Kredit foto: Instagram Henry Golding

Tuah aktor dan hos kelahiran Sarawak, Henry Golding di persada Hollywood berterusan apabila disahkan membintangi filem berjudul Monsoon arahan Hong Khaou, sebagai teraju utama.

Henry, 31, menganggap ia peluang berharga yang tidak wajar dilepaskan apatah lagi sejak menggenggam skrip hasil tulisan sutradara itu.

“Untuk skripnya sendiri saja, naskhah Monsoon berjaya membuatkan saya terus jatuh cinta. Serta-merta saya tahu saya mesti jadi sebahagian daripada filem itu.

“Hong pernah menghasilkan filem yang sangat mengagumkan pada 2014 berjudul Lilting. Saya tidak sabar mahu terbabit dalam projek seterusnya itu.

“Terima kasih buat mereka yang tidak putus memberi tunjuk ajar dan percaya dengan kemampuan saya. Kamu tahu siapa kamu,” katanya dalam kenyataan di laman Instagram.

lagi watak utama filem hollywood untuk anak malaysia henry golding 2

Kredit foto: Instagram Henry Golding

Sebelum ini, pelakon kacukan Iban-Inggeris itu terlebih dahulu menerajui filem adaptasi novel Crazy Rich Asians arahan Jon M Chu yang bakal ditayangkan pada 17 Ogos ini.

Selain itu, beliau juga membintangi filem A Simple Favor arahan Paul Feig, lakonan bersama aktres popular Blake Lively dan Anna Kendrick.

Ia dijadualkan menemui penonton pada 14 September ini.

Nama Henry mula dikenali sebagai hos menerusi rancangan 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum melebarkan sayap ke Hollywood.

Untuk info, Hong Khaou adalah sutradara filem dari Britain kelahiran Phnom Penh, Kampuchea.




Hakcipta iluminasi.com (2017)