Dalam penulisan skrip filem, jarang sekali kita menemui penggunaan istilah hero, orang jahat atau sidekick hero bagi menamakan watak-watak yang tercipta dalam skrip tersebut.

Sebaliknya penggunaan istilah protagonis yang mewakili watak baik utama dan antagonis mewakili watak jahat utama digunakan, dalam bentuk penulisan formal.

Dari mana datangnya istilah-istilah ini? Adakah wujud beberapa istilah lain yang digunakan khas bagi memudahkan perwakilan watak-watak dalam penulisan ini? Memang ada. Jom kita telusuri serba sedikit berkenaan label-label yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Protagonis

protagonis filem

'Protagonis' merupakan istilah yang berasal dari bahasa Yunani (Greek) dengan perkataan asalnya adalah 'protos' yang digabungkan dengan istilah 'agoniste', mewakili pelakon.

'Protos' membawa maksud yang pertama atau yang utama jadi 'protagonis membawa makna 'pelakon yang pertama' atau 'pelakon yang utama.' Istilah 'pelakon' digunakan bersandarkan kepada budaya masyarakat Yunani dahulu kala yang gemar mempersembahkan persembahan teater.

Bagi memudahkan pengenalan watak yang dimainkan dalam persembahan teater, pelakon yang memegang watak utama dilabelkan sebagai 'protagonis.'

Istilah 'protagonis' terus kekal merujuk kepada posisi pelakon, sehinggalah abad 17 apabila populariti istilah tersebut mula digunakan bagi melabelkan watak utama sesuatu jalan cerita yang bersifat baik.

Namun harus diperjelaskan makna asalnya tidak pernah diubah secara rasmi, menandakan aspek moral tidak menjadi satu keutamaan dalam penamaan siapa protagonis.

2. Antagonis

antagonis joker shariff doll

Dalam zaman moden, lawan protagonis adalah antagonis - watak jahat utama. Bagaimanapun asal-usul istilah 'antagonis' agak berbeza pembentukannya.

'Antagonis' dibentuk daripada gabungan dua perkataan Yunani iaitu 'anti' yang bermakna 'bersaing' dan 'agonizesthai' yang membawa makna 'berebutkan sesuatu.' Apabila digabungkan kedua-duanya, terbentuk perkataan 'antagonizesthai' yang bermakna 'seorang pesaing yang berebutkan sesuatu.'

Pada awalnya istilah ini digunakan dalam pertempuran dan juga pertandingan sukan, menandakan penggunaan sebenarnya bukanlah merujuk khas kepada label pihak lawan yang jahat semata-mata.

Penggunaan istilah ini mula berubah pada abad ke 15 selepas 'antagonis' mula digunakan bagi merujuk kepada watak yang mempunyai matlamat berbeza dengan watak utama, biasanya bermotifkan perkara yang terpesong, sukakan konflik dan serba-serbi jahat.

Sekiranya anda buka kamus DBP, tidak ada dinyatakan secara spesifik 'antagonis' perlu merujuk watak jahat, sebaliknya makna 'antagonis' ditulis secara am : 'orang (pihak) yg kuat menentang orang (pihak) lain.'

Ini menandakan - dalam sebuah naratif yang menceritakan kisah berpandukan watak jahat sebagai watak utama, penjahat itu akan bertindak sebagai 'protagonis' cerita sementara watak yang cuba menghalangnya adalah antagonis jalan cerita tersebut.

3. Deuteragonis

deuteragonis

Istilah 'deuteragonis' berkongsi asal-usul yang sama dengan istilah 'protagonis', kedua-duanya datang dari teater bagi merujuk kepada hirarki pelakon.

Seandainya 'protagonis' merujuk kepada pelakon utama, 'deuteragonis' pula merujuk kepada pelakon yang akan memegang watak teman kepada watak utama. Secara hirarkinya pula, ini menandakan pelakon watak tersebut memegang watak kedua terpenting dalam persembahan.

Diambil daripada perkataan asal 'deuteragonistes', penggunaan istilah ini dalam bahasa Inggeris masih layak dikatakan baru didaftarkan; merujuk kepada 'sidekick' atau kawan watak utama dalam jalan cerita, pada tahun 1855.

Secara rasmi, istilah 'deuteragonis' tidak ditemui dalam perbendaharaan kata kita, tetapi diiktiraf penggunaanya mengikut daftar kata Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia atau MABBIM.

4. Tritagonis

tritagonis watak penulisan ketiga

Dalam seni persembahan Yunani purba, akan wujud pelakon ketiga yang dinamakan sebagai 'tritagoniste' atau 'pelakon ketiga', yang diberikan tugas untuk memainkan watak sebagai 'punca utama' kepada masalah yang dihadapi oleh protagonis serta deuteragonis untuk diselesaikan.

Pelakon 'tritagonis' kebiasaannya akan dipilih daripada mereka yang kurang menyerlah karismanya berbanding 'protagonis' dalam memastikan penonton mampu membezakan siapa pelakon utama dan siapa pelakon pembantu.

Kebiasaannya, tugas 'tritagonis' dalam sesuatu jalan cerita adalah untuk menjelaskan kepada penonton tindakan yang diambil 'protagonis', bagi memastikan penonton lebih jelas dengan apa yang berlaku tanpa keliru tentang hirarki watak yang dimainkan pelakon.

Dalam pembentukan watak zaman moden, 'tritagonis' biasanya digarap sebagai watak yang baik, bersifat ikhlas, agak kelakar dan jarang sekali menampakkan sifat-sifat negatif dalam lakonannya.

Pada tahun 2015, sekumpulan saintis mencadangkan penggunaan istilah ini bagi digunakan untuk merujuk kepada jenis-jenis mikroorganisma yang tidak dapat dikenalpasti, wujud di sekeliling kita. Setakat ini saranan ini belum diambil secara rasmi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)