apakah bahan buatan pingat olimpik

Sudah menjadi satu trend atlet yang memenangi sebarang kejohanan sukan, akan menggigit pingat yang mereka menangi termasuklah pingat Olimpik. 

Tak sakit ke gigi mereka apabila pingat itu ditokak? Mungkin tidak kot, kerana mereka atlet profesional jadi sudah pasti gusi mereka sihat dan kuat.

Pernahkah anda terfikir, adalah bahan yang digunakan untuk membuat pingat yang digigit atlet itu?

Pastilah pingat emas diperbuat daripada emas betul kan? Kan?

Tiga elemen wajib ada dalam setiap pingat

pingat medal olimpik tokyo

Untuk menjawab soalan adalah pingat Olimpik diperbuat daripada emas, perak dan gangsa tulen - kita hanya perlu menyemak spesifikasi pingat yang telah ditetapkan oleh Majlis Olimpik Sedunia atau IOC.

Dari segi rekaannya semua pingat Olimpik baik emas, perak atau gangsa perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan. 

Pingat haruslah memaparkan Nike, dewi orang Yunani berdiri dihadapan stadium yang dinamakan sebagai Stadium Panathinaikos sebagai elemen utama dalam pingat.

Sebab itulah setiap pingat Olimpik mempunyai lakaran dewi tersebut di salah satu wajah pingatnya. Ini satu kemestian. 

Selain Dewi Nike, tulisan nama kejohanan yang dilangsungkan perlu dipaparkan pada semua pingat beserta dengan simbol Olimpik yang dibentuk daripada lima bentuk cincin.

Selepas ketiga-tiga elemen ini dipenuhi, rekaan dan hiasan pingat itu semuanya diletakkan kepada daya kreativiti tuan rumah, yang biasanya akan menggabungkan elemen negara mereka ke dalam semua rekaan.

Spesifikasi pingat yang ditetapkan IOC

kandungan pingat emas olimpik emas tulen

Walaupun dari segi reka bentuk diserahkan kepada tuan rumah, masih ada spesifikasi yang perlu dituruti negara penganjur dalam membentuk setiap pingat. 

Semua pingat perlu mempunyai diameter di antara 70 mm minima hingga 120 mm maksima, dengan ketebalan di antara 3 mm sehingga 10 mm. Pingat emas haruslah mempunyai berat di antara 450 gram ke 800 gram.

Syarat ini menyebabkan pingat emas biasanya merupakan pingat paling berat dan gangsa yang paling ringan. 

Untuk bahan-bahannya pula, IOC menetapkan bahawa pingat gangsa diperbuat daripada campuran 95% tembaga dan 5% zink. Pingat perak pula dibentuk daripada 100% logam perak.

Bagaimana dengan pingat emas? Aha! Mestilah 100% emas paling tulen boleh dibentuk kan? Tidak!

Semua pingat emas Olimpik sebenarnya diperbuat daripada perak tulen yang permukaannya disadur emas melebihi berat 6 gram. Tidak diperjelaskan apakah gred emas yang digunakan.

Dianggarkan setiap satu pingat emas temasya Olimpik Tokyo 2020 memakan kos sehingga RM3,450 bagi menghasilkannya, disebabkan harga bahan logam ketika ini yang agak tinggi. 

Bagi mengurangkan kos pengeluaran pingat, kerajaan Jepun telah mempraktikkan penggunaan bahan kitar semula sepenuhnya semasa proses pembuatan pingat itu.

Semua pingat Olimpik Tokyo diperbuat daripada logam kitar semula

pingat olimpik tokyo kitar semula

Pada tanggal 16 Februari 2017 sehinggalah 31 Mac 2019, badan pengelolal Olimpik Tokyo telah pun menjalankan projek yang dikenali sebagai Tokyo 2020 Medal Project. 

Melalui usaha ini, pihak pengendali projek membuka peluang kepada orang ramai untuk mendermakan barangan-barangan elektronik terpakai kepada penganjur bagi membolehkan logam-logam bernilai yang ada di dalam setiap peranti, dikitar semula. 

Sebanyak 78,985 tan sisa elektronik berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh tersebut merangkumi pelbagai jenis barangan seperti televisyen, komputer riba dan juga lebih 6.2 juta telefon. 

Hasilnya, barangan yang diterima akan dileraikan mengikut jenis dengan logam yang terkandung dalam setiap peranti, akan diambil dan dicairkan atau diproses, bagi mengasingkan kandungannya.

Kesemua lebih 5,000 pingat yang disediakan bagi pemenang Olimpik 2020 yang dikalungkan ke leher atlet, diperbuat daripada logam-logam terpakai itulah.

Rujukan

Tokyo 2020 Medal Project

Tokyo 2020 Medal Project: Towards an Innovative Future for All



Hakcipta iluminasi.com (2017)