taiwan sambut kelulusan parlimen

Dalam era moden, kemajuan dan pembangunan masyarakat mempunyai takrifan yang sangat berbeza dengan apa yang difahami masyarakat tidak lama dahulu.

Bayangkan, majoriti pegangan dan ideologi masyarakat yang diamalkan oleh orang ramai khasnya di kawasan Asia 50 tahun sedikit sebanyak telah berjaya diubah dan digantikan dengan kepercayaan baru. Isu LGBT menjadi salah satu senjata paling berjaya, mengubah pandangan masyarakat di negara Eropah barat, Amerika utara dan selatan untuk menerima keterbukaan jantina, menghapuskan sempadan yang telah wujud sekian lama.

Isu yang diperjuangkan sekian lama akhirnya berjaya juga menyusup masuk ke benua Asia, dengan pengumuman kerajaan Taiwan untuk membenarkan perkahwinan sesama jantina direkodkan secara rasmi bermula pada 17 Mei 2019. Persoalannya, bagaimana Taiwan sampai ke tahap ini sehingga menjadikan Taiwan negara Asia pertama mengiktiraf isu ini secara terbuka?

Sejarah awal pergerakan LGBT di Taiwan

hubungan sejenis taiwan

Sejarah bagaimana Taiwan mula menerima gerakan LGBT secara terbuka boleh dikatakan bermula sejak penghujung abad ke 19, namun gerakan itu benar-benar bermula secara lebih pesat sekitar penghujung abad ke 20. Sebuah novel bertajuk 'Niezi' atau 'Sons of Sins' yang terbit pada tahun 1983 , menceritakan tentang seorang pemuda bernama Li-Qing yang menjalinkan hubungan dengan rakan sekelasnya bernama Zhao Ying.

Ekoran tertangkap, Li-Qing dihalau keluar oleh ayahnya memaksa dia mencari tempat tinggal dan perlindungan bersama komuniti gay, menyebabkan dia terjerumus ke dalam hidup tidak bermoral itu. Novel itu kemudiannya diadaptasikan ke dalam bentuk filem pada tahun 1986 membuka ruang diskusi dan memperkenalkan corak hidup gay, kepada masyarakat Taiwan dengan lebih meluas.

Perkahwinan pertama sama jantina tidak rasmi di Taiwan dilakukan oleh seorang penulis Taiwan, bernama Shy Yu Shen dengan 'pasangannya' seorang warga Uruguay bernama Gray Garriman dilangsungkan pada tahun 1996. Shu dalam ucapannya mengakui dirinya mewakili semua individu songsang di Taiwan, menyuarakan harapannya agar kerajaan Taiwan membuka ruang bagi membolehkan perkahwinan sama jenis diiktiraf.

Komuniti masyarakat Taiwan juga dilihat tidak memberikan sebarang reaksi negatif terhadap perkahwinan tersebut, kerana sudah wujud bentuk-bentuk penerimaan terhadap perkahwinan sama jantina pada peringkat masyarakat, politik dan budaya Taiwan. Kelompok gay bebas menjalinkan hubungan secara terbuka di tempat awam, dengan kewujudan bar untuk golongan gay dibenarkan berleluasa.

Kerjasama kerajaan Taiwan menggalakkan LGBT berkembang

siti televisyen crystal boys

Budaya penerimaan terhadap aktiviti LGBT di Taiwan seterusnya mula meliputi aspek politik sendiri, dengan kerajaan Taiwan sendiri secara terbuka mula memperkenalkan banyak langkah bagi mengembangkan budaya tersebut di negara mereka.

Presiden Taiwan, Chen Shui-Bian pada tahun 2002 menjemput kumpulan aktivis gay bagi membincangkan tuntutan yang dimahukan mereka. Bagi menggalakkan lagi penerimaan, kerajaan Taiwan sendiri melalui biro penerangan kerajaan mereka mengeluarkan dana bagi mengadaptasikan novel 'Crystal Boys' ke dalam bentuk siri televisyen, bagi tayangan dalam saluran kerajaan pada tahun 2003.

Usaha untuk meluluskan perkahwinan sejenis di Taiwan buat kali pertama gagal, selepas parlimen Taiwan menolak usul tersebut yang dilakukan pada tahun 2005. Beberapa peristiwa kecil seperti perkahwinan lesbian pertama berlaku sebelum kerajaan Taiwan melakukan pungutan suara pada tahun 2013, meminta pandangan orang ramai berkenaan isu perkahwinan sejenis.

Hanya pada tahun 2016, selepas lebih berpuluh tahun berdiam diri - golongan penganut ajaran Katolik melakukan bantahan kerana merasakan gerakan untuk menormalisasikan LGBT sudah melampaui batas. Bantahan yang dilakukan pada 29 November 2016 dianjurkan sebagai tindak balas kepada satu perkhimpunan LGBT pada bulan Oktober 2016 yang disertai 80,000 penyokong LGBT.

Tunjuk perasaan itu bagaimanapun dilihat tidak memberikan sebarang kesan ke atas kerajaan Taiwan yang dilihat terus menyokong sepenuhnya usaha gerakan LGBT di negara tersebut.

'Kemenangan' 24 Mei 2017

taiwan sambut keputusan mahkamah

Tarikh 24 Mei 2017 menjadi hari terpenting dalam sejarah gerakan LGBT di Taiwan, selepas mahkamah Taiwan mengisytiharkan undang-undang negara tersebut tidak sepatutnya menghalang pasangan sama jenis daripada mendaftarkan perkahwinan mereka. Hujahnya, sekiranya mana-mana perkahwinan yang diadakan tidak dibenarkan untuk didaftar - ini sebenarnya melanggar perlembagaan negara tersebut yang mengamalkan dasar sama rata pada semua penduduknya.

Pengisytiharan itu dilihat sebagai pembuka jalan kepada perjuangan golongan LGBT selama ini yang mahu kerajaan Taiwan mengiktiraf perkahwinan mereka. Dengan pengumuman itu, sebarang bentuk perkahwinan di Taiwan tidak lagi wajib dilihat sebagai penyatuan antara lelaki dan wanita, tetapi perlu dilihat terbuka tanpa mengambil kira jantina.

Atas keputusan mahkamah itu, parlimen Taiwan diberi tempoh dua tahun untuk meminda undang-undang negara mereka bagi membolehkan perkahwinan sama jantina didaftarkan.

Pada 17 Mei 2019, kerajaan Taiwan meluluskan sepenuhnya perkahwinan sejenis di negara mereka melalui proses undian. Dalam ucapannya; Presiden Taiwan Tsai Ing-Wen menyebut bahawa "cinta sudah menang dan Taiwan mengambil langkah berani dalam menuju kesamarataan. Langkah ini juga bakal menjadikan Taiwan negara yang lebih baik."

Tarikh 24 Mei 2019 bakal menjadi tarikh akhir bagi kerajaan Taiwan memuktamadkan segala aspek yang perlu diubah, dengan pelbagai pindaan ke atas sistem cukai, pendaftaran perkahwinan, isnurans dan juga hak penjagaan anak yang baru perlu diperkenalkan. Bermula pada 25 Mei 2019, semua pasangan di Taiwan tak kiralah pasangan heteroseksual atau homoseksual akan mempunyai hak yang sama dalam setiap aspek.

Negara Asia Tenggara mana bakal mengikut jejak langkah Taiwan?

perkahwinan sejenis di thailand

Diramalkan langkah serupa bakal dilaksanakan di beberapa buah negara di Asia Tenggara, dengan Thailand bakal menjadi negara kedua memperkenalkan dasar serupa sekiranya semua berjalan lancar. Vietnam misalnya sudahpun membuang perbuatan LGBT sebagai satu bentuk jenayah pada tahun 2015 dan membenarkan penukaran jantina pada pendaftaran, sekiranya pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan.

Myanmar berjaya menganjurkan perhimpunan LGBT pertama mereka pada bulan Januari tahun 2019 yang disertai lebih 6,000 pengunjung, mengikut jejak langkah negara Kemboja yang membenarkan penganjurannya yang sudah bertahun-tahun diadakan.

Tinggal hanya beberapa negara saja di Asia Tenggara yang masih degil untuk melakukan perubahan dan mengiktiraf LGBT secara rasmi iaitu negara kita, Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

Walaupun begitu, Singapura tetap membenarkan penganjuran perarakan PRIDE LGBT yang kini sudah masuk tahun ke 10 penganjurannya. Setakat ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong masih lagi tidak berganjak daripada keputusannya untuk menolak sebarang bentuk pemikiran liberal seperti LGBT daripada diiktiraf secara rasmi.

gerakan pro lgbt malaysia

Kita pula? Entahlah. Walaupun kerajaan kita sudah berulang kali mengisytiharkan mustahil untuk Malaysia mengikut jejak langkah Taiwan, gerakan yang mahu mengubah pandangan itu nampak semakin aktif kebelakangan ini - dibantu oleh individu-individu berpengaruh dalam masyarakat.

Sekiranya Taiwan yang liberal pun memerlukan berpuluh tahun untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis, kami harapkan masyarakat Malaysia dapat terus bertahan dan tidak membenarkan gejala songsang ini diterima secara rasmi, di negara kita walau berapa lama pun masa diperlukan kita.



Hakcipta iluminasi.com (2017)