Perancis menyumbangkan belon udara panas, mesin jahit dan macam-macam lagi kepada dunia. Mereka juga memberi Amerika Syarikat patung Statue of Liberty.
Bagaimanapun, satu perkara yang orang Perancis tidak boleh dakwa milik mereka, iaitu "French Fries". Walaupun namanya mempunyai perkataan "French", ia bukanlah berasal dari Perancis.
Asal-usul kentang goreng ini telah dikesan dari Belgium, di mana ahli sejarah mendakwa bahawa kentang mula digoreng pada penghujung tahun 1600-an.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut tradisi tempatan Belgium, penduduk miskin yang tinggal di Lembah Meuse sering memakan ikan kecil yang digoreng yang ditangkap di sungai.
Ketika musim sejuk, sungai akan membeku, membuatkan aktiviti memancing menjadi mustahil. Ini memaksa penduduk kampung mencari sumber makanan lain bagi tempoh sejuk yang agak panjang itu.
Dan ketika inilah kentang memainkan peranan yang penting. Penduduk kampung beralih kepada tumbuhan ini, menuainya lalu dihiris menjadi kepingan dan menggorengnya dengan cara yang sama mereka menyediakan ikan tersebut.
Dan dengan ini, kentang goreng pertama di dunia dilahirkan. Namun, bagaimana pula ia dinamakan sebagai "French Fries"?.
Ia bermula dengan tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di Belgium. Mereka mula-mula diperkenalkan dengan kentang goreng ketika Perang Dunia Pertama.
Oleh kerana bahasa rasmi tentera Belgium adalah bahasa Perancis, tentera AS menggelarkan kentang goreng yang lazat itu sebagai "French fries".
Nama itu digunakan secara berterusan dan beberapa dekad kemudian ia masih digunakan serta kita masih memberi kredit kepada negara yang salah.
Cara kentang goreng dimakan di seluruh dunia
Kentang goreng adalah salah satu hidangan sampingan yang paling popular di dunia terutama di restoran makanan segera.
Apabila bercakap mengenai sos, kentang goreng sering dimakan bersama-sama sos tomato, sos cili, mayonis atau cuka. Namun, ia bergantung kepada di mana anda berada.
Di Belgium, mereka suka makan kentang goreng Perancis dengan kerang yang dimasak atau dengan telur goreng di atasnya.
(Poutine)
United Kingdom pula terkenal dengan hidangan "Fish and chips" mereka. Di Timur Tengah, kentang goreng dibungkus dengan roti pita bersama ayam dan di Perancis ia dihidangkan bersama stik bakar.
Orang Kanada menyediakan poutine, hidangan yang terdiri daripada kentang goreng dan keju dadih, dimakan bersama kuah perang.
Rujukan:
1. The Kitchn
3. Wonder