Oleh pada 09 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Mark Adam & Astro Gempak

Mark Adam menyangkal dakwaan netizen kononnya Haqiem Rusli bertindak merampas mikrofon peserta program I Can See Your Voice Malaysia siaran ntv7, baru-baru ini.

Penyanyi kelahiran Filipina itu berkata, artis remaja berkenaan hanya mengambil mikrofon daripada tangan peserta terbabit, bahkan ia tidaklah dilakukan dengan cara yang kasar.

"Saya yang menyuruh dia naik ke pentas dan tolong peserta itu menyanyi lagunya dengan betul. Itu bukanlah merampas mikrofon sebaliknya mengambil.

"Dua tindakan itu berbeza dan ia bukan sesuatu yang kasar seperti yang dikecam netizen," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi yang juga guru vokal itu menegaskan, keadaan di studio ketika rakaman dibuat tidak berada dalam situasi tegang seperti digambarkan di media sosial.

suruh tolong bukan rampas mikrofon mark adam ulas isu haqiem rusli 2

Kredit foto: Astro Gempak

"Kami semua, artis dan peserta berseronok ketika sesi rakaman itu berlangsung. Jadi, tak ada isu pun sebenarnya antara Haqiem dengan peserta itu," katanya.

Sebelum ini, tersiar kontroversi Haqiem sebagai juri pertandingan itu merampas mikrofon peserta bernama Mohd Syamsul sewaktu dia membuat persembahan lagu Tergantung Sepi.

Sementara itu, Haqiem berkata, dia tidak mengambil endah kecaman netizen kerana beranggapan rata-ratanya tidak memahami konsep yang cuba ditonjolkan rancangan berkenaan.

"Mereka (netizen) tak pernah jadi artis. Mereka tak faham konsep program itu. Saya diminta pihak produksi untuk membawa karakter gila-gila.

"Saya tak marah. Sekali saya pernah buat salah, setiap benda yang saya buat orang akan anggap salah," katanya.

Namun, Haqiem berkata, dia telah mengambil inisiatif meminta maaf kepada Syamsul menerusi mesej peribadi laman Instagram.




Hakcipta iluminasi.com (2017)