Kredit foto: Instagram Zayan.my

Penyanyi Mawi menafikan punca dia bergelar penyampai radio kerana sudah tidak menyinar sebagai penyanyi dalam dunia hiburan.

Sebaliknya beliau meminati bidang penyiaran radio sebelum penyertaan dalam program realiti Akademi Fantasia 3 lagi.

"Kalau nak kata saya sudah tidak laku atau relevan dalam bidang nyanyian, saya masih ada lagu baharu akan datang bersama Syamsul Yusof.

"Tapi saya nak jelaskan disini, saya menceburi bidang penyampaian radio kerana ia memang impian saya sejak dulu lagi.

"Malah tujuan saya menyertai AF3 ketika itu pun kerana mahu menjadi penyampai radio.

"Namun ketika itu, rezeki nyanyian saya lebih murah dan tiada peluang untuk menjadi penyampai radio.

"Jadi kini, bila peluang itu datang saya tidak akan mensia-siakan.

"Bagaimanapun, saya tetap tidak akan tinggalkan bidang nyanyian," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Menerusi radio Zayan fm, Mawi bersama seorang lagi penyampai radio baru, Anas bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi di slot Salam Bros.

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang itu, penyanyi berusia 36 tahun itu akui semakin selesa biarpun pada awalnya agak kekok.

"Pada mulanya saya akui kekok dan agak 'lost' kerana masing-masing masih mencari hala tuju ke mana hendak kami bawa pendengar radio tersebut.

"Namun lama-kelamaan saya semakin seronok dan mendapat rentak yang betul.

"Dalam Salam Bros kami ada segmen yang menarik seperti Mawi Jawi, Bro Buskers dan banyak lagi," katanya lagi.

Zayan antara lain menampilkan penyampai radio Lin Ariffin, Raqib dan Falyq.

Zayan #IndahdiHati boleh didengar secara jelas dalam format RDS menerusi FM Stereo 104.9 Mhz (Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang Barat, Perak Selatan) dan 98.1 Mhz (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara).

Juga melalui frekuensi 106.4 Mhz (Perak Tengah), 91.6 Mhz (Pahang Timur, Terengganu Selatan), 98.9 Mhz (Melaka, Johor Utara) serta 92.8 Mhz (Johor Selatan, Singapura, Batam Indonesia).

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)