Oleh pada 29 Jul 2018 kategori

Nama Hollywood selalu disebut apabila kita merujuk kepada industri filem serta filem-filem dari Amerika Syarikat, dengan 'filem Hollywood' menjadi label yang popular bukan saja di kalangan masyarakat kita, malahan seluruh masyarakat dunia.

Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, Hollywood merujuk kepada sebuah daerah yang terletak di bahagian tengah Los Angeles, California yang amat terkenal sebagai pusat industri filem serta menempatkan banyak studio filem sejak dahulu lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum dikenali dengan nama Hollywood, kawasan itu dikenali sebagai Cahuenga Valley atau Lembah Cahuenga. Persoalannya, mengapa Hollywood amat dikenali sebagai kawasan perindustrian filem terbesar di dunia?

Bagaimana Thomas Edison mewujudkan monopoli

eastman dengan edison

Kisah mengapa Hollywood menjadi pusat perfileman Amerika Syarikat bermula dengan Thomas Alva Edison, pencipta terkenal yang namanya banyak tertera dalam buku sejarah dunia. Sebagai seorang pencipta terulung, Edison memegang banyak hak cipta berkenaan peralatan-peralatan yang diciptanya, termasuklah alat pembikinan filem.

Paten-paten yang dipegang Edison bukan sahaja merangkumi alat pembikinan filem sahaja, malahan Edison turut sama memegang paten bagaimana filem bergambar dihasilkan serta teknologi yang digunakan (ketika itu) bagi menayangkan filem gambar di teater.

Oleh kerana Edison memegang paten-paten ini, Edison berjaya mewujudkan monopoli dalam pembikininan filem dengan menggabungkan paten hakcipta pegangannya dengan beberapa paten milik individu lain dalam satu gabungan yang bernama Motion Picture Patent Company (MPPC) pada tahun 1908. Antara syarikat yang turut sama bergabung dalam MPPC adalah Kodak yang memegang hakcipta stok filem yang digunakan bagi merakam gambar.

Bagi memastikan bayaran penggunaan royalti berjaya dilakukan, semua teknologi yang dikuasai anggota MPPC hanya dibenarkan penggunaannya sekiranya individu atau syarikat tersebut menjadi anggota MPPC, bersetuju untuk membayar royalti kepada MPPC. Tindakan ini menjadikan MPPC serta Edison badan yang berkuasa mengawal hala tuju pembikinan filem.

Thomas Edison main taktik kotor dalam mengutip royalti

barisan anggota mppc

Bagi memastikan pengguna-pengguna serta pembikin filem mematuhi syarat-syarat royalti yang diperkenalkan, MPPC mengambil pendekatan yang agak ekstrim.

Mereka tidak teragak-agak untuk mendakwa mana-mana pihak yang didapati tidak menghormati hakcipta yang dipegang Edison dan ahli-ahli gabungan MPPC, serta menggunakan khidmat kaki pukul dan samseng dalam memastikan bayaran royalti penggunaan teknologi yang mereka pegang, sampai kepada mereka.

MPPC yang beroperasi dari New Jersey mempunyai kuasa penuh ke atas keseluruhan proses pembikinan filem sehingga membuatkan pembikin-pembikin filem tidak lagi bebas untuk berkarya kerana kekangan yang dikenakan, ke atas mereka.

Ini menyebabkan pembikin-pembikin filem yang mahu bebas daripada syarat-syarat MPPC mencari jalan keluar bagi mengelakkan diri mereka daripada terus mengikut telunjuk MPPC.

Melarikan diri ke Hollywood

nestor studios hollywood studio pertama

Melihat monopoli yang dipegang oleh MPPC ketika itu, pengusaha-pengusaha filem mengambil keputusan untuk melarikan diri membawa perusahaan filem mereka ke negeri lain.

Hollywood, Los Angeles yang terletak di California menjadi pilihan pembikin filem kerana hakim-hakim di California dilihat kurang bersetuju dengan penganugerahan hakcipta yang diberikan kepada Edison dan MPPC, membolehkan pengaruh MPPC kepada mereka dapat dikurangkan.

Faktor terbesar yang menjadikan Hollywood pilihan mereka adalah jaraknya yang sangat jauh daripada New Jersey, lokasi ibu pejabat MPPC. Sekiranya anda rujuk peta Amerika Syarikat, New Jersey terletak di bahagian timur sementara California terletak di bahagian barat, dengan tempoh perjalanan (ketika ini) memerlukan masa 43 jam dengan kereta.

Jarak yang sangat jauh ini menyusahkan MPPC untuk melakukan pemantauan kerana pegawai-pegawai kerajaan serta samseng-samseng yang diupah, memerlukan kos yang tinggi hanya untuk ke California menjadi rintangan terbesar Edison serta MPPC menghalang pembikin filem menggunakan teknologi mereka tanpa bayaran sepatutnya.

Selain itu, faktor cuaca yang lebih baik yang membolehkan pembikin filem melakukan pengambaran sepanjang tahun menjadi tarikan utama pembikin filem berpindah ke Hollywood.

Kejatuhan MPPC kerana perasaan tamak

in old california filem pertama dirakam di hollywood

Filem pertama yang dirakamkan di Hollywood adalah sebuah filem berdurasi 17 minit berjudul 'In Old California' pada tahun 1910. Penerbit filem pertama yang beroperasi di Hollywood adalah sebuah studio bernama Nestor Studio, pecahan sebuah studio lain bernama Centaur Film Company yang ketika itu masih bertapak di New Jersey.

Ekoran kegagalan MPPC mengawal industri yang semakin berkembang dengan bebas, Eastman Kodak pengeluar filem Kodak tidak lagi mahu mengalami kerugian berterusan sekiranya hanya dibenarkan menjual filem pada anggota MPPC.

Oleh yang demikian, Kodak melakukan perubahan perjanjian dengan meminda perjanjian asal mereka dengan MPPC, membolehkan Eastman Kodak menjual filem Kodak kepada pembikin filem bebas bukan anggota MPPC pada tahun 1911, tiga tahun selepas MPPC ditubuhkan.

Populariti filem yang dibuat oleh pembikin filem bebas dan luar negara membuktikan model perniagaan MPPC yang bergantung pada hakcipta tidak mampu kekal lama. Pegangan hakcipta MPPC mula ditamatkan pada bulan September 1913.

Dalam satu keputusan mahkamah pada tahun 1915, mahkamah Amerika Syarikat mengisytiharkan MPPC bertindak melampaui batas dalam melindungi hakcipta mereka menggunakan kaedah monopoli. Keputusan ini menjadikan MPPC sebagai sebuah pertubuhan tidak sah.

thomas alva edison dan hollywood

Walaupun cuba merayu keputusan itu, rayuan mereka ditolak dan MPPC dibubarkan pada tahun 1918, selepas 10 tahun beroperasi cuba memonopoli industri filem Amerika Syarikat.

Bagi industri filem yang dimulakan oleh pembikin filem serta penerbit bebas di Hollywood, rasanya tidak perlu lagi kita nafikan kejayaan mereka berkembang selepas melakukan perubahan daripada New Jersey ke Hollywood, California.




Hakcipta iluminasi.com (2017)