Oleh pada 20 Mar 2018 kategori

Anda boleh menguasai berapa banyak bahasa? Tahukah anda, terdapat lebih daripada 7,000 bahasa dalam dunia? Dalam kesemua bahasa ini, UNESCO telah membuat jangkaan bahawa lebih daripada separuh bahasa akan tenggelam dek zaman sebelum berakhirnya abad ini. Kemungkinan besar bahasa-bahasa berikut akan pupus dan dilupakan jika tidak diwarisi oleh sesiapa:

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Resígaro

Pada tahun 2016, Rosa Andrade Ocagane merupakan wanita terakhir yang boleh bertutur dalam bahasa Amazon ini sebelum dia dibunuh di Peru ketika berusia 67 tahun. Rosa dan adik lelakinya, Pablo - yang kini penutur terakhir bahasa Resígaro - merupakan anak pasangan kaum Resígaro di sebelah ibu dan Ocaina di sebelah bapa. Mereka berdua memilih untuk bertutur dalam bahasa ibunda ibu mereka sebagai penghormatan terakhir. Selain itu, mereka juga adalah antara 40 penutur terakhir bahasa Ocaina.

2. Chulym 

Laporan banci Rusia pada tahun 2010 menunjukkan hanya tinggal 44 orang sahaja penutur bahasa kaum Turkic ini. Penduduk kampung di Siberia ini menggelarkan diri dan bahasa mereka sebagai Ös. Pada tahun 1959, mereka digugurkan daripada mendapat pengiktirafan kerajaan sebagai sebuah kumpulan etnik namun mendapat kembali status berkenaan pada tahun 1999.

3. Mudburra

Bahasa asli Wilayah Utara Australia ini sebenarnya mungkin berkembang atau semakin didokumenkan dengan baik. Pada tahun 2006, laporan banci menganggarkan hanya terdapat 47 penutur sahaja yang tinggal. Namun laporan pada tahun 2016 pula menunjukkan peningkatan kepada 92 orang penutur bahasa Mudburra di rumah.

10 bahasa hampir pupus di dunia 2

4. Patwin

Pada tahun 2011, mungkin hanya tinggal seorang saja penutur asli bahasa Patwin yang digunakan oleh penduduk asal Amerika di California. Ramai yang telah mencuba untuk menghidupkan semula bahasa terancam ini dengan mengadakan kelas bahasa Patwin bagi kanak-kanak prasekolah hingga ke sekolah menengah. Ada beberapa rakaman pengajaran bahasa tersebut yang boleh didapati di iTunes.

5. Ainu

Orang Ainu merupakan penduduk asli pulau Hokkaido di Jepun namun sebahagian besar daripada mereka telah terasimilasi dalam budaya masyarakat Jepun hasil daripada pengharaman bahasa dan budaya Ainu pada penghujung abad ke-19.

Tahun 1980-an merupakan tahun kebangkitan semula etnik Ainu. Akan tetapi, yang tinggal hanyalah dua hingga ke lima belas orang sahaja penutur bahasa ini dan kesemua mereka berusia lebih daripada 64 tahun.

10 bahasa hampir pupus di dunia 4

6. Chamicuro

Tidak dapat dipastikan sama ada puak Chamicuro dari Peru ini telah memberi laluan kepada bahasa Sepanyol sepenuhnya atau tidak. Pada tahun 2004, dilaporkan hanya tinggal dua orang penutur sahaja bagi bahasa ini namun empat tahun kemudian, penyelidik mendapati ada lapan lagi penutur yang masih hidup.

7. Vod

Bahasa yang juga dikenali sebagai Votic, Vote, Votian dan Votish ini merupakan satu bahasa yang digunakan oleh orang Votic yang dihantar pulang dari Kesatuan Soviet ke Finland pada tahun 1943. Mereka yang masih berpegang kepada bahasa ini tinggal di sempadan Rusia dan Estonia. Pada tahun 2010, terdapat 68 penutur bahasa Vod yang asli namun jumlah ini berkurang kepada lapan sahaja pada tahun 2017.

10 bahasa hampir pupus di dunia 3

8. Chemehuevi

Sebelum orang Eropah datang ke Amerika, terdapat lebih kurang 500 ke 800 orang asal Amerika yang berbicara dalam bahasa Chemehuevi yang berasal dari Gurun Mojave. Kini, di seluruh Amerika, hanya tinggal kurang daripada dua dozen penutur fasih bahasa ini dan tiga ke lima orang daripadanya berada di Tanah Rizab Orang Asli Sungai Colorado.

9. Machaj Juyay

Kallawaya merupakan sekumpulan bomoh lelaki yang tinggal di perkampungan Bolivia. Mereka bertutur dalam bahasa rahsia Machaj Jujay yang kebiasaannya diturunkan daripada ayah kepada anak lelaki. Disebabkan bahasa ini tidak digunakan secara meluas, sukar dipastikan berapa ramai penutur yang tinggal walaupun anggaran oleh pakar penyelidik adalah kurang daripada 200 orang sahaja.

10. Jedek

Pakar bahasa tidak tahu pun kewujudan bahasa yang berasal dari Malaysia ini sehinggalah penyelidik dari Sweden mendapat tahu yang beberapa penduduk tempatan di sebuah perkampungan Kelantan menggunakan tatabahasa, perbendaharaan dan bunyi seakan-akan sama dengan bahasa Jahai yang sedang mereka kaji. Mereka menganggarkan kampung tersebut mempunyai sekitar 280 orang sahaja.

10 bahasa hampir pupus di dunia

Hari ini, kita sendiri boleh melihat betapa 'rosaknya' Bahasa Malaysia apabila segelintir masyarakat yang terlalu taksub berbahasa Inggeris mencampuradukkan bahasa kebangsaan kita, ditambah pula dengan gaya sebutan ala Mat Saleh yang menjengkelkan. Itu belum kita menyentuh aspek ejaan yang biasa digunakan oleh "dak dak wicet."

Jangan berasa hairan jika Bahasa Malaysia juga bakal termasuk dalam senarai ini suatu hari nanti. Marilah kita sama-sama berhenti mengagung-agungkan bahasa barat. Sebaliknya, angkatlah budaya dan identiti sendiri sebelum ia akhirnya pupus ditelan zaman.




Hakcipta iluminasi.com (2017)