enam pelawak terkenal berentap dalam program realiti baru

Kredit foto: BH Online

Enam pelawak popular bakal beradu nasib dalam persaingan program realiti lawak terbaharu, Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018) yang akan menemui penonton mulai 14 Januari ini di saluran TV3.

Mereka yang berentap ialah Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk.

Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman, berkata pihaknya sentiasa komited dalam menghidangkan rancangan hiburan bervariasi kepada penonton.

“BBB 2018 bakal menceriakan malam hujung minggu anda menerusi sketsa mencuit hati dengan kehadiran pelawak pelawak terkenal.

“Program ini menampilkan pentas mingguan di mana setiap peserta harus mempersembahkan sketsa dan ‘punchline’ selama 4 minit 30 saat serta lagu berdurasi 2 minit 30 saat yang diolah menjadi lawak mengikut kesesuaian dan kreativiti masing-masing,” katanya.

Menawarkan wang tunai sebagai ganjaran kepada juara mingguan, program itu turut memberi ruang kepada peserta untuk membawa selebriti undangan setiap minggu.

“Lebih menarik, tiada penyingkiran akan dilakukan setiap minggu namun pemenang mingguan akan mendapat hadiah wang tunai RM10,000,” katanya.

BBB 2018 dijadualkan ke udara setiap Ahad, jam 10 malam, secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Pengadilan berlandaskan format pemarkahan 70 peratus daripada panel juri dan 30 peratus daripada undian atas talian.

Juri terdiri daripada pelawak Saiful Apek selaku juri tetap bersama seorang lagi juri undangan.

Sementara itu, AG memegang peranan sebagai hos program yang bersiaran sebanyak tujuh episod itu.

Juara BBB 2018 akan mendapat ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM100,000.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)