Gambar gadis nasi lemak viral (sekadar hiasan)

Peraturan yang telah ditetapkan sekian lama sedikit sebanyak menyumbang pada perasaan selesa pada pihak majikan malahan juga pada pekerja, sehingga kita seakan sudah biasa bekerja 5 hari dan cuti 2 hari - sehinggalah kita pencen.

Tidak ada perubahan besar berani dilakukan oleh golongan pekerja dan majikan dalam memperbaiki kelemahan yang ada daripada sistem ini. Kita pun seakan akur saja dengan jadual yang ditetapkan, tanpa ada pihak berani mencadangkan solusi kreatif bagaimana nak memenangkan kedua-dua pihak; baik daripada majikan dan juga pekerja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu perkongsian di laman Linkedin oleh seorang individu bernama David Stephens berjaya membuka mata orang ramai, jika kita berfikir daripada perspektif yang berbeza serta berani mencuba idea yang baru - tempoh kerja 4 hari seminggu untuk setiap pekerja sebenarnya adalah sesuatu yang tidak mustahil dilaksanakan.

Ini kisah David.

Mitos kerja 4 hari seminggu bukan dongeng kosong

bolehkah kerja 4 hari seminggu

Sekiranya ditanyakan kepada mana-mana majikan ataupun golongan pekerja apa itu tempoh 4 hari bekerja, pasti ramai yang akan menganggap 4 hari bekerja bermakna 4 hari bekerja dan 3 hari cuti. Itu sesuatu yang sudah pastilah tidak digemari golongan majikan kerana mereka akan kehilangan hari bekerja yang sangat berharga bagi syarikat.

Walaupun demikian, syarikat di mana saya pernah berkhidmat telah pun berjaya melaksanakan jadual 4 hari bekerja, di mana setiap orang pekerja dapat merasakan faedahnya dan majikan sendiri tidak perlu menanggung sebarang kerugian dalam produktiviti syarikat.

Syarikat kami mengambil keputusan membahagikan setiap cawangan kepada dua kumpulan - kita namakan sebagai kumpulan A dan kumpulan B.

Satu-satunya kelemahan yang perlu diterima setiap orang berikutan pengenalan sistem ini adalah kami perlu bekerja lebih masa selama 2 jam setiap hari, bagi membolehkan pengurangan hari bekerja dilakukan. Teruskan bacaan anda.

Jadual baru, semangat baru

pekerja stress kerja

Walaupun diwajibkan bekerja tambahan masa dua jam setiap hari menjadikannya 10 jam keseluruhan, Kumpulan A dan B diberikan jadual kerja yang berbeza. Kumpulan A akan bekerja pada Minggu 1 pada hari Isnin hingga Khamis, sementara Kumpulan B akan bekerja pada Minggu 1 pada hari Selasa hingga Jumaat.

Minggu berikutnya, kami akan bertukar kedudukan dengan Kumpulan B akan bekerja bermula Isnin hingga Khamis, sementara Kumpulan A bertugas pada Selasa hingga Jumaat. Pada minggu ketiga, kami memulakan kembali jadual sama seperti minggu pertama dan kitaran ini diteruskan untuk minggu-minggu seterusnya.

Anda nampak tak faedahnya di situ?

Sebagai contoh, setiap pekerja kumpulan A akan dapat merasai jadual 4 hari bekerja seminggu pada minggu pertama bermula pada hari Isnin sehingga Khamis, kemudian mula bercuti pada hari Jumaat.

Mereka hanya akan kembali bertugas pada minggu berikutnya pada hari Selasa - jadi hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin merupakan hari cuti 4 hari pada mereka. Kami dibenarkan bercuti selama 4 hari pada dua hujung minggu setiap bulan, asalkan kami sanggup bekerja lebih masa setiap hari sebanyak dua jam, selama 4 hari.

Perubahan ini walaupun nampak kecil sebenarnya memberikan kesan yang sangat besar pada moral pekerja.

Impak besar yang positif pada moral pekerja

idea 4 hari bekerja

Tidak dapat dinafikan ramai juga yang skeptikal dengan cadangan ini pada awalnya. Bagaimanapun, banyak aspek positif mula kelihatan selepas pelaksanaan jadual baru ini. Jumlah pekerja yang terpaksa mengambil cuti sakit berkurangan, kerana pekerja kini mempunyai ruang dan waktu lebih luas bagi menjadualkan temu janji dengan doktor.

Apa yang kami rasai sendiri - moral pekerja meningkat. Ini kerana majoriti pekerja sedar mereka hanya perlu bekerja 4 hari dengan cuti 3 hari, sebelum dapat kembali bercuti 4 hari pada minggu berikutnya.

Perubahan jadual kerja kami memerlukan kami hadir lebih awal dan pulang satu jam lambat; bagaimanapun kami mendapati perubahan ini sebenarnya menguntungkan kami kerana kami kini tidak lagi perlu mengharungi trafik sesak berikutan jadual kami yang berbeza dengan majoriti pekerja lain.

pekerja dan majikan gembira

Produktiviti syarikat kami sebenarnya turut sama meningkat, kerana pelanggan yang sebelum ini kelam kabut berurusan sebelum habis waktu kerja - kini mempunyai tambahan masa untuk menyelesaikan masalah dengan kami.

Apa yang saya sampaikan di sini; penyelesaian sebenarnya boleh datang dengan pelbagai cara dan majikan boleh sebenarnya membawa satu solusi di luar kebiasaan. Yang penting, kenalpasti terlebih dahulu apa yang kita harapkan dengan perubahan itu. Kita tidak perlu terus mengongkong kreativiti kita dengan menurut saja sistem sedia ada - kerana ada kalanya sedikit pengorbanan, baik daripada segi majikan dan pekerja; boleh membawa perubahan positif yang besar dalam membentuk budaya kerja kita.


David Stephens adalah seorang konsultan kepimpinan yang kini berkhidmat di Texas, Amerika Syarikat. Tulisan ini dikongsikan dalam laman Linkedin pada 7 Mei 2014 di bawah tajuk "In Response to a 4-Day Work Week'




Hakcipta iluminasi.com (2017)