Empat orang pekerja buruh binaan berkumpul menikmati makan tengahari semasa waktu rehat mereka. Majoriti yang bekerja di Stadium Al-Rayyan, sebuah stadium moden dengan kapasiti 40,000 penonton datang dari negara Ghana.

Peluang jawatan kosong untuk bekerja di salah sebuah negara terkaya di dunia yang disiarkan dalam radio di tanahair mereka, disahut lebih 300 orang pekerja. Empat orang yang sedang makan ini, kesemuanya datang melalui ejen yang dilantik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Janji ejen Qatar adalah negara terkaya di dunia dan mereka berpeluang mendapat imbuhan gaji lumayan, kumpulan itu memberanikan diri hadir ke Qatar.

Walau demikian, realiti sebenar yang mereka temui amat berbeza dengan janji manis sebelum itu.

Fantasi lawan realiti

piala dunia qatar 2022

Kerajaan Qatar mengumumkan pembukaan kemasukan pekerja dari India, Nepal, Bangladesh serta beberapa negara Afrika seperti Ghana, dalam usaha menyiapkan stadium-stadium yang diperlukan di seluruh negara tersebut.

Menjanjikan kebajikan pekerja akan dibela, pelbagai insentif disebut akan disediakan selain daripada pendapatan lumayan. Standard keselamatan yang lebih tinggi akan digunakan. Semua pekerja akan diberikan latihan secukupnya. Waktu rehat akan diberikan bila cuaca panas melampau. Sistem bekalan air yang mengandungi elektrolit akan disediakan untuk menghilangkan haus pekerja.

Papan-papan tanda keselamatan yang disediakan juga disedia menggunakan tiga bahasa - Inggeris, Hindi dan Tamil bagi menjamin keterbukaan dan kemudahan pekerja.

Kemudahan tempat tinggal yang baik juga dikatakan akan disediakan. Berbeza dengan tempat tinggal yang selalu menjadi penempatan golongan buruh, kerajaan Qatar menyediakan kem yang mampu memuatkan sehingga 4500 pekerja dalam satu masa. Empat orang ditempatkan dalam satu bilik, dengan makanan disediakan setiap hari mengikut saranan pakar kesihatan.

bangunan asrama disediakan

Pusat perubatan tersedia bagi mereka yang memerlukan dengan fasiliti gimnasium serta padang bola senantiasa dibuka untuk kegunaan bersama. Mereka juga dibekalkan dengan kemudahan pusat komputer bagi membolehkan komunikasi bersama keluarga yang dirindui. Masalah membasuh baju? Perkhidmatan dobi disediakan.

Semua ala hotel, dakwa mereka. Temuramah dengan pekerja yang sudah hadir menceritakan kisah yang berbeza.

Pendapatan kecil menekan jiwa

seorang pekerja beraksi

Mengakui fasiliti yang disediakan kerajaan Qatar lebih baik berbanding fasiliti yang disediakan pihak lain di seluruh dunia bagi golongan buruh, fantasi memperolehi pendapatan tinggi seolah-olah terpaksa dilupakan mereka yang hadir ke Qatar.

Setiap hari mereka bekerja selama lapan jam sehari, enam hari seminggu. Pendapatan yang mereka perolehi pula hanyalah sekitar RM26.13 sehari - jauh berbeza dengan apa yang dijanjikan ejen sebelum mereka mengambil risiko merantau jauh ke negara kaya itu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tiada pilihan lain kerana tidak ada jalan keluar. Hanya selepas campur tangan beberapa pihak termasuklah Kesatuan Buruh Antarabangsa - beberapa perubahan dilakukan dalam melindungi kepentingan dan nasib buruh yang hadir ke Qatar.

asrama pekerja di qatar

Pada bulan September 2018, kerajaan Qatar mengumumkan pemansuhan syarat bagi pekerja asing memerlukan kebenaran majikan mereka, sebelum meninggalkan negara tersebut. Kerajaan Qatar juga sedang berusaha membayar semula pekerja-pekerja yang perlu menanggung yuran yang dikenakan ejen-ejen pencari kerja ke atas setiap pekerja.

Dianggarkan sebanyak RM465 juta akan diperuntukkan bagi memastikan 39,000 orang pekerja tidak lagi perlu menanggung yuran ejen untuk tempoh tiga tahun akan datang, yang dianggarkan secara purata sebanyak RM2550 seorang.

Sistem gaji minima juga diperkenalkan bagi memastikan setiap pekerja mendapat gaji yang setimpal dengan nilai gaji minima sementara sebanyak RM183 (160 riyal) seminggu atau RM862 (750 riyal) sebulan diperkenalkan.

Bagaimanapun, kes-kes pekerja dibayar dibawah kadar sepatutnya masih kerap kali kedengaran. Sekiranya dibandingkan dengan gaji purata rakyat Qatar yang berjumlah RM44,000 sebulan - amat jelas sekali berlaku ketidak seimbangan kelas yang ketara.

Orang atasan yang tidak faham situasi

pekerja berbaris ke tempat kerja

Masalah ketidak seimbangan pendapatan ini berterusan berlaku serta dihalalkan, kerana pemimpin kerajaan Qatar tidak menganggapnya satu masalah.

Perbandingan di antara pendapatan pekerja luar di Qatar dengan negara asal mereka sendiri menjadi hujah utama kenapa amalan ini dianggap layak diteruskan, beranggapan gaji yang diterima di Qatar sudah jauh lebih baik.

Selain itu kerajaan Qatar juga mahu mengawal aliran keluar matawang mereka. Ini selati dengan laporan pada tahun 2017 yang menyifatkan jumlah matawang luar yang kembali ke negara-negara asal pekerja buruh di seluruh dunia sangat besar jumlahnya.

Usaha kerajaan Qatar dipuji kerana tetap berusaha menyediakan fasiliti yang baik bagi golongan pekerja migran ini. Walau bagaimanapun realiti sebenar nasib pekerja yang hadir ke Qatar tetap berlainan dengan apa yang dipercayai kerajaan Qatar.

Ramai pekerja yang hadir membawa kisah ditipu ejen yang menawarkan pekerjaan dengan syarikat yang tidak wujud. Masalah tidak dibayar gaji masih berlaku sehinggakan ada yang terpaksa melakukan dua kerja di Qatar - buruh pada siang hari dan apa saja jenis pekerjaan rencam bagi memastikan mereka masih ada sumber pendapatan untuk belanja sendiri dan dihantar pulang.

Seorang pekerja Bangladesh menyesal tak sudah datang ke Qatar, kerana pendapatan sebenar yang dia terima di situ lebih rendah berbanding pendapatan seorang penarik beca di negara asalnya.

Semua susah payah dan penat jerih mereka ini dilakukan untuk memastikan pada tahun 2022, anda dapat menikmati kejohanan Piala Dunia. Jadi ingatlah apa yang mereka perlu lalui semasa anda meraikan jaringan kelak.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel "Qatar 2022: £40 a week to build the World Cup stadiums" yang diterbitkan pada 21 November 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)