Penjahat dalam filem terbaru Fast and Furious 8 adalah seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang keganasan siber atau cyber-terrorism, seseorang yang boleh menimbulkan huru-hara hanya dengan menggunakan butang, teknologi kereta yang memandu tanpa pemandu dan kapal selam yang mampu berfikir.
Walau apa pun indikasi bagaimana siri Fast and Furious berubah daripada permulannya yang sederhana, kisah bagaimana semuanya bermula adalah jarang diceritakan. Semuanya bermula dengan satu artikel dalam sebuah majalah yang disiarkan pada tahun 1998.
BESARKAN TEKS A- A+
Racer X, tajuk artikel yang diterbitkan pada bulan Mei tahun 1998 dalam majalan berjudul Vibe, adalah hasil tangan seorang jurnalis bernama Kenneth Li yang secara kebetulan, terlibat dengan perlumbaan haram jalanan. Li sebenarnya mahu memaparkan artikel tersebut kerana kebetulan ada kisah serupa dengan sebuah kisah bagaimana sekumpulan pemuda Afrika-Amerika yang menggunakan fasiliti bangunan di serata tempat untuk dijadikan tempat meluncur.
Ketika menyiasat sebuah sindiket curi kereta, Li diterima masuk sedikit demi sedikit untuk menyertai sekumpulan anak muda yang setiap hujung minggu, menutup lebuh raya secara haram dan melarikan diri daripada polis. Berasal daripada sekumpulan anak muda Asia-Amerika pada awal tahun 90-an di California, gerakan mereka bercambah sehingga melibatkan bangsa-bangsa lain seperti anak muda dari Dominica, Puerto Rico, Itali dan Jamaica yang tinggal di kawasan itu.
Mereka bukannya berlumba dalam kereta-kereta biasa seperti Chevrolet atau Mustang tetapi mereka berlumba dalam kereta yang sudah diubah suai dengan pengecas turbo dan dilakukan pemasangan gas untuk pecutan nitrous oxide yang digunakan untuk memberi kuasa kepada kapal terbang ketika era zaman perang dunia kedua. Lelaki yang menjadi watak penting dalam artikel Li adalah seorang lelaki bernama Rafael Estevez, lelaki berusia 30 tahun berbangsa Dominica yang jatuh cinta dengan siri "The Dukes of Hazzard." (Kenneth Li dan Rafael Estevez dalam gambar di atas)
"Dukes melakukan banyak aksi ngeri, melayang di udara dan sentiasa dikejar polis," kata Rafael kepada Li. "Yang menarik, mereka tak pernah ditangkap."
Artikel Racer X mendapat reaksi positif kerana menggambarkan apa yang berlaku tanpa disedari orang ramai dan oleh ada pihak dari Hollywood datang bertemunya, berminat hendak menukarkan artikel Li kepada filem.
"Saya ingatkan ada orang nak buat lawak, saya telefon semula, mereka mahu tahu kisah lebih lanjut, saya hubungi seorang ejen - kemudiannya, apa yang saya tahu, kisah saya itu dilelong kepada pembeli," kata Li kepada International Business Times. "Saya dibayar enam angka untuk kisah saya. Bila diberitahu orang lain, ramai yang mengutuk saya kerana bunyinya macam lawak tapi dengan duit itu saya beli kereta dan beberapa barang lain. Cukuplah untuk seorang anak muda."
Salah seorang yang tertarik dengan kisah Li adalah pengarah Hollywood, Rob Cohen yang suka idea tersebut dan mahu menjadikannya filem. Beliau meminta bantuan produser terkenal pada masa itu, Neal H.Moritz yang mempunyai rekod cemerlang selepas berjaya dengan filem "I Know What You Did Last Summer" dan "Cruel Intentions." Mereka melantik Gary Scott Thompson untuk menulis skrip.
Skrip asal Thompson yang berjudul Racer X dan kemudiannya Redline, agak tenggelam jika dibandingkan dengan produk akhir. Hanya ada sedikit dialog, pelakon yang tidak terkenal dan adegan akhir di mana pelbagai watak melakukan aksi tembak menembak dalam sebuah gudang.
"Mereka semua anti hero," kata Tohompson. "Saya ke Universal Studios dan beritahu, saya mahu buat Romeo and Juliet dengan kereta. Saya beritahu mereka kisah bagaimana kumpulan ini bertembung dengan kumpulan lain, bagaimana Brian dan Mia bertemu dan terlibat dalam perang perlumbaan antara kumpulan."
Universal suka idea tersebut tetapi terpaksa menghentikan projek selepas tragedi pembunuhan di Skolah Tinggi Columbine yang mengorbankan 12 orang pelajar dan seorang guru. Redline yang mengandungi watak utama seorang penjenayah dan kisah ganas, terpaksa ditangguhkan atas sentimen masyarakat.
Bukan sekadar masalah keganasan saja menjadi isu, Universal juga menimbulkan isu yang kurangnya pelakon kulit putih dalam filem tersebut. "Saya fikir idea mereka tidak kena, kerana filem tersebut tentang Los Angeles, berapa orang berkulit putih tinggal di Los Angeles jika kita bercakap mengenai bukan barat Los Angeles?" Akhirnya, Cohen mendapat idea bagaimana hendak meneruskan projek tersebut. Dia merekacipta semula filem Point Break lakonan Patrick Swayze dan Keanu Reeves dengan mengambil elemen polis menyamar menjadi anggota kumpulan kongsi gelap. Oleh itulah dalam filem pertama Fast and The Furious, watak Brian adalah seorang polis samaran.
"Apa yang menghairankan saya adalah kisah yang dipaparkan dalam filem adalah kisah yang saya harap dapat tonjolkan dalam artikel asal saya," kata Li. "Saya sebenarnya sedang cuba menyiasat berkenaan sindiket curi kereta kemudian terserempak dengan kumpulan pelumba itu. Mereka pula ambil cerita saya yang tidak ada kaitan dengan kecurian kereta, lalu dijadikan sebuah filem."
Kisah seperti inilah yang menarik minat Paul Walker yang pernah bekerjasama dengan Rob Cohen dalam filem The Skulls serta berazam mahu mencuba watak seorang pelumba dan polis dalam satu masa. Gementar kerana takut tidak mampu membawa filem tersebut seorangan, Paul meminta satu watak yang akan menyeimbangkan watak dia; lalu watak untuk Vin Diesel bernama Dominic Toretto diwujudkan. Michelle Rodriguez dan Jordana Brewster, dua wanita yang menjadi nadi filem The Fast and The Furious memulakan penggambaran filem tanpa memiliki lesen memandu. Watak untuk Rodriguez diolah semula kerana Rob Cohen gemar lakonan Rodriguez dalam filem Girlfight.
"Apa yang kami cuba lakukan dengan The Fast and The Furious adalah mengambil tema filem western dan menerapkannya dalam unsur urban," kata Cohen. "Kami cuba memperkembangkan tema kesetiaan, pembelotan dan kebebasan. Cuma tiada kuda, kami pakai kereta."
Penggambaran mula berlangsung pada musim luruh tahun 2000 dengan bajet sebanyak USD38 juta. Rob Cohen juga terpaksa membeli lesen untuk menggunakan nama "The Fast and The Furious" dari sebuah filem lain untuk menggantikan nama asal filem iaitu Redline. Universal menjangkakan filem tersebut tidak akan meletup tetapi jangkaan mereka meleset apabila filem pertama itu mengutip lebih USD200 juta sepanjang tempoh tayangan.
Kenneth Li dan Rafael Estevez adalah peminat siri filem itu. Estevez yang kini memiliki sebuah bengkel di Queens, New York dilaporkan mendapat sedikit imbuhan hasil dari siri tersebut, bukan lagi seorang pelumba.
"Sekarang ini, isteri saya memandu lebih pantas dari saya," kata beliau. "Dia marah kalau saya memandu kerana perlahan sangat. Isteri saya suruh saya cepat sikit memandu."Artikel ini adalah artikel terjemahan dari Telegraph UK