Oleh pada 30 Jul 2018 kategori

Dalam salah satu artikel kami sebelum ini, kami sudah pun menceritakan serba sedikit tentang bagaimana industri filem menjadikan Hollywood sebagai pusatnya, bermula daripada gerakan penerbit filem bebas yang mahu melarikan diri daripada membayar royalti penggunaan peralatan filem.

'Hollywood' menjadi satu label yang sangat popular serta boleh dikatakan sangat kerap disebut bagi merujuk filem-filem terbitan Amerika Syarikat, walaupun pada era sekarang sudah banyak filem melakukan pengambaran di negara luar kerana kos yang lebih rendah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun begitu, Hollywood tetap menjadi pusat atau ibu pejabat banyak penerbit-penerbit filem terbesar dunia yang mengekalkan identiti bandar tersebut, sebagai lokasi terpenting industri perfileman di dunia. Pernahkah anda tertanya-tanya, dari mana datangnya nama Hollywood ini?

Semuanya bermula dengan seorang warga Ireland

saint kevin

Siapa sangka nama 'Hollywood' berasal-usul bukan dari Amerika Syarikat, tetapi datang daripada sebuah kampung kecil bernama....Hollywood.

Kampung Hollywood adalah sebuah desa kecil yang terletak di daerah Wicklow, barat Ireland. Nama asal kampung tersebut sebelum ditukar namanya kepada Hollywood adalah Killinkeyvin yang membawa maksud 'Kevin's Little Church' atau 'gereja kecil Kevin' yang menjadi penanda penempatan di situ.

'Kevin' itu pula merujuk kepada seorang paderi bergelar Saint Kevin, seorang paderi yang hidup di kawasan tersebut sejak tahun 498, diceritakan dalam kisah rakyat Ireland melakukan perjalanan sejauh 30 kilometer merentasi jurang Wicklow sebelum tiba di sebuah monasteri di Glendalough.

Upacara keagamaan yang dimulakan oleh Saint Kevin ini kekal menjadi tradisi masyarakat Kristian di Ireland. Acara 'Saint Kevin's Way' menjadi ritual tahunan penganut agama Kristian di Ireland bagi membolehkan mereka melalui perjalanan yang dilalui Saint Kevin semasa hayatnya.

Dikatakan nama 'Hollywood' yang digunakan kampung tersebut berasal daripada kisah perjalanan Saint Kevin yang kerap berdoa dalam hutan tersebut, menjadikannya 'Holy Wood' atau 'hutan yang mulia dan diberkati'.

Gelaran itu mula digunakan penduduk kawasan tersebut semasa zaman Saint Kelvin bagi merujuk kawasan mereka.

Bagaimana nama 'Hollywood' berpindah ke Amerika Syarikat?

hollywood di ireland

Kisah bagaimana nama Kampung Hollywood digunakan disebuah daerah di Amerika Syarikat, berpunca daripada seorang lelaki Ireland bernama Matthew Guirke. Matthew dilahirkan di Kampung Hollywood pada tahun 1826 di Ireland.

Kehidupan keluarganya yang bertani seperti tradisi-tradisi keluarga Ireland lain mula terancam selepas Ireland diserang kekurangan makanan besar-besaran pada tahun 1845 yang mengorbankan lebih satu juta nyawa. Insiden yang dinamakan 'Great Irish Famine' berlaku selama lebih empat tahun, menjadi salah satu tragedi terbesar Ireland yang mengubah sistem masyarakat serta politik Ireland selama-lamanya.

Bagi Matthew, satu-satunya jalan menyelamatkan keluarganya adalah cuba berhijrah ke kawasan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup. Pada tahun 1850, Matthew serta keluarganya berjaya mempunyai belanja yang cukup untuk menaiki kapal yang menghala ke New York, Amerika Syarikat untuk memulakan hidup baru.

Sampai di Amerika Syarikat, Matthew serta keluarganya mula hidup berpindah randah di banyak kawasan cuba menyara hidup, sambil berusaha mencari salah seorang pakcik mereka yang telah selamat menetap di Charleston, California bernama Timothy Guirke seorang tukang besi.

Membangunkan Hollywood baru

kedai hollywood milik cucu matthew

Menemui Timothy, Matthew mempelajari ilmu pertukangan besi dan menjadikan tukang besi sebagai pekerjaannya, sebelum dia mula belajar kemahiran dalam bidang-bidang lain seperti penjaga kuda dan juga ejen hartanah. Ekoran kerja kerasnya, Matthew berjaya berpindah ke Los Angeles di mana rumah kediamannya, sebuah kabin didirikan.

Menggunakan wang simpanannya, Matthew turut sama membangunkan trek untuk lumba kuda berdekatan kediamannya yang menarik perhatian orang dari luar untuk tinggal di situ. Berkat usaha keras Matthew mempopularkan kawasannya, semakin lama semakin ramai keluarga berpindah ke situ yang akhirnya bercambah menjadi satu komuniti yang besar.

Melihat komunitinya berkembang, Matthew mengambil keputusan menamakan kawasan tempat tinggal mereka dengan nama 'Hollywood', nama asal kampungnya di Ireland yang diambil sebagai satu penghormatan ke atas asal-usul tanah asalnya.

Tidak sempat melihat komunitinya berkembang pesat

hollywood satu masa dulu

Kini mempunyai kampung yang layak dikatakan tempat untuk kembali, Matthew meneruskan hidupnya sebagai seorang yang gemar mencari peluang. Dia direkodkan membuka perkhidmataan atau perniagaan di Virginia City, Nevada, Helena di Montana serta sempadan kawasan yang kini dikenali sebagai Taman Negara Yellowstone.

Tidak tahu erti penat, usaha keras Matthew mengembara dan berniaga sekian lama mula menampakkan kesan buruk pada tubuhnya. Tahap kesihatannya mula terjejas ekoran kesibukannya dan Matthew meninggal pada 13 Oktober 1901, ketika berusia 75 tahun akibat batuk kering. Dia dikebumikan di tanah perkuburan Rosedale, Los Angeles.

10 tahun berikutnya, bermula pada tahun 1910, penerbit serta pembikin filem Amerika Syarikat yang bertapak di New Jersey mula berpindah ke Hollywood, berikutan masalah yang mereka hadapi di kawasan asal mereka. Kemasukan beramai-ramai penerbit, pembikin serta studio-studio filem menukar Hollywood daripada sebuah komuniti kepada industri yang kita kenali sehingga kini.

Sekarang anda sudah tahu, Hollywood sebenarnya ada dua dan yang asli sebenarnya terletak bukan di Amerika Syarikat, tetapi di negara Ireland sana.




Hakcipta iluminasi.com (2017)