menara tertinggi dunia

Menara Eiffel di Paris yang berketinggian 330 meter merupakan menara tertinggi di dunia selepas pembinaanya siap sepenuhnya pada tahun 1889. Sejak saat itu, manusia mula berlumba-lumba menghasilkan menara atau bangunan tertinggi di dunia, seolah-olah ia merupakan "simbol" kejayaan sesuatu negara.

Jika dilihat pada rekod masa kini, menara Burj Khalifa di Dubai masih memegang takhta sebagai menara tertinggi di dunia. Menara yang siap dibina pada tahun 2010 ini mempunyai ketinggian melebihi 800 meter dan setakat artikel ini ditulis, tiada bangunan atau menara yang tinggi daripadanya.

Namun, perkara ini nampaknya mungkin berubah kelak apabila sebuah menara yang diberi nama Menara Jeddah siap pembinaannya kelak. Berapakah ketinggian Menara Jeddah ini? Berdasarkan beberapa sumber yang ditemui, menara ini kelak bakal mempunyai ketinggian 1 km!

Perubahan nama

menara jeddah tertinggi dunia

Memang benar bahawa "Menara Jeddah" adalah nama rasmi menara ini tetapi asalnya menggunakan nama lain. Nama pertama yang diberikan adalah "Menara Mile-High" dan "Kingdom Tower". Nama Mile-High diberikan kerana awalnya menara ini dirancang untuk mempunyai ketinggian 1 batu (1609 meter).

Walau bagaimanapun, setelah kajian struktur tanah tapak menara ini dilakukan, ia dianggap tidak sesuai untuk struktur seperti itu, rancangannya disemak semula dan bangunan ini apabila siap kelak bakal mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 1000 m.

Namun, ketinggiannya yang benar tetap menjadi rahsia dan hanya akan didedahkan pada tahap akhir pembinaannya, seperti halnya ketika pembinaan menara Burj Khalifa dahulu.

Rekabentuk unik

menara jeddah

Reka bentuknya dibuat oleh arkitek Amerika Adrian Smith yang juga merekabentuk Burj Khalifa, menggabungkan banyak ciri struktur dan estetika yang unik. Pencetus dan pemimpin projek ini adalah putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Talal, cucu Ibn Saud. Al-Waleed adalah ketua Kingdom Holding Company (KHC), yang merupakan rakan kongsi di Jeddah Economic Company (JEC) yang dibentuk pada tahun 2009 untuk projek pembangunan ini. 

Bentuk segitiga aerodinamik dan luaran bercerun dari Menara Jeddah membantu mengurangkan beban angin. Bentuk ini mengikuti corak yang sama dengan Burj Khalifa dan memungkinkannya untuk mempunyai kestabilan yang lebih baik. Cerucuk tapak berdiameter 3 meter dan panjang hingga 360 meter digunakan untuk memastikan bangunan ini kekal utuh.

Kerana ketinggiannya juga, Menara Jeddah akan menempatkan sebuah balai cerap tertinggi di dunia. Ia juga akan mempunyai balkoni luar yang berasingan pada ketinggian 610 meter yang pada asalnya bertujuan untuk berfungsi sebagai heliport.

Fokus pembangunan dan penggunaan utama Menara Jeddah adalah untuk menempatkan hotel Four Seasons, pangsapuri servis Four Seasons, ruang pejabat Kelas A dan kondominium mewah. Terdapat beranda di ketiga-tiga bahagian sisinya. Setiap sisi mempunyai beranda luar yang menawarkan pemandangan Jeddah dan Laut Merah yang sangat jelas dan seluas mata memandang.

Sebahagian daripada pelan Bandar Ekonomi Jeddah (Jeddah Economic City)

bandar ekonomi jeddah

Menara ini adalah sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Ekonomi Jeddah dan pembinaan menara ini adalah fasa pertama projek ini. Projek tiga fasa ini diusulkan untuk kawasan yang luas dari kawasan pinggir laut yang belum dikembangkan dengan luas 5.2 km persegi.

Kawasan ini terletak kira-kira 20 km utara bandar pelabuhan Jeddah. Bandar Ekonomi Jeddah dirancang oleh HOK Architects dan dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya SR75 bilion ($20 bilion) dan memerlukan masa sekitar sepuluh tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Pembangunan ini dijangka berkembang menjadi daerah baru di Jeddah. Fasa kedua projek ini adalah pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong bandar ini. Sementara itu, perancangan untuk fasa ketiga belum didedahkan kepada pengetahuan umum.

Kontroversi dan status pembinaan 

menara jeddah tergendala

Pada bulan Mei 2008, ujian struktur tanah di kawasan tersebut menimbulkan keraguan tentang apakah lokasi yang dicadangkan dapat menyokong pencakar langit dengan ketinggian satu batu yang diusulkan dan oleh itu terdapat laporan menyatakan bahawa ketinggiannya terpaksa dikurangkan, menjadikannya "hingga 500 meter lebih pendek. 

Terdapat satu laporan pada tahun 2009 mengatakan bahawa projek ini ditangguhkan kerana krisis kewangan Global 2008 – 2009 dan bahawa Bechtel (bekas syarikat kejuruteraan) yang terlibat sedang dalam proses menamatkan penglibatannya dengan projek ini. Pihak KHCC dengan cepat mengkritik laporan berita tersebut dengan menegaskan bahawa projek itu belum ditangguhkan.

Proses pembinaan menara ini berjalan dengan stabil tetapi pada bulan Januari 2018, pemilik bangunan JEC menghentikan kerja konkrit struktur menara ini yang sudah disiapkan kira-kira satu pertiga kerana masalah buruh dengan kontraktor berikutan pergolakan kerabat Raja dan Menteri di Arab Saudi antara 2017 - 2019.

Pihak JEC mengatakan bahawa mereka merancang untuk memulakan semula pembinaan pada tahun 2020. Namun, akibat COVID-19 maka proses pembinaannya terpaksa ditangguhkan sekali lagi. Ketika artikel ini ditulis, kami sendiri tidak pasti apakah status menara ini sama ada sudah disambung pembinaannya atau masih lagi terbengkalai.

Kredit:



Hakcipta iluminasi.com (2017)