ketagihan internet melampau di china

Ketagihan untuk menghadap skrin telefon dan komputer sudah menjadi satu masalah besar yang melanda segenap lapisan masyarakat.

Bagi majoriti negara-negara dunia, gesaan agar ibu bapa atau penjaga mampu mengehadkan penggunaan gajet-gajet ini sama ada kepada diri sendiri atau individu di bawah jagaan mereka sering kedengaran khasnya apabila melibatkan masa permainan video.

Sangat mengasyikkan, bukan semua pihak mampu membentuk disiplin dalam memantau atau menghadkan waktu mereka atau jagaan mereka dalam dunia maya. Adakah adil sekiranya kerajaan sendiri masuk campur dalam urusan ini?

Begitulah yang sedang berlaku di China ketika ini.

Perang China dengan permainan video

kem disiplin ketagihan videogame

China ketika ini sudah menjadi salah satu ekonomi besar dunia, ekoran kejayaan perubahan ekonomi mereka - menjadikan mereka pusat pembuatan majoriti produk dan barangan di seluruh dunia, sehingga layak bergelar 'kilang dunia.'

Teknologi menjadi salah satu cabang utama pengukuhan ekonomi China, dengan pembangunan perisian khasnya judul-judul permainan video semakin berpusat dalam negara tersebut, ekoran tenaga kerja yang semakin dikenali cukup mahir serta kos pengeluaran yang masih rendah.

Bagaimanapun kerajaan China melihat permainan video dalam perspektif yang agak berbeza - mereka melihatnya sebagai hanya buang masa, walaupun anak muda China sendiri giat mengeluarkan bermacam jenis produk popular di serata dunia.

Untuk lebih satu dekad lamanya kerajaan China berperang dengan pengeluar konsol permainan video terkenal dunia seperti Nintendo, Sony dan Microsoft; menghalang penjualan produk konsol itu secara terbuka. Hanya pada tahun 2014, larangan ini ditarik balik - membolehkan warga China mula boleh memiliki konsol-konsol popular itu secara sah.

Larangan 14 tahun itu yang dimulakan sekitar tahun 2000 memaksa peminat permainan video China menumpukan minat mereka, kepada judul yang dilancarkan di peranti komputer. Ini membuka peluang kepada ratusan ribu kafe siber yang menjadi tumpuan.

Secara tak langsung, peminat-peminat permainan video berasaskan komputer ini juga mula mempelajari teknik-teknik pembangunan judul permainan video di komputer, menjadi asas utama kebangkitan China sebagai pusat penghasilan permainan video popular antarabangsa, yang dapat kita saksikan kini.

Tetapi kenapa kerajaan China sendiri ingin memantau rakyat mereka, yang tergila-gilakan permainan video?

Kerajaan sendiri melemahkan firma teknologi tempatan

china video games addiction

Sekitar penghujung bulan Julai 2021 sehingga awal bulan Ogos, firma-firma teknologi di China mula berdepan perubahan dasar yang diramalkan akan diperkenalkan kerajaan CCP China.

Gergasi teknologi China seperti Alibaba dan Tencent mengalami susut nilai saham yang mendadak, sehingga hilang lebih 20% nilai awal.

Media pro-pemerintah China selepas itu mula menerbitkan artikel, khasnya berkaitan dengan kesan ketagihan permainan video ke atas anak muda - yang diibaratkan seperti candu kepada minda, mengkhayalkan pemain-pemainnya.

Ekoran daripada penerbitan itu, Tencent yang banyak menjana pelaburan mereka dalam syarikat permainan video mula berdepan spekulasi - adakah mereka bakal menjadi mangsa perubahan dasar baru pemerintah?

Artikel tersebut yang secara lantang membincangkan kesan buruk permainan video kepada masyarakat massa China, tidak berselindung dalam menggunakan istilah 'dadah elektronik' perosak masyarakat yang perlu dihentikan dan judul popular keluaran Tencent 'Honor of Kings' disebut sebagai salah satu punca masalah yang timbul.

Anak-anak muda dan remaja dikatakan sanggup menghabiskan masa lebih 8 jam sehari bermain, mengakibatkan Tencent mengeluarkan kenyataan akan memperkenalkan kaedah kawalan masa ke atas pemain berusia muda.

Tidak lama selepas itu, artikel itu ditarik balik penerbitannya dan diolah semula agar tidak kelihatan terlalu agresif bunyinya. Malangnya, saham Tencent ketika itu sudah mula menurun, mengakibatkan kerugian besar kepada mereka.

Kuasa Komunis mengawal tingkahlaku rakyat

kerajaan china kekang aktiviti permainan video

Untuk beberapa tahun lamanya, kerajaan China telahpun mengisytiharkan perang tidak rasmi kepada permainan video - walaupun negara itu merupakan pasaran kedua terbesar bagi produk tersebut selepas Amerika Syarikat.

Pada tahun 2018, kerajaan China memperkenalkan badan regulasi yang dipertanggungjawab untuk membangun dan memantau aktiviti berorientasikan permainan video di China disebabkan oleh masalah rabun dekat yang melanda anak muda masyarakat mereka.

Hasilnya, pada tahun 2019 kerajaan China mengisytiharkan akta bagi mengekang ketagihan permainan video individu bawah umur.

Sistem pemantauan yang dikendalikan pengelola permainan video haruslah berupaya memastikan semua pemain bawah umur tidak dibenarkan aktif dari jam 10 malam hingga 8 pagi, serta dihadkan kepada 90 minit sehari pada hari biasa dan 3 jam sehari untuk setiap hari cuti dan hujung minggu.

Walaupun demikian, jelas sekali kekangan ini dianggap tidak memadai untuk memastikan anak-anak muda mereka tidak lalai.

Jadi rombakan kepada peraturan ini dibuat sekali lagi pada 30 Ogos 2021 - membuktikan desas-desus serangan yang dibuat ke atas firma teknologi China beberapa minggu sebelum itu, ada kebenarannya.

Peraturan terbaru jadual main videogame di China

pelajar sekolah ketagih videogame china

Dalam peraturan baru ini, jadual kebenaran yang diberikan disingkatkan disebabkan oleh maklum balas ibu bapa yang merasakan langkah diperkenalkan kerajaan China pada tahun 2019, masih belum cukup ketat untuk memperbaiki keadaan.

Bermula daripada 1 Jun 2021, semua syarikat pengendali permainan video China yang memberikan akses kepada individu bawah umur haruslah menamatkan permainan pelanggan mereka berdasarkan kepada syarat di bawah;

Seorang pemain bawah umur hanya dibenarkan bermain pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad atau hari cuti dari jam 8 malam ke 9 malam. Dalam satu minggu, jumlah maksima yang dibenarkan untuk masuk ke akaun permainan video milik individu bawah umur adalah 3 jam sahaja.

Ini bermakna seorang anak muda atau remaja di China hanya boleh bermain 1 jam sehari yang perlu dipecahkan kepada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad dan peraturan ini terpakai kepada semua jenis permainan video baik di telefon, konsol ataupun komputer.

Hari-hari biasa mereka langsung tidak dibenarkan akses ke akaun mereka.

Dari perspektif kerajaan China, mereka melihat masalah ketagihan permainan video sebagai beban tanggungjawab mereka. Anak-anak muda China dikatakan tidak lagi merasa perlu sama-sama membantu dalam urusan keluarga serta mengabaikan pendidikan sendiri.

Ibu bapa yang menyokong peraturan baru ini pula dikatakan sangat bersetuju, disebabkan oleh kegagalan mereka untuk memantau anak-anak sendiri sehingga memerlukan campur tangan pemerintah secara langsung.

Bagi mereka yang terjejas disebabkan peraturan ini, remaja-remaja ini dikatakan sedang mencari jalan yang membolehkan penggunaan akaun milik ibu bapa mereka. Kerajaan China sedang giat mencari jalan dalam menangani kelemahan ini.

Rujukan

Tencent Share Fall Yahoo Finance

Notice on Preventing Minors from Indulging in Online Games



Hakcipta iluminasi.com (2017)