Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Malam tadi berlangsung persaingan buat pertama kalinya antara 12 peserta konsert mingguan AF Megastar di Royal Theater Shah Alam.

Membawa tema Throwback Akademi Fantasia, kesemua penyanyi ditugaskan membawa sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh mana-mana pelajar Akademi Fantasia sepanjang keseluruhan musim.

Di penghujung konsert menyaksikan dua peserta dengan markah tercorot iaitu Azhar dan Adira disingkirkan daripada pertandingan. Sementara itu, Amir Jahari yang berada di kedudukan ketiga dari bawah terselamat sekaligus mara ke minggu seterusnya.

Tuah buat penyanyi Syamel yang dinobatkan dengan anugerah persembahan terbaik, Star Of The Week yang ditentukan hasil undian sepenuhnya daripada penonton.

Dengan itu, Syamel membawa pulang ganjaran eGiftCard daripada GoShop yang bernilai RM2,000 berserta sebuah trofi.

Manakala markah keseluruhan pertandingan adalah daripada gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman web.

Juri profesional terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat bersama juri jemputan minggu ini, Datuk Norman Abdul Halim.

Berikut kami kongsikan kedudukan peserta berdasarkan markah keseluruhan dan imbas kembali komen-komen juri selepas persembahan.

1. Syamel, 58.6% - Ku Tak Akan Bersuara

"Wow! Persembahan yang sangat luar biasa. Tapi saya tak berapa layan lagu ni, mungkin jiwa saya lebih ke arah hip hop. Bagaimanapun saya dapat rasa awak ni bintang yang memang dilahirkan di atas pentas kerana persembahan kamu sangat natural dan enjoy." - Datuk Norman Abdul Halim

2. Marsha, 57.4% - Asmara

"Pada mulanya saya tertanya kenapa Marsha hendak nyanyikan lagu mudah ini. Tapi setelah melihat persembahan awak dengan penuh karakter saya boleh kata ia persembahan yang hebat. Dulu saya ada kata mahu awak bulatkan lagi suara untuk lebih kemas tapi kali ini saya tak kisah kerana awak menyanyi bertujuan menurut karakter." - Syafinaz Selamat

3. Bob, 56.6% - Awan Yang Terpilu

"Bob awak memang bagus, persembahan awak memang terbaik. Saya ingat lagi, awak satu-satunya penyanyi yang telah diberi penghormatan oleh kumpulan orkestra, memang hebat." - Datuk Ramli MS

4. Idayu, 56.4% - Ya Maulai

"Sebutan kamu tu cantik dan jelas walaupun menyanyikan lagu asli, ia persembahan yang hebat. Saya hairan kenapa mereka (peminat) tendang awak awal-awal dulu." - Datuk Ramli MS

5. Shahir, 44.2% - Seroja

"Telinga saya terganggu dengan pitch awak, suara awak ditenggelami muzik. Lagu tak ada masalah cuma jika mahu buat susunan muzik kena betul. Jika mahu buat kalainan awak perlu dengar dan fahamkannya dahulu, jadi perlu berhati-hati." - Datuk Ramli MS

6. Ewal, 41.3% - Bunga Pujaan

"Susah nak cari apa point nak kritik, pada mulanya saya cuba cari salah tapi semua ok. Cuma ada terkucil sedikit di awalnya tapi saya percaya awak boleh lakukannya." - Datuk Norman Abdul Halim

7. Sufi, 40.9% - You Give Love A Bad Name

"Ini lagu rock tapi awak menyanyi dengan genre pop. Saya rasa awak kurang memahami lagu rock itu. Rock dan pop harus berbeza. Awak boleh menyanyi cuma kena faham apa yang nak disampaikan." - Datuk Ramli MS

8. Indah, 39% - Tiada Lagi Tangisan

"Saya rasa awak cuba nak berikan persembahan yang dinamik dan ada warna tapi awak perlu titik beratkan beberapa perkara praktikal. Tadi persembahan awak banyak kecundangnya tapi saya tak kata ia tak bagus cuma ada kekurangan." - Syafinaz Selamat

9. Amir, 37.7% - Hanya Tak Mampu

"Saya nampak awak macam takut-takut, orang tak perlu tahu awak sedang gementar sebab suara awak bagus." - Syafinaz Selamat

10. Amir Jahari, 35.7% - Laskar Pelangi

"Persembahan awak ni idea awak kah? Kerana ia sungguh sempurna dengan video latar, muzik tambahan dan nyanyian awak bagus sekali." - Datuk Norman Abdul Halim

11. Adira, 29.3% - Ikut Rentakku

"Siapa tak boleh menafikan awak boleh menyanyi, tapi tadi awak nyanyi putus-putus. Cuba lebih commited dalam persembahan sebab saya rasa tadi awak tak commited." - Syafinaz Selamat

12. Azhar, 17.1% - Dalam Gerimis

"Saya rasa awak kekok bila menyanyikan lagu ini kerana saya rasa ia bukan jiwa awak tapi secara keseluruhan ia masih suatu persembahan yang baik." - Datuk Norman Abdul Halim

Sumber: Astro Gempak

AF Megastar ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.




Hakcipta iluminasi.com (2017)