Oleh pada 14 May 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Mawi & freemalaysiatoday.com

Penyanyi Mawi akui terkejut dengan penularan muzik video lagunya, Lara Jiwa, duet bersama Datin Seri Rosmah Mansor.

Mawi bagaimanapun memohon agar masyarakat tidak mengaitkan perkara itu dengan isu politik memandangkan rakaman lagu dan video berkenaan dibuat pada tahun 2005 iaitu selepas kemenangannya dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

"Saya faham negara kita baru selesai Pilihan Raya Umum ke-14. Jadi apa saja yang membabitkan artis terutama bersangkut paut dengan pemimpin terdahulu, netizen akan cari semula termasuklah lagu ini.

"Saya tidak ada masalah lagu ini ditularkan semula, cuma janganlah dipolitikkan atau disalah anggap. Kalau boleh jangan timbulkan cerita buruk. Bagi saya, kita patut lebih bersederhana," katanya kepada Harian Metro.

Bahkan, Mawi yang juga seorang pengarah ini bimbang isu berkenaan akan memberi kesan buruk kepada periuk nasinya dalam dunia hiburan.

tular nyanyi dengan rosmah mansor ini jawapan mawi 2

Kredit foto: Youtube Azroy Azhar

"Lagi pula, saya sebagai penyanyi dan punca pendapatan dalam bidang ini. Menerusi lagu ini, kali pertama saya bekerjasama dengan orang kenamaan selepas habis AF3," katanya

Dalam pada itu, Mawi menafikan kononnya dia mempunyai kepentingan dengan pihak tertentu seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Penyanyi Kalah Dalam Menang ini menjelaskan lagu itu hanyalah rakaman untuk menyokong kerja amal iaitu Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah.

"Mungkin ramai tidak tahu, lagu ini dirakam bagi menjayakan Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah. Lagu ini dijadikan lagu tema kempen berkenaan. Ia sesuatu yang bagus," katanya.

Diherdik dengan kata-kata cemuhan, Mawi menganggap ia tindakan beremosi sesetengah netizen yang bersikap keterlaluan. 

"Namun, apabila ada pihak menuduh dan mempolitikkan perkara ini, bagi saya ia tidak patut. Dalam masa sama, mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

"Apa ingin dikatakan, jangan sekali pernah lupakan kebaikan seseorang kepada kita," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)