Dalam tempoh dua minggu tayangan, filem Jumanji berjaya meraih kutipan sebanyak RM48.29 juta, sekaligus meletakkannya sebagai filem paling laris di Malaysia masa kini.
Aktor Dwayne Johnson atau The Rock meraikan pencapaian hebat filem arahan Jake Kasdan itu dalam sebuah ucapan khas di laman Instagram.
Menerusi kiriman berbentuk video, Johnson merakamkan penghargaan atas sokongan para peminatnya.
“Terima kasih Malaysia. Kami masih nombor satu.
“Kami mahu terus kekal jadi filem paling laris di Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, ahli gusti profesional berusia 45 tahun itu mengimbas kembali nostalgia sewaktu beraksi di perlawanan WWE, Kuala Lumpur.
“Malaysia, anda sangat istimewa dalam hati saya. Pada awal karier, saya mengeluarkan segala kudrat di perlawanan Kuala Lumpur.
“Peluang membuat persembahan di hadapan penonton memberi semangat sukar dilupakan.
“Saya sayang anda dan harap anda terus terhibur menonton Jumanji,” katanya.
Selain itu, Johnson memuat naik beberapa video lain merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat Jumanji di Indonesia, Mexico, China, Korea Selatan, Jepun, Jerman, Rusia, Australia, New Zealand, United Kingdom dan Perancis.
Filem aksi pengembaraan serta komedi itu antara lain dibintangi Jack Black, Kevin Hart, Karen Gillian dan penyanyi Nick Jonas.
Kredit foto: Instagram The Rock
Sumber berita: Harian Metro