Kredit foto: Instagram @tv3malaysia

Pelawak Mark Adam dinobatkan sebagai juara program Bintang Bersama Bintang 2018 peringkat akhir.

Sehubungan itu, Mark membawa pulang hadiah utama berupa ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000.

Mark yang mengundang aktor Khir Rahman sebagai tetamu undangan dalam persembahannya, bersaing dengan empat lagi finalis akhir iaitu pelawak Shuk, Achey, Ajak dan Issey.

“Terima kasih kepada semua. Saya nak cakap, saya rasa rezeki ini perlu dikongsi dengan empat lagi peserta yang bertanding,” kata Mark usai mendapat tahkta juara, seperti dipetik daripada laporan portal Sinar Harian.

Mark bermurah hati membahagikan wang tunai RM60,000 secara sama rata kepada empat lagi finalis lain. Beliau hanya mengambil wang yang selebihnya itu.

Bersiaran selama tujuh episod sejak 14 Januari, setiap persembahan peserta program disertai seorang tetamu jemputan selaku pelakon bersama. 

Selebriti jemputan yang mengambil bahagian di peringkat akhir semalam ialah Shahrul Shiro, Uqasha Senrose, Khir Rahman, Syafiq Kyle dan Anne Achey (Isteri Achey).

Membawa tema bebas, setiap persembahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sketsa dan nyanyian.

Juri profesional yang terlibat menghakimi persembahan kemuncak para peserta malam itu ialah Saiful Apek selaku juri tetap dan Fasha Sandha selaku juri undangan.

Penilaian pemarkahan dibuat berdasarkan format 70% oleh panel juri, manakala 30% daripada undian penonton secara atas talian.

Super Bintang Bersama Bintang 2018 dikemudi hos AG Kool FM, ke udara secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam di saluran TV3.




Hakcipta iluminasi.com (2017)