Oleh pada 29 Nov 2017 kategori

Mengapa kita panggil sesebuah negara itu berbeza dengan nama asal negara tersebut? Kebanyakannya berpunca daripada kesukaran sesebuah masyarakat untuk menyebut perkataan tersebut. Ada juga yang datang daripada sejarah, nama dan mungkin juga secara tidak sengaja menjadi kata ganti rasmi bagi nama sesebuah negara.

Pernah terfikir dari mana datangnya beberapa nama negara yang kita selalu sebutkan, tetapi mungkin langsung tidak pernah digunakan oleh orang asal negara tersebut?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Belanda - Netherland - Holland

masyarakat belanda

Negara Belanda memang kompleks penamaannya. Kita rungkaikan satu per satu. Nama rasminya adalah Kingdom of Netherland dengan Holland merujuk kepada dua wilayah yang terdapat di dalamnya, iaitu Noord-Holland (Holland Utara) dan Zuid-Holland (Holland Selatan).

Selepas dijajah oleh Perancis pada tahun 1775 dan dijadikan Republik Batavia, Raja Louis menaiki takhta pada tahun 1806. Selepas Napoleon dijatuhkan, Netherland kekal menjadi kerajaan di-raja dengan penduduk-penduduk daripada wilayah Holland yang menempatkan bandar-bandar besar seperti Amsterdam dan Rotterdam menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negara, sehinggakan nama Holland menjadi begitu sinonim dengan Netherland. Atas sebab itu, masih ramai yang keliru tentang penggunaan nama Holland, yang sebenarnya tidak betul.

Nama Belanda pula mempunyai beberapa asal-usul. Salah satunya berasal daripada perkataan 'Balanda' yang membawa maksud orang berkulit putih yang datang ke kepulauan Melayu dari 'Holland' lalu digelarkan 'Hollanda' oleh penduduk tempatan.

Ada juga kisah dikatakan nama Belanda berpunca daripada peristiwa muzakarah Ulama Melayu pada tahun 1650. Dalam muzakarah itu, semua ulama bersetuju untuk menggelarkan kumpulan orang putih yang datang ke kepulauan Tanah Melayu ketika itu sebagai 'belahnde' atau 'belah+nde.' Belah bermaksud 'penyebab terpecahnya' dan nde membawa maksud 'keluarga.'

Lagi satu teori mungkin juga berpunca daripada warna rambut orang yang datang menjajah kepulauan Tanah Melayu yang berwarna kuning, atau 'blond'. Perkataan 'blond' telah pun muncul sejak tahun 1481 lagi yang diambil bersempena perkataan Perancis 'blont' yang membawa maksud warna yang dipertengahan di antara emas dan coklat. Bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti menunjukkan bagaimana masyarakat tempatan di kepulauan Tanah Melayu ketika itu tahu perkataan 'blond.' (rujukan)

2. Morocco -Maghribi

masyarakat maghribi

Kita biasa menggunakan perkataan Maghribi yang diambil sempena nama asal negara itu iaitu Al-Mamlakah al-Maghribīyyah. Ini membawa maksud 'Kingdom of the West' atau 'Negara di sebelah barat.' Jadi tidak banyak persoalan yang timbul, namun dari mana pula datangnya 'Morocco'?

Perkataan Morocco pula datangnya daripada terjemahan Bahasa Inggeris kepada perkataan Sepanyol 'Marruceos' yang merujuk kepada ibu negara tersebut tempat mereka berdagang, yang dinamakan Marrakesh. Untuk memudahkan ejaan dalam Inggeris, pihak Inggeris menggunakan ejaan Morocco sebagai ganti Marrucoes.

3. Mesir- Egypt

masyarakat mesir

Mesir nama yang kita guna pakai sekarang ini, datangnya daripada nama sebenar Mesir iaitu Jumhūriyyat Miṣr al-ʿArabiyyah, jadi pengguna Bahasa Melayu di Malaysia serta Indonesia menggunakan nama daripada perkataan Arab itu sebagai nama rasmi Mesir dalam bahasa kita. Nama itu berasal daripada perkataan 'misru' yang membawa maksud pinggiran.

Jadi dari mana datang 'Egypt'? Orang Mesir dulukala merujuk negara mereka sebagai 'Hwt-ka-Ptah' atau 'Hout-ak-Ptah' bersempena Ptah, salah satu Tuhan purba orang Mesir.

Selepas Mesir ditakluk oleh Greek, masyarakat Greek khasnya pencatat-pencatat sejarah mengalami kesukaran hendak menyebutkan perkataan tersebut, bagi merujuk kepada negara tersebut, mereka menukarkannya kepada 'Aegyptus' untuk memudahkan sebutannya. Nama tersebut diberikan sebagai terjemahan kepada nama Raja Mesir yang memerintah ketika itu. (rujukan)

4. Jepun - Nihong- Japan

masyarakat jepun

Jika anda mempelajari bahasa Jepun, anda akan menyedari nama sebenar Jepun sangat berbeza dengan nama yang kita sebutkan, sama ada 'Jepun' atau 'Japan.' Nama sebenar Jepun adalah gabungan dua huruf 'kanji' Jepun iaitu 'Ni' (matahari) dan 'hon' (permulaan, punca) apabila digabungkan disebutkan sebagai 'Nihon' atau 'Nippon', yang membawa maksud 'the sun's origin' yang kita terjemahkan sebagai 'negara matahari terbit.'

Dalam perjalanannya, Marco Polo merujuk Jepun dengan nama 'Cipangu', berdasarkan nama yang diberikan oleh masyarakat China. Apabila pedagang Portugis datang ke Tanah Melayu dan mendengar orang tempatan merujuk 'Nippon' sebagai 'Jippang', pedagang-pedagang ini mula menggunakan perkataan tersebut sebagai rujukan mereka dengan ejaan 'Giapan.'

Ejaannya mula berubah-ubah selepas itu. Asal-usul nama 'Japan' pula datangnya daripada cara sebutan orang Belanda. Orang Belanda menggelarkan Jepun 'Yatpun.' Oleh kerana dialek Belanda menyebutkan huruf 'Y' seperti huruf 'J' - maka 'Yatpun' disebut seperti 'Jat-pun' atau 'Ja-pan.'

5. Cambodia - Kemboja - Kampuchea

masyarakat kemboja

Di negara kita, dalam Bahasa Melayu kita masih lagi menggelarkan negara Cambodia sebagai Kemboja. Nama 'Kemboja' ini berasal daripada nama lama wilayah yang ditubuhkan oleh pengasas kerajaan Kemboja yang dinamakan 'Kambuja' yang diambil daripada Bahasa Sanskrit, berdasarkan kepada nama Kambu Svayammbhuna, pengasas pemerintahan Khmer di situ.

Kemboja mengalami perubahan nama rasmi pada tahun 1979 apabila namanya ditukar menjadi 'People's Republic of Kampuchea' sehingga tahun 1989. Bagi melupakan kisah silam mereka yang melalui zaman gelap semasa pemerintahan rejim Khmer Rouge, kerajaan mereka bersetuju untuk menggunakan nama 'Cambodia' sebagai nama rasmi serta lebih mudah disebut oleh masyarakat antarabangsa. Nama 'Cambodia' ini diambil daripada nama lama Kambuja dalam Bahasa Inggeris.

5. Amerika Syarikat

masyarakat amerika syarikat

Jika kita baca nama penuh USA, ia membawa maksud United States of America. Jika diterjemahkan secara terus, ia membawa maksud 'Negeri-Negeri Bersatu atau Bersekutu Amerika.' Mengapa kita gelarkan 'Amerika' - 'Syarikat'?

Asalnya datang daripada penggunaan perkataan 'sarekat' yang dipopularkan oleh penubuhan Sarekat Dagang Islam di Indonesia. 'Sarekat' adalah berasal daripada perkataan Arab 'Sharikat' yang membawa makna persatuan, pertubuhan, pakatan atau perkataan yang menggambarkan sebarang bentuk kerjasama beberapa pihak.

Jadi di Indonesia mereka menterjemahkan 'United States of America' sebagai 'Amerika Serikat' sebagai terjemahan terus.

Nampak bagaimana akrabnya hubungan Malaysia dan Indonesia sebenarnya? Jadi jangan gaduh-gaduh. Banyak sebenarnya perkara yang kita kongsi bersama. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)