Oleh pada 31 Jan 2022 kategori

Anda mungkin pernah melihat individu terkenal seperti penyanyi, pengacara atau atlet profesional berlakon dalam filem atau drama Hollywood. Namun, tidak semua berjaya membawa watak lakonan mereka dengan baik kerana itu bukanlah bidang utama mereka.

Walau bagaimanapun, segelintir atlet sukan berjaya membina nama besar dalam dunia lakonan Hollywood. Bukan mudah untuk berjaya dalam bidang sukan dan lakonan pada masa yang sama tetapi beberapa individu ini telah membuktikan bahawa ia tidaklah mustahil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah beberapa pelakon popular Hollywood yang pada mulanya adalah seorang atlet profesional.

8. Jim Brown

jim brown

Jim Brown popular sebagai seorang pelakon Hollywood pada sekitar tahun 1970-an apabila muncul dalam beberapa filem aksi seperti 100 Rifles, El Condor, Slaughter, dan Three the Hard Way.

Sebenarnya, Brown juga adalah salah seorang pemain terbaik dalam sejarah liga bola sepak Amerika. Dia menghabiskan 9 musim bersama pasukan Cleveland Browns dan memenangi pelbagai gelaran yang diimpikan oleh atlet dalam sukan itu.

Sebenarnya, Brown telah menceburi bidang lakonan sebelum karier sukannya berakhir apabila ditawarkan untuk memegang watak kecil dalam filem Rios Conchos (1964). Beberapa tahun kemudian, Brown diberi kepercayaan untuk memegang watak utama pertamanya dalam filem The Dirty Dozen (1967).

7. John Cena

john cena

Dia masih dikenali ramai sebagai seorang penggusti profesional walaupun telah lama bersara dan banyak berlakon dalam filem Hollywood. Pada waktu kegemilangannya, dia merupakan salah seorang penggusti WWE yang diminati ramai.

Sebelum menceburi gusti, Cena adalah pemain utama untuk pasukan bola sepak Amerika Springfield College. Pada tahun 2006, dia diberi kepercayaan untuk melakonkan watak dalam filem pertamanya iaitu The Marine.

Beberapa tahun kemudian, John Cena sudah menjadi selebriti Hollywood apabila terlibat dalam banyak filem seperti Trainwreck, Fast & Furious, The Suicide Squad dan banyak lagi. Bukan sahaja Cena berjaya membawa watak serius dalam filem aksi tetapi dia juga melakonkan banyak watak lucu dalam filem komedi.

6. Johnny Weissmuller

johnny weissmuller

Mungkin ramai yang tidak mengenali pelakon lama ini. Johnny Weissmuller mula berlakon dalam filem pertamanya iaitu Tarzan the Ape Man (1932). Selama dua dekad selepas itu, Weissmuller muncul dalam 12 lagi filem Tarzan sebelum mencuba watak lain.

Sebelum karier lakonannya, Weissmuller adalah seorang atlet hebat pada zamannya. Dia telah memenangi lima pingat emas sukan Olimpik dalam acara renang. Menggunakan popularitinya sebagai atlet profesional, Weissmuller berjaya bertapak sebagai seorang pelakon Hollywood.

Johnny Weissmuller juga adalah pelakon yang bertanggungjawab mempopularkan "Jeritan Tarzan" yang kita kenali pada hari ini. 

5. Vinnie Jones

vinnie jones

Pelakon kelahiran Britain ini membintangi banyak filem aksi Hollywood seperti Snatch, Gone in 60 Seconds, Swordfish, X-Men: The Last Stand dan beberapa lagi. Selain sering memegang watak jahat kerana mimik mukanya yang bengis, Jones juga sering diberikan watak lucu dalam beberapa filem komedi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Vinnie Jones adalah seorang atlet profesional sebelum menceburi bidang lakonan. Jones sebenarnya salah seorang pemain bola sepak profesional Liga Premier Inggeris ketika muda.

Dia pernah bermain dengan beberapa kelab terkemuka seperti Chelsea, Leeds United, Sheffield United dan Queens Park Rangers. Malah, Jones juga pernah memenangi Piala FA bersama pasukan Wimbledon apabila mengalahkan Liverpool pada tahun 1988.

4. Dave Bautista

dave bautista

Sama seperti John Cena, Bautista juga memulakan kariernya sebagai seorang penggusti. Dengan karier gusti selama 20 tahun, Bautista menjadi begitu popular dan berjaya mengubah kariernya kepada bidang lakonan selepas itu.

Bautista mula memegang watak kecil dalam dalam siri televisyen Smallville pada tahun 2006 sebagai Aldar, makhluk asing jahat yang berassal dari Phantom Zone.

Dengan tubuh sasanya, dia diberi kepercayaan lebih banyak untuk berlakon dalam filem aksi seperti Guardians of the Galaxy, Blade Runner 2049, Dune dan banyak lagi.

3. Terry Crews

terry crews

Pada awal karier Hollywoodnya, Terry Crews banyak berlakon dalam filem komedi seperti Friday After Next, Malibu's Most Wanted, White Chicks dan banyak lagi. 

Dia kemudian diberi kepercayaan untuk memegang watak yang lebih serius dalam filem aksi pada penghujung tahun 2000 seperti Terminator Salvation, Gamer, Expendables, Deadpool 2 dan beberapa lagi.

Namun, ramai tidak mengetahui bahawa Crews sebenarnya adalah seorang pemain bola sepak Amerika profesional pada tahun 1990-an. Dia pernah menyertai pasukan Los Angeles Rams, San Diego Chargers, Washington Football dan Philadelphia Eagles.

2. Dwayne Johnson

dwayne johnson 462

Pelakon ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah, karier atlet profesionalnya juga diketahui ramai. Dia adalah salah seorang penggusti paling popular pada era 2000-an. Bahkan, dia adalah generasi ketiga keluarganya yang menyertai gusti.

Namun, ramai tidak mengetahui bahawa The Rock ini pernah menjadi atlet profesional sukan bola sepak Amerika. Dia pernah memenangi kejohanan NCAA bersama Miami Hurricanes pada 1991 dan menyertai Calgary Stampeders sebelum mengalami kecederaan dan bersara dari sukan itu.

Johnson mula membuat kemunculan di layar perak melalui filem The Mummy Returns (2001) sebagai Scorpion King. Dia kemudian membintangi pelbagai lagi filem aksi dan menjadi sebagai salah seorang pelakon filem aksi paling dikenali di Hollywood.

1. Jason Statham

jason statham

Jason Statham telah menceburi bidang lakonan lebih daripada 20 tahun. Dia adalah salah seorang pelakon filem aksi paling popular buat masa ini. Antara filem popular yang dilakonkan Statham adalah seperti The Italian Job, The Expendables, The Fast & Furious, The Transporter dan banyak lagi.

Namun, sebelum menceburi bidang lakonan, Statham pernah menjadi seorang penyelam profesional. Statham pernah bertanding mewakili England dalam sukan menyelam pada Sukan Komanwel pada tahun 1990 sebelum beralih arah dalam bidang pemodelan.

Statham diberi kepercayaan oleh Guy Ritchie untuk berlakon dalam beberapa filem aksi arahannya seperti Lock, Stock and Two Smoking Barrels dan Snatch.




Hakcipta iluminasi.com (2017)