Kita sedia maklum, kos pembedahan untuk apa jua penyakit sekalipun tersangatlah mahal. Maka, tidak hairanlah ada yang terpaksa menderita hingga akhir hayat kerana tiada wang untuk meneruskan pembedahan. Ada juga yang terpaksa menjual tanah dan segala aset penting untuk menampung kos ini.

Atlet rejam lembing Poland, Maria Andrejczyk baru-baru ini telah bertindak melelong pingat perak yang dimenanginya di Olimpik 2020 untuk membantu mengumpul dana bagi membayar kos pembedahan jantung seorang bayi lelaki berusia lapan bulan. Rangkaian kedai Poland, Żabka Polska telah  memenangi lelongan dengan tawaran $125,000.

BESARKAN TEKS     A-  A+

"Saya tidak mengambil masa yang lama untuk memutuskan perkara ini (melelong pingat), ini adalah usaha pengumpulan dana pertama yang saya sertai dan saya tahu ia adalah tindakan yang tepat," katanya melalui media sosial melalui akaun sosial medianya.

Pingat Olimpik pertama

pingat olimpik

Dalam Sukan Olimpik 2020 yang sudahpun melabuhkan tirainya, atlet Poland berusia 25 tahun ini pertama kali melayakkan diri ke final di Sukan Oliimpik tetapi berjaya dikalahkan oleh Liu Shiying dari China untuk memperoleh perak. Lebih menarik, ini merupakan pingat Olimpik pertamanya.

Dalam Sukan Olimpik 2020, beliau meraih perak dalam acara lempar lembing wanita untuk rejaman sejauh 64.61 meter yang dilakukannya. Hanya Liu Shiying dari China yang menunjukkan prestasi lebih baik dengan melakukan rejaman pada pada jarak 66.34 meter.

Kehebatannya dalam sukan ini juga bukan calang-calang. Selain pemenang pingat perak Olimpik, beliau juga merupakan johan pertandingan Remaja Eropah 2015. Rekod peribadi terbaiknya 71.40 m yang dicatatkan pada tahun 2021 adalah rekod kebangsaan Poland dan juga keputusan ketiga terbaik dalam sejarah pertandingan lempar lembing wanita.

Andrejczyk terlepas pingat di Sukan Olimpik Rio 2016 setelah menduduki tempat keempat dengan percubaan terbaik 64.78. Beliau hanya terlepas daripada kedudukan podium dengan margin 0.02 sm.

Sebelum pingat perak Sukan Olimpik 2020, pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah berjaya menduduki tempat kedua di Liga Super Kejuaraan Pasukan Eropah 2019 dan layak ke Kejuaraan Dunia 2019 sebelum tersingkir di pusingan kelayakan.

Satu-satunya harapan terakhir

miloszek malysa

Kanak-kanak malang itu, Miloszek Małysa mengalami kecacatan jantung yang serius dan memerlukan pembedahan. Menurut ibu Małysa, Monika, tidak ada lagi pilihan yang sesuai untuk membantu bayi itu di negara asalnya, Poland dan harapan terakhir yang mereka ada adalah melakukan pembedahan di Stanford, California.

Andrejczyk menjelaskan bahawa Małysa memerlukan 1.5 juta zloty ($383,000) untuk pembedahan itu dilakukan dengan segera kerana keadaan semakin terdesak. Dengan separuh wang sudah terkumpul, beliau mengatakan bahawa ingin mengumpul separuh lagi dana.

Setelah memulakan lelongan medal pingat perak yang dimenanginya itu dengan harga bermula 200,000 zloty ($51,000), beliau mengumumkan beberapa hari kemudian melalui akaun Facebook bahawa Żabka, rangkaian pasar raya Poland, memenangi lelongan dengan tawaran $125,000.

Dalam pengumuman tersebut, beliau turut menambah dengan sukacitanya dan rela hatinya, beliau akan memberikan pingat perak yang dimenanginya kepada Żabka atas kemenangan dalam lelongan tersebut. Baginya, pingat itu adalah simbol perjuangan, dan kecekalan mengejar impian walaupun menghadapi banyak cabaran.

Wang yang dikumpulkan akan membolehkan Małysa menjalani pembedahan yang diperlukan di Pusat Perubatan Universiti Stanford. Lebih manis lagi, setelah memenangi lelongan itu, pihak Żabka telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil pingat itu sebaliknya hanya akan mendermakan jumlah wang bersamaan nilai jualan pingat Olimpik itu. 

Dekat dengan hati

maria andrejczyk

Bagi yang tidak tahu, Maria Andrejczyk sendiri pernah didiagnosis menderita osteosarcoma, sejenis penyakit barah tulang pada tahun 2018. Namun itu tidak menghalangnya beraksi dalam Sukan Olimpik. 

Akibat daripada penyakitnya, beliau sendiri turut memerlukan pembedahan, bukan kemoterapi dan hanya dapat meneruskan latihan pada tahun 2019 untuk persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2020. Tidak hairanlah beliau tergerak hati untuk mengumpul dana bagi membantu Miloszek Małysa.

“Nilai sebenar pingat sentiasa terpahat di hati. Pingat hanya merupakan objek, tetapi dapat memberi nilai yang tinggi kepada orang lain. Pinngat perak ini dapat menyelamatkan nyawa, bukannya setakat mengumpulkan habuk di almari. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk melelongnya untuk menolong kanak-kanak yang sakit, ”kata Andrejczyk kepada sebuah stesen TV Poland.

Kisah-kisah atlet menjual pingat yang dimenangi dalam Sukan Olimpik bukanlah perkara baru. Seblum ini, seorang atlet lempar cakera yang juga adri Poland, Piotr Malachowksi juga menjual pingat perak yang dimenanginya di Sukan Olimpik Rio untuk membayar kos pembedahan seorang kanak-kanak lelaki kerana barah mata.

Seorang jutawan membayar untuk membeli pingat tersebut dan juga kos pembedahan operasi itu, menurut Times of London. Diharapkan kisah seperti ini turut memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja termasuk para atlet untuk melakukan perkara positif seperti ini untuk membantu mreka yang kurang bernasib baik.

Kredit:

  1. CNN
  2. Wikipedia
  3. New York Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)