Bagi peminat filem Hollywood, anda mesti sudah terbiasa dengan loghat dan cara sebutan orang Amerika. Jika seseorang bercakap dalam Bahasa Inggeris yang sedikit lain telornya, anda sudah boleh agak yang dia ini mungkin berasal daripada Britain, Afrika Selatan ataupun Australia.

Tetapi tahukah anda bahawa ada satu lagi loghat Bahasa Inggeris yang telah dilupakan oleh dunia pada hari ini?

Sekiranya anda pernah menonton filem hitam-putih Hollywood pada tahun 1930an atau 1940an, anda akan terperasan yang cara sebutan dan gaya bahasa pelakon-pelakon yang sedikit berbeza daripada filem hari ini. Bunyinya seakan-akan British, tetapi ada juga sebutan Amerika. Loghat apakah itu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Loghat yang digunakan oleh pelakon di dalam video tersebut dikenali sebagai Mid-Atlantic ataupun Transatlantic dan ia memang tidak digunakan lagi oleh masyarakat moden hari ini.

Yang menariknya mengenai loghat ini ialah ia bukannya seperti loghat utara yang berkembang seiring dengan waktu dan demografik, sebaliknya ia boleh diumpamakan seperti bahasa baku yang kita belajar di sekolah.

Mid-Atlantic bukannya telor orang yang tinggal di New York ( Kawasan Mid-Atlantic dalam peta Amerika Syarikat), sebaliknya ia merupakan loghat yang tidak dikaitkan dengan kawasan.

Loghat ini pada asalnya merupakan standard bahasa yang diajar di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat dan juga merupakan standard sebutan bagi perkataan British. Pada ketika itu, loghat ini kebiasaannya diajar di sekolah-sekolah berasrama penuh yang elit di Amerika. Jadi, hanya golongan kelas atasan di Amerika bertutur seperti golongan aristokrat dan Permaisuri England.

Ia ini juga menjadi gaya pertuturan orang yang terlibat dalam sesetengah industri seperti teater dan perfileman.

pelakon filem hollywood zaman dulu

Disebabkan keunikan loghat ini yang merupakan gabungan Bahasa Inggeris Amerika dan British, ia menjadi pilihan utama syarikat perfileman Hollywood pada era tersebut. Selain itu, sebutannya yang lebih jelas lebih mudah difahami dan menarik perhatian pendengar turut menjadi pilihan syarikat radio. Teknologi pada masa itu juga memerlukan penyampai radio atau sesiapa yang mengguna mikrofon untuk menyebut setiap perkataan dengan terang dan jelas.

Selain golongan bangsawan, orang yang bercakap dengan loghat ini juga terdiri daripada golongan penyampai radio, pelakon filem, dan ahli politik pada zaman itu.

ahli politik cakap loghat mid atlantik

Namun, loghat Mid-Atlantic telah tidak lagi digunakan selepas perang dunia kedua sebab kekurangan guru yang mengajar loghat itu. Hari ini memang boleh dikatakan tiada lagi orang yang boleh benar-benar bertutur dalam loghat Mid-Atlantic.

Pengaruh loghat ini juga sering digunakan di dalam filem dan radio pada filem-filem hitam-putih tempatan. Cuba anda tonton cerita Sarjan Hassan dan dengar cara penyampaian di radio ketika Jepun serang Malaya. Anda akan terperasan yang cara sebutannya dan cara penyampaiannya yang seakan-akan Mid-Atlantik.

Sumber:

  1. Brainstuffhow (Podcast)
  2. Wikipedia
  3. Loghat (Dewan Bahasa dan Pustaka) (Kamus Online)



Hakcipta iluminasi.com (2017)