankan melaporkan gaji terendah yang ditawarkan berada pada tahap BND800 atau sekitar RM2439.62 sebulan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)