Kredit foto: nme.com

Para peminat tegar pelakon Dwayne Johnson di Malaysia teruja menyambut sapaan aktor popular itu menerusi sebuah video yang dikongsikannya di laman Facebook.

Apa yang menarik perhatian, Johnson yang lebih dikenali dengan nama 'The Rock' bertanya khabar kepada para peminatnya di Malaysia yang dianggap begitu istimewa, dengan bertutur dalam bahasa Melayu.

“Apa khabar Malaysia?” ucapnya dalam video yang menjadi tular itu.

Di kesempatan sama, beliau memaklumkan filem terbaharunya berjudul Rampage bakal menjengah pawagam negara bermula hari Khamis ini (semalam).

netizen teruja the rock cakap bahasa melayu umum filem terbaru bakal keluar 2

Kredit foto: bellanaija.com

Menerusi reaksi balas netizen di ruangan komen, rata-ratanya melahirkan rasa teruja menyaksikan gelagat bintang pujaan ramai ini bercakap dalam bahasa ibunda.

Malah ramai yang sudah tidak sabar menantikan 'buah tangan' terbaharu aktor berusia 46 tahun itu.

Tidak terkecuali, The Rock merakamkan penghargaan atas sokongan baik yang diterima daripada para peminat Malaysia untuk filem-filem terdahulunya yang menduduki carta Box Office di negara ini, seperti Jumanji, Furious 7 dan The Fate of the Furious.

Dalam kiriman terdahulu, beliau mengumumkan Rampage akan memasuki pawagam seminggu lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan.

Dalam nada sinis, katanya, keputusan itu dibuat tidak mempunyai kaitan dengan filem adiwira Avengers: Infnity Wars yang turut dikeluarkan pada 25 April ini.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama The Rock mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, kerana pernah memuat naik sebuah video khusus untuk peminatnya di sini atas sambutan luar biasa yang diterima untuk filem Jumanji: Welcome to the Jungle.

"Malaysia, anda mempunyai tempat istimewa di hati saya, sejak saya memulakan kerjaya dalam dunia gusti lagi. Antara kenangan manis yang dikenang saya hingga hari ini adalah bertarung dengan lawan di Kuala Lumpur.

"Saya amat berterima kasih dan teruskan menonton Jumanji," katanya dalam rakaman video itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)