Apa itu Hollywood Walk of Fame? Secara umumnya, ianya adalah monumen yang memaparkan nama-nama individu yang mempunyai pencapaian yang cemerlang di Hollywood. Monumen ini terletak disepanjang 15 blok jalan Hollywood Boulevard dan 3 blok jalan Vine Street di Hollywood, California.

Ianya adalah monumen dimana setiap satu bintang memaparkan nama individu dalam industri hiburan sama ada pelakon, penyanyi, pengarah, produser, karakter fiktional dan lain-lain lagi. Monumen ini diuruskan oleh Hollywood Chamber of Commerce dan merupakan kawasan popular pelancong yang menerima puluhan juta pelancong setiap tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kategori Pengiktirafan

anuegerah walk of fame

Sehingga 2017, terdapat 2600 bintang yang mewakili 2600 individu di sepanjang Walk of Fame ini. Terdapat juga individu seperti Michael Jackson yang mempunyai dua bintang dimana satu bincang sebagai pengiktirafan sebagai penyanyi solo sementara satu bintang lagi merupakan pengiktirafan bagi pencapaiannya bersama kumpulan Jackson 5. Setiap bintang ini diperbuat daripada terrazzo berwarna merah jambu dengan mempunyai 5 bucu.

Pada bahagian tengah bintang ini akan memaparkan nama individu yang diberi pengiktirafan dan dibawahnya pula terdapat 1 logo yang memaparkan kategori pengiktirafan individu tersebut. Secara umumnya, terdapat 5 kategori utama untuk pengiktirafan setiap individu di Walk of Fame ini:

  1. Perfileman 
  2. Penyiaran televisyen
  3. Audio dan muzik
  4. Siaran radio
  5. Persembahan teater atau siarang langsung

Secara statistiknya pula, 47% daripada bintang ini dianugerahkan kepada individu dalam kategori perfileman, 24% dalam siaran televisyen, 17% dalam rakaman audio, 10% dalam kategori radio dan kurang 2% dalam kategori persembahan siaran langsung. Secara purata, hanya 20 buah bintang yang mewakili 20 orang individu sahaja ditambah setiap tahun.

Pengiktirafan ini bukan sahaja diberi kepada manusia tetapi juga kepada karakter animasi dan haiwan. Pada tahun 1978, sempena ulangtahun ke 50 Walk of Fame, karakter Mickey Mouse telah diberikan pengiktirafan. Antara karakter animasi lain yang mendapat pengiktirafan termasuklah Bugs Bunny, Donald Duck, Minnie Mouse, Snow White, Winnie the Pooh dan lain-lain.

Sejarah penciptaan Walk of Fame

idea walk of fame

Idea asal penubuhan Walk of Fame ini dikreditkan kepada E. M. Stuart, Presiden Hollywood Chamber of Commerce yang memberikan idea ini pada tahun 1953. Beliau mencadangkan idea ini sebagai salah satu strategi pemasaran bagi memberi pengiktirafan dan populariti bagi golongan individu yang mempunyai banyak sumbangan dalam industri hiburan.

Bagi merealisasikan idea ini, sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk memperkemaskan lagi idea ini dan sebuah firma arkitek juga telah dilantik bagi membantu mereka. Menjelang tahun 1955 konsep asas dan reka bentuk umum telah dipersetujui dan permohonan secara rasmi telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Los Angeles pada bulan Januari 1956.

Projek pembinaan Walk of Fame bermula pada tahun 1958 tetapi 2 kes saman telah melambatkan tempoh pembinaannya. Kes saman pertama adalah saman daripada pihak pemilik bangunan berdekatan yang mempertikaikan penggunaan wang rakyat sebanyak $1.25 juta untuk projek ini. Walau bagaimanapun, mahkamah telah meluluskannya.

Sementara itu, kes saman kedua pula difailkan oleh anak pelawak lagenda Charles Chaplin yang tidak berpuas hati nama bapanya dikecualikan daripada senarai individu di Walk of Fame. Kes ini akhirnya selesai pada tahun 1960, membolehkan projek pembinaannya diteruskan sehingga siap.

Kontroversi-kontroversi Walk of Fame

muhammad ali cuma namanya digantung di atas dinding

muhammad ali 860

Pemilihan individu-individu untuk anugerah Walk of Fame ini dibuat sepenuhnya oleh jawatankuasa yang ditubuhkan, berdasarkan pencalonan-pencalonan yang dibuat. Untuk mendapat pengiktirafan ini, seseorang individu mestilah mempunyai pencapaian yang membanggakan dalam salah satu daripada 5 kategori yang telah disebutkan di atas.

Pada tahun 2002, lagendu peninju dunia Muhammad Ali diberikan pengiktirafan walaupun beliau bukanlah seorang selebriti atau individu yang boleh dikategorikan dalam mana-mana 5 kategori yang disebut diatas. Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa mengatakan bahawa sukan tinju merupakan sejenis persembahan secara langsung, maka Muhammad Ali layak diberi pengiktirafan.

Bintang yang tertera nama Muhammad Ali merupakan satu-satunya bintang yang tidak berada di atas lantai sebaliknya diletakkan di dinding bangunan Dolby Theatre. Perkara ini adalah atas permintaan beliau sendiri memandangkan beliau tidak mahu nama "Muhammad" iaitu nama Nabi Muhammad dipijak oleh orang ramai.

walk of fame neil armstrong

Pada tahun 1993, Neil Armstrong, iaitu angkasawan pertama yang menjejakkan kaki ke bulan juga telah diberikan pengiktirafan. Walaupun secara umumnya beliau tidak tergolong dalam mana-mana kategori, pihak jawatankuasa menyatakan bahawa penyiaran peristiwa beliau menjejakkan kaki ke bulan telah membantu perkembangan industri penyiaran televisyen kerana peristiwa tersebut disiarkan di televisyen seluruh dunia.

Menariknya, nama Neil Armstrong tidak diletakkan dalam bintang sebaliknya diletakkan dalam bulatan sebagai simbolik bulan. Selain namanya, turut disertakan adalah tarikh pendaratan dibulan dan nama kapal angkasa Apollo XI.

Terdapat juga beberapa permintaan untuk mengeluarkan nama individu-individu yang telah diletakkan namanya di Walk of Fame apabila mereka terpalit dengan kontroversi berkaitan gangguan seksual antaranya pelawak Bill Cosby, pelakon Kevin Spacey dan produser Brett Ratner. Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa Hollywood Chamber of Commerce menyatakan bahawa Hollywood Walk of Fame adalah sebuah monumen bersejarah oleh itu mereka sesekali tidak akan mengeluarkan mana-mana nama individu yang sudah diletakkan pada lantai itu.

vandalisma walf of fame

Walk of Fame ini juga tidak dapat lari daripada kegiatan vandalisma. Saban tahun, ada sahaja bintang individu-individu tertentu yang dirosakkan atau dicuri. Kerosakan yang dibuat biasanya adalah tanda protes sesuatu tindakan individu tersebut. Sebagai contoh, gambar di atas adalah bintang Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang telah dirosakkan.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. TIME.com
  3. The Sun



Hakcipta iluminasi.com (2017)