Oleh pada 10 Jan 2023 kategori

Ramai anak muda mempunyai impian besar untuk 'mengubah dunia' semasa zaman belajar mereka. Mereka mahu mengubah itu, memperbaiki ini, mempunyai azam untuk menambah baik kehidupan masyarakat dengan gaya mereka.

Tetapi semuanya berubah selepas anak-anak muda mula masuk ke alam pekerjaan, menyelami sendiri realiti hidup sebenar bagaimana di mana fantasi-fantasi dan utopia yang mahu mereka realisasikan, akhirnya terbelit dengan budaya alam pekerjaan yang di luar jangkaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu janganlah putus harapan pula ya. Kepada anak-anak muda, perubahan boleh berlaku tetapi prosesnya akan memakan masa. Jika anda benar-benar cenderung untuk membantu, ini lima budaya kerja di Malaysia yang boleh kita lupuskan secara berkala.

1. Budaya gajikan pelajar praktikal

syarikat jadikan intern kuli murah

Di negara barat, peluang untuk melakukan latihan industri atau internship dilihat sebagai satu peluang untuk meletakkan sebelah kaki ke dalam karier yang dikejar.

Ini kerana mereka melihat latihan industri dalam konteks lebih luas, bukan saja meliputi keperluan pelajar bahkan turut sama boleh ditawar kepada pekerja yang baru nak bertapak.

Tetapi bagi segelintir syarikat di Malaysia, tawaran latihan industri dilihat sebagai satu kaedah untuk menjimatkan perbelanjaan kos perjalanan syarikat. Majikan akan konsisten menawarkan jawatan kosong untuk pelajar latihan industri sepanjang tahun bagi mengisi jawatan yang sepatutnya diisi secara tetap. 

Dengan tawaran elaun praktikal sekitar RM300 ke RM500 sebulan, sebuah syarikat mampu 'menggajikan' 3 orang pekerja latihan industri sekitar 3 bulan dengan kos yang sama untuk menggaji seorang. Proses ini diulang dan diulang kerana syarikat tahu mereka boleh kekal beroperasi dengan modus operandi sama tanpa ada bantahan.

Memang tidak dapat dinafikan pelajar yang hadir dapat menimba pengalaman berharga untuk dijadikan batu loncatan mereka, tetapi dengan terus membenarkan amalan sebegini berterusan - kita sebenarnya membiarkan pelajar atau pekerja baru graduasi ditindas.

Kerajaan sepatutnya mewujudkan sebuah akta yang memantau elaun minima bagi seorang pelatih industri, untuk sekurang-kurangnya memastikan keringat yang diperah setimpal dengan usaha. Sampai bila kita nak dengar syarikat-syarikat besar pun masih lagi hanya sudi membayar sekitar ratusan ringgit untuk pelatih industri?

2. Kerja lebih masa adalah simbol prestasi  

overtime kerja lebih masa pejabat 145

Budaya suka membuktikan diri 'gila kerja' semakin lama semakin membarah dalam masyarakat kita dan dunia. Jika dulu seseorang yang enggan bekerja lebih masa secara sukarela di lihat lemah, kini budaya 'hustle' pula mengajak individu supaya rasa malu kalau buang masa tak cari duit setiap saat dan waktu.

Kami tidak tahu siapa yang memulakan pemikiran kita kena kerja lebih masa untuk membuktikan kita rajin, tetapi kami yakin ramai yang percaya pendapat itu ada kebenarannya. 

Tidak. Sekiranya anda sudah bersetuju untuk bekerja dari jam 9 pagi sehingga 5 petang, usahakan supaya kerja anda habis dalam jangka masa waktu tersebut. Seandainya perlu anda kerja lebih masa kerana kerja anda belum siap, lakukannya secara suka rela. 

Bukan disebabkan oleh ada mata-mata menjeling seakan mengejek anda kerana nak pulang tepat pada waktunya. Pedulikan saja pandangan sebegini kerana anda tahu apa hak anda sebagai pekerja dan anda berhak pulang ke rumah mengikut waktu sekiranya tidak ada apa-apa keperluan lain.

3. Majikan letak syarat hanya boleh balik selepas dia balik

boss marah pekerja

Penulis pernah duduk dalam situasi pejabat sebegini, di mana majikan secara terbuka melanggar perjanjian yang telah dia persetujui; mewujudkan syarat tidak rasmi semua pekerja hanya dibenarkan balik selepas dia balik. 

Kononnya syarat itu perlu bagi memastikan dia tak perlulah memanggil semula kumpulan pekerja hadir kembali ke pejabat, sekiranya ada keperluan. Buang minyak, buang masa kami semua. Senang cerita, dia cipta syarat ini kerana nak mudahkan kami. Hahaha!

Seandainya anda sedang berhadapan situasi sebegini, perkara pertama yang perlu anda sebagai sebuah kumpulan pekerja perlu sedar - ini tidak sepatutnya berlaku. 

Pihak majikan perlu sedar kontrak di antara pekerja dan majikan adalah perhubungan dua hala, di mana pekerja perlu hadir dalam waktu-waktu yang telah ditetapkan dan menamatkan tugasan masing-masing sementara majikan pula perlu berusaha keras menyediakan ruang untuk memastikan pekerja mampu menyelesaikan tugasan mengikut masa dalam kontrak.

Seorang majikan yang menjadikan tempoh waktu dia bekerja sebagai jadual rasmi pejabat, bukanlah seorang majikan yang baik. Buat saja laporan sekiranya anda sedang duduk dalam situasi sebegini kerana budaya ini adalah salah satu punca kenapa ramai rakyat Malaysia berdepan tekanan emosi.

4. Mentaliti 'hanya yang kuat kekal kerja teruk' 

calon cari kerja resume

Satu faktor yang mengakibatkan ramai individu di luar sana sanggup 'mengabdikan' diri dalam kerjaya atau karier yang jelas menyeksa diri mereka, adalah disebabkan oleh mentaliti masyarakat kita yang rata-ratanya masih mahu 'memalukan' mereka yang berhenti di tengah jalan. 

Mentaliti 'survival of the fittest' atau hanya yang kuat mampu bertahan telah lama menjadi barah dalam budaya kerja kita.

Berpegang kepada mentaliti sebegini kita bukan saja membenarkan syarikat mengambil kesempatan ke atas pekerja bahkan pekerja juga saling berlumba mahu membuktikan sesuatu yang sebenarnya tak memberikan pulangan apa.

Orang yang memilih untuk keluar atau lari daripada suasana toksik akan dikecam sebagai lemah atau tidak cukup gigih, tidak seperti pekerja-pekerja lain yang sanggup mengharungi situasi tidak gembira tanpa ada jalan keluar.

Bermula daripada itulah ramai di antara kita tanpa sedar sanggup mengorbankan banyak perkara yang jauh lebih penting berbanding kerja, seperti kebajikan keluarga dan hubungan dengan saudara-mara demi meyakinkan diri sendiri 'kita kuat dan tak lemah' dalam kerjaya.

5. Tangga gaji yang masih sama

tangga gaji tak berubah

Kami tidak tahu apa punca sebenar kenapa skala atau tangga gaji di Malaysia, sukar sekali untuk naik - walaupun dalam masa yang sama semakin ramai tauke atau 'founder' syarikat tampaknya semakin mewah. Ini kita semua tahu disebabkan oleh perkongsian-perkongsian di media sosial lah.

Sudah jadi satu pemandangan biasa sebuah syarikat menawarkan jawatan untuk pemegang ijazah tiada penglaman dengan gaji hanya di antara RM1600 ke RM2300. Jika anda hendak tahu, inilah juga tangga gaji yang sama semasa penulis hendak mula kerja dulu hampir dua dekad sebelum ini.

Nak kata ekonomi bermasalah, tidak. Nak kata produktiviti masyarakat menurun pun bukan. Pengenalan kenaikan gaji minima beberapa kali pun nampaknya gagal membantu menaikkan lantai gaji kumpulan pekerja, kerana pekerja masih berdepan situasi yang sama.

Dalam aspek gaji, pekerja-pekerja lebih tua berhadapan dengan masalah syarikat enggan menaikkan gaji mengikut status pengalaman sementara bagi pekerja muda atau yang baru nak bermula, gaji yang ditawarkan pula ada masanya tak setimpal dengan kehendak yang ditetapkan. 

Situasi sebegini bahaya kerana jelas sangat menguntungkan pihak majikan, di mana majikan mempunyai kuasa penuh menetapkan lantai dan siling gaji dengan tawaran 'take it or leave it'.

Jadi kepada anak-anak muda yang masih belum masuk ke alam pekerjaan, kami perlu ceritakan kepada anda perubahan besar-besaran yang anda harapkan akan berlaku tidak akan berlaku.

Sebaliknya selepas anda melangkah masuk kerja, pastikan budaya-budaya kerja ini tidak menimpa anda. Mulakan dengan diri anda dan sebarang perubahan kecil yang anda mulakan, kami yakin akan mula memberi kesan serta impak kepada penambahbaikan budaya kerja kita di Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)