Membawakan watak penjahat yang efektif dalam filem atau drama bukanlah perkara yang senang, kerana seorang penjahat perlu meyakinkan penonton bahawa dia memang serba-serbi jahat.

Sesetengah pelakon pula 'dianugerahkan' dengan wajah yang iras dengan wajah tipikal penjahat, sehinggakan sepanjang karier mereka - mereka hanya dikenali dengan watak-watak jahat dan sadis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada ramai pelakon 'berwajah' jahat dalam industri filem; berikut adalah lima aktor pilihan yang penulis rasakan paling asli dan semulajadi - dilahirkan untuk memainkan watak-watak jahat.

1. John Malkovich

john malkovich wajah jahat

John Malkovich merupakan salah seorang aktor berstatus legenda yang banyak memainkan watak-watak jahat dalam filem, walaupun dia sebenarnya turut sama melakonkan banyak watak lain.

Ada sesuatu yang agak menakutkan apabila melihat wajah beliau dalam filem. Pengalaman pertama penulis menyaksikan lakonan beliau sebagai penjahat adalah dalam filem 'In The Line Line of Fire' bersama dengan Clint Eastwood, sebelum filem 'Con-Air' meyakinkan penulis - John Malkovich memang jahat.

Lakonannya sebagai 'ketua' kepada banduan-banduan yang terlepas bernama Cyrus the Virus benar-benar menjadi, kelihatan penuh dengan kepimpinan tetapi dalam masa yang sama tidak teragak-agak untuk melakukan sebarang tindakan terkutuk.

2. Willem Defoe

willem dafoe

Willem Defoe memang seorang aktor yang sangat berbakat, kerana watak yang dimainkannya kerap kali mempunyai dua identiti berbeza - lelaki yang penyayang tetapi menyimpan rahsia hitam dalam diri.

Formula itu sudah menjadi satu kebiasaan pada aktor ini. Ada masanya kita akan merasa sangat kasihan dengan beliau kerana mimik mukanya mampu menagih simpati, tetapi tidak lama selepas itu - dia mula mengeluarkan wajahnya yang sebenar mampu membuatkan kita tidak senang duduk.

Acuan itu jelas sekali kelihatan semasa beliau memainkan watak Norman Osborne dalam filem Spider-Man, di mana dia mampu berubah daripada satu perangai ke satu perangai yang jauh berbeza dengan sangat mudah.

3. Christopher Walken

walken as max zorin

Wajah beliau seolah ditakdirkan untuk berlakon sebagai watak yang jahat, senantiasa berkomplot tentang sesuatu. Apa yang melucukan, Walken sendiri mengakui perkara itu sebagai benar dan tidak berselindung tentangnya.

Terkenal dengan gaya percakapannya yang unik serta mempunyai slanga yang kerap diajuk, Walken mempunyai aura yang menggerunkan dalam banyak watak yang dipegang. Antara filem beliau yang kerap diperkatakan adalah 'Nick of Time' lakonan beliau dan Johnny Depp, di mana beliau berlakon sebagai seorang pegawai polis korup yang mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

Salah satu watak paling efektif yang dilakonkan beliau adalah sebagai seorang tentera Amerika Syarikat yang pulang, selepas berhadapan perang di Vietnam dalam filem 'The Deer Hunter.'

4. Tobin Bell

tobin bell saw

Berbeza dengan barisan aktor dalam sejarai ini, nama Tobin Bell mungkin kurang dikenali - tetapi nama beliau mula menjadi sebutan selepas diberikan peluang memegang watak perancang utama dalam siri filem 'Saw.'

Berikutan daripada kejayaan filem itu di box-office walaupun hanya dengan kos penerbitan yang sangat rendah, Bell kembali melakonkan watak serupa dalam 8 filem keseluruhannya sehinggakan dia sendiri merasakan perlunya variasi lain pada watak yang dibawanya.

Walau demikian, tidak dapat dinafikan pemilihan beliau sebagai aktor kepada watak 'John Kramer' atau lebih terkenal dengan gelaran 'Jigsaw' benar-benar membuatkan kita takut dengan beliau, apatah lagi selepas melihat bagaimana sadisnya cara dia menyeksa mangsa-mangsa yang terperangkap dalam permainan jahatnya.

5. Steve Buscemi

steve buscemi fargo 374

Salah seorang pelakon yang mempunyai wajah yang sangat mudah dikenali, Steve Buscemi terkenal sebagai pemegang watak orang-orang yang aneh dalam filem. Lihat saja senarai watak popular yang dibawakan beliau - kebanyakannya lebih berkait dengan watak yang mempunyai gangguan mental atau pelik perangainya.

Nama Buscemi mula menjadi tumpuan setelah mencuri tumpuan dalam filem 'Reservoir Dogs' sebagai Mr. Pink.Beliau kemudian mencuri tumpuan sekali lagi dalam filem Con-Air apabila memainkan watak penjenayah paling ditakuti oleh semua bernama Garland Greene yang perlu di tambat dan diikat setiap masa, agar tidak mampu mencederakan orang lain.

Bila dilihat semula, filem Con-Air memang membariskan ramai pelakon watak jahat semulajadi - Buscemi, Malkovich, Danny Trejo, Jesse Borrego dan Ving Rhames, yang banyak memainkan watak penjahat sebelum muncul bintang Mission Impossible bersama Tom Cruise.




Hakcipta iluminasi.com (2017)