Oleh pada 25 Dec 2021 kategori

Alam pekerjaan mungkin bukanlah sesuatu yang menyeronokkan tetapi ramai yang terpaksa bekerja demi kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun, tekanan di tempat kerja perlulah ditangani dengan baik agar kesihatan mental dan fizikal terjaga.

Namun, ada segelintir orang memilih cara yang salah untuk melepaskan tekanan yang dihadapi di tempat kerja. Ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah tetapi menimbulkan masalah yang lebih besar pula.

Kisah berikut adalah salah satu contoh di mana pekerja melepaskan marahnya terhadap majikan dengan cara yang salah.

Tidak tahan dengan tekanan

Baru-baru ini, sebuah gudang yang menyimpan beribu-ribu gelen minyak di wilayah Nakhon Pathom berhampiran Bangkok, Thailand, tiba-tiba terbakar sehingga berlakunya satu letupan besar.

letupan gudang minyak thailand

Apabila disiasat, ia berpunca daripada pembakaran sengaja yang dilakukan oleh seorang pekerja senior yang menyimpan dendam terhadap majikannya.

Menurut petikan akhbar, suspek yang berusia 38 tahun itu dikenali sebagai Ann Sriya. Dia yang merupakan seorang pengurus telah bekerja di gudang Prapakorn Oil selama sembilan tahun sebelum mengambil keputusan drastik itu.

Sriya dikatakan tertekan dengan keadaan di tempat kerjanya dan majikannya yang sering merungut serta memberikannya tekanan yang berlebihan.

Pekerja itu telah mengambil sekeping kertas sebelum dinyalakan menggunakan pemetik api. Sriya kemudian melemparkan kertas yang dibakar itu ke dalam salah sebuah tempat penyimpan minyak.

Kemusnahan besar

Kebakaran dan letupan itu telah mengakibatkan kerosakan berjumlah kira-kira RM 5 juta. Sebanyak 40 jentera bomba diperlukan untuk mengawal kebakaran itu. Malah, lebih daripada 10 buah rumah berhampiran turut musnah sehingga menyebabkan seorang orang awam dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.

ann sriya cctv

Rakaman suspek menyerupai Ann Sriya

Para penyiasat bernasib baik kerana rakaman kamera litar tertutup tidak musnah akibat kebakaran itu. Malah, ia turut merakamkan bukti dalang yang melakukan pembakaran itu.

Dalam rakaman itu, seorang pekerja menyerupai Ann Sriya dilihat memasuki gudang itu sambil memegang sesuatu (seperti kertas putih) di tangannya. Pekerja itu kemudian berjalan di belakang tempat simpanan minyak sebelum menghilangkan diri.

Tidak lama kemudian, kamera litar tertutup merakamkan api yang mula marak dari dua lokasi berasingan di belakang tempat penyimpanan minyak. Suspek kemudian muncul semula dengan sehelai kertas masih di tangan sebelum hilang dari pandangan.

Ia tidak mengambil masa yang lama sebelum berlakunya letupan yang menggegarkan kawasan sekitar itu sehingga menyebabkan kawasan kejiranan itu diselubungi asap tebal.

Pelbagai pasukan keselamatan dikerahkan

Kejadian itu turut dirakam oleh penjalan kaki dan penduduk berhampiran. Video kebakaran gudang minyak itu mula tular di pelbagai platform media sosial.

gudang minyak ann sriya

Turut kelihatan dalam video yang tular itu adalah ketibaan pelbagai pasukan keselamatan seperti bomba dan ambulan untuk menangani situasi berbahaya itu.

Pihak bomba mengambil masa lebih daripada empat jam untuk mengawal kebakaran di gudang minyak itu dan rumah berhampiran. Seorang penduduk berhampiran bernama Sirasini mengalami kesan kebakaran di tangannya dan telah dimasukkan ke hospital.

Unit operasi perlindungan alam sekitar juga turut dikerahkan ke tempat kejadian. Tumpuan utama merek adalah untuk memantau kualiti air dan menghalang minyak daripada tumpah ke dalam terusan Khlong Om Yai yang mengalir bersebelahan gudang minyak itu.

Tertangkapnya dalang kebakaran

Polis Diraja Thailand mula membuka siasatan sebaik sahaja kebakaran itu berjaya ditangani. Mereka hanya mengambil masa dua hari untuk menangkap dalang yang terlibat dalam kebakaran gudang minyak itu.

ann sriya ditangkap

Ann Sriya ketika dalam tahanan polis

Suspek iaitu Ann Sriya telah ditangkap di rumahnya di daerah Sam Phran. Ketika disoal siasat pihak berkuasa, Sriya mengaku bahawa dia yang melakukan pembakaran itu.

Menurut Mejar Jeneral Chomchawin Purthananon, Ann Sriya mendakwa bahawa dia tertekan kerana sering dimarahi majikannya hampir setiap hari. Sriya turut mendakwa bahawa dia tidak menyangka bahawa perbuatannya itu akan menyebabkan tahap kerosakan yang begitu teruk.

Sriya mendakwa majikannya bernama Pipat Ungprapakorn kerap merendah-rendahkannya kerana dia tidak pernah melawan. Majikan yang berusia 65 tahun itu masih belum memberikan sebarang komen mengenai perkara ini.

Bukan kali pertama

Malah, pihak berkuasa mendakwa bahawa kejadian kebakaran ini bukanlah kali pertama. Beberapa bulan yang lalu, terdapat kebakaran misteri berlaku di gudang ini tetapi berjaya dikawal.

Sriya mendakwa bosnya Pipat Ungprapakorn kerap menegurnya kerana menjadi pekerja yang rendah diri. Lelaki berusia 65 tahun itu masih belum mengulas mengenai perkara itu.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa ini bukan satu-satunya insiden yang secara misteri menimpa gudang minyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

*Jika anda tertekan dengan majikan sekalipun, masih banyak kaedah lain untuk menyelesaikannya. Jangan sampai hilang pertimbangan kerana kesannya lebih besar daripada apa yang disangka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)