scammer telefon

Pekan Chang Keng yang terletak di wilayah Anxi, China merupakan sebuah pekan kecil dan sunyi, terletak agak jauh di kawasan pedalaman - didiami oleh 60,000 orang penduduk di bahagikan kepada 26 buah kampung.

Aktiviti penanaman dan industri pembuatan teh menjadi tulang belakang ekonomi wilayah Anxi, berlangsung ribuan tahun lamanya sejak zaman Dinasti Tang pada tahun 618 hingga 907. Apa yang menarik dan agak memeranjatkan, penduduk di pekan kecil ini dilihat mampu memiliki rumah-rumah agam besar ibarat orang mewah. Beberapa unit rumah yang dibina mampu mencapai sehingga 7 tingkat tingginya siap dengan sistem lif dipasangkan.

Barisan kereta mewah berjenama Mercedes, Range Rover dan Porsche rata-rata dimiliki penduduk pekan tersebut. Sekiranya penduduk di situ hanya bergantung dengan hasil tanaman teh semata-mata, besar kemungkinan mereka tidak mungkin mampu memiliki koleksi hartanah serta kenderaan sedemikian.

Jadi persoalannya - bagaimana penduduk pekan kecil Chang Keng menjana pendapatan sehingga mampu hidup mewah sedemikian rupa?

Komuniti berprofesion penjenayah komersial

kampung scammer di china

Selama lebih 3 tahun unit jenayah komersial polis Singapura menjalankan siasatan berkenaan masalah sindiket penipuan telefon yang kerap kali menjadikan rakyat negara itu mangsa.

Pada tahun 2018 sahaja, kes-kes penipuan melibatkan rakyat Singapura yang terpedaya dengan panggilan penting 'pegawai penguatkuasa', mengakibatkan kerugian hampir RM40 juta keseluruhannya.

Taktik yang digunakan sindiket penipuan ini sangat licik serta meyakinkan. Malangnya pihak berkuasa Singapura gagal mengenalpasti dari mana datangnya panggilan-panggilan ini. Dalam masa yang sama, kadar jenayah penipuan melalui telefon pada tahun 2018 meningkat sebanyak 61 peratus, berbanding tahun 2017. 

Dengan menggunakan teknologi canggih dan moden, setiap panggilan yang dibuat disembunyikan daripada dikesan. Bagaimanapun, kebanyakan panggilan menunjukkan satu persamaan serupa - mangsa rata-ratanya menyalurkan duit ke akaun yang selepas disiasat, dimiliki warga China.

Penyiasatan yang dilakukan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi akhirnya berjaya menjawab persoalan yang selama ini membelenggu penyiasat. Wilayah Anxi rupa-rupanya bukan saja terkenal sebagai kawasan penanaman teh - daerah itu juga sebenarnya terkenal sebagai sarang sindiket penipuan melalui telefon beroperasi.

Apa yang menarik, mereka yang melibatkan diri sebagai pekerja sindiket adalah masyarakat yang menetap di Anxi; memilih untuk menjadikan skim penipuan sebagai punca pendapatan tetap mereka.

Masyarakat kaki kencing?

pekan chang keng anxi

Ada satu pepatah yang seringkali disebut melibatkan wilayah Anxi - "sekiranya ada 10 orang penduduk wilayah itu, 9 daripadanya adalah kaki tipu." 

Pendapat ini wujud kerana di wilayah itu dan kawasan-kawasan di dalamnya seperti pekan Chang Keng, sindiket penipuan sengaja memilih kawasan tersebut kerana lokasinya yang agak tersorok yang mempunyai penduduk berkategori susah dan memerlukan wang.

Seorang penduduk pekan Chang Keng mudah dipengaruhi idea untuk menjana pendapatan secara haram, tidak perlu membanting tulang menanam teh.

Salah seorang penduduk yang terlibat dengan sindiket penipuan mengaku dia tidak ada masalah untuk mendapatkan pendapatan sekitar RM10,500 sebulan hanya dengan komisyen yang dibayar sindiket atas setiap transaksi yang berjaya dipenuhi.

boiler room china

Usaha pihak polis China membanteras gejala buruk ini pada mulanya sering kali berdepan kegagalan, berikutan liciknya mereka menyembunyikan kegiatan.

Namun selepas salah seorang pekerja sindiket berjawatan tinggi berjaya diberkas polis China - barulah terbuka semua ceritanya. Sedikit demi sedikit polis China berjaya mendapatkan gambaran terbaik operasi sindiket ini bagi melumpuhkan operasi sindiket penipuan ini.

Kempen anti penipuan mula dijalankan menerusi penyebaran poster dan risalah, bagi mengelakkan lebih ramai menuruti sindiket. Papan tanda yang menyenaraikan nama-nama pesalah kes penipuan dinaikkan di Chang Keng dan akan dipinda setiap kali ada nama-nama baru ditahan, bagi menakutkan pelaku jenayah.

Bagaimanapun, sindiket penipuan ini nampaknya sudah mempunyai pelan rahsia seandainya kegiatan mereka mula diketahui.

Sistem jenayah yang sangat terancang

tangkapan sindiket penipuan

Sindiket penipuan telefon yang dijalankan di China mempunyai sejarah yang sangat panjang, kerana kebanyakan sistem penipuan yang digunakan diambil daripada sistem yang dibangunkan di antara kumpulan sindiket dari Taiwan dan juga China.

Penglibatan rakyat Taiwan dalam kes seperti ini tidak mengejutkan kerana negara itu merupakan antara negara pelopor kepada jenayah penipuan menggunakan telefon.

Salah seorang penjenayah sindiket penipuan telefon paling terkenal adalah warga Taiwan bernama Zhu Zhi Wei yang berjaya mendapatkan hasil lumayan RM6.2 setahun. 

Bermula sebagai seorang penyeludup, Zhi Wei dikatakan berjaya menjadikan dirinya orang penting sindiket sehingga diberikan tanggungjawab menjalankan operasi penipuan telefon di Vietnam. Bagaimanapun, dia berjaya diberkas dan dijatuhkan hukuman penjara 4 tahun.

Selesai hukuman, Zhi Wei kembali ke Taiwan meneruskan sindiketnya sebelum kembali ditangkap pada tahun 2017.

Sistem yang diperkenalkan Zhi Wei sangat berjaya mengayakan dirinya, di mana dia tidak perlu berada di bilik operasi jadi tidak banyak bukti mampu menyabitkan beliau sebagai dalang sebenar penipuan. Selain itu, Zhi Wei juga mampu memperolehi 60 ke 70% daripada jumlah transaksi yang diperolehi dengan selebihnya dijadikan kos operasi sindiket.

Kenapa watak Zhi Wei penting dalam kisah ini? Sistem yang dipopularkan oleh beliau dijadikan acuan oleh mana-mana sindiket yang mahu berjinak-jinak hendak cuba mengaut keuntungan dengan cara penipuan telefon. Semasa Zhi Wei, hasil siasatan pihak polis Taiwan bukan saja menemui bilik operasi milik beliau, malahan kewujudan bilik latihan di mana pekerja dilatih siap dengan guru yang memberikan tunjuk ajar.

Ketika operasi tersebut, 17 orang warga Thailand berada dalam bilik latihan milik Zhi Wei itu sedang belajar bagaimana mahu melakukan penipuan.

Kejayaan memberkas operasi ini membuka lebih banyak rahsia yang tidak diketahui pihak berkuasa selama ini. Selain daripada melatih pekerja sindiket berbahasa Mandarin dari Taiwan dan China, sindiket ini juga sudah mula melatih pekerja dari negara luar bagi memperluaskan rangkaian mereka.

Antara negara yang dikesan telah ditubuhkan bilik operasi selain di Taiwan, China dan Thailand adalah Filipina, Vietnam dan sudah pastilah Malaysia.

Mula menukar markas sindiket ke negara luar

china malaysia

Hasil daripada latihan yang telah diberikan kepada pekerja sindiket sejak beberapa tahun, sindiket penipuan kini lebih mudah memindahkan operasi mereka - selepas kerajaan China mula bertindak lebih agresif.

Ini membuatkan sindiket mula beroperasi dari luar negara, di sekitar Asia Tenggara. Salah satu markad sindiket yang berjaya dikesan adalah di sebuah pekan kecil bernama Dingras yang terletak dalam wilayah Ilocos Norte di Filipina.

Apa yang menghairankan, tidak ada seorang pun penduduk tempatan menyedari wujudnya bilik operasi yang dijadikan markas sindiket penipuan telefon yang dibuka dalam sebuah gudang, menempatkan pekerja-pekerja daripada China dan Taiwan yang telah diterbangkan khas ke daerah itu.

Modus operandi mereka serupa saja dengan taktik asal yang mereka amalkan di China dan Taiwan, namun majoriti pekerja yang dibawa tidak dibenarkan keluar daripada kawasan operasi sindiket. Ini bermakna selama beberapa bulan mereka akan hidup dalam kawasan yang telah ditetapkan, tanpa dibenarkan keluar dengan semua keperluan hidup seperti makanan, hiburan dan tempat tinggal disediakan sindiket.

Operasi ke atas gudang itu berjaya memberkas 25 orang warga China dan Taiwan yang bertugas, selepas lebih 2 tahun beroperasi.

Di negara kita, sindiket ini yang lebih dikenali dengan istilah 'Macau Scam' sudah banyak kali berjaya memerangkap orang ramai. Dalam satu serbuan pada tahun 2017, pihak PDRM berjaya menyerbu sebuah banglo yang terletak di Puchong, Selangor yang menempatkan 50 orang pekerja.

Selain menjadi tempat operasi, banglo itu turut dijadikan pusat latihan sindiket bagi melatih operator-operator penipuan yang akan dihantar ke Jepun, Kemboja, Thailand dan negara Asia lain.

Setakat ini, amat sukar untuk pihak berkuasa mana-mana negara menghapuskan terus gerakan sindiket ini kerana mereka bijak menyembunyikan tindakan mereka. Sekiranya anda pernah mendapat panggilan telefon yang sangat meyakinkan bunyinya dan datang daripada nombor yang betul tetapi pemanggil meminta anda memindahkan wang ke akaun bank lain - itu adalah kerja sindiket ini.

Mereka mempunyai kepakaran untuk menjadikan nombor telefon mereka seakan-akan nombor rasmi pihak-pihak berkuasa dan mereka juga entah bagaimana - seolah-olah mempunyai pelbagai jenis rekod dan data maklumat melibatkan informasi kita.

Ini memudahkan mereka meyakinkan kita sehingga ramai yang terpedaya.

Harus diingatkan - kebanyakan urusan rasmi melibatkan badan-badan kerajaan atau pihak berkuasa amat jarang sekali dilakukan melalui urusan telefon semata-mata.

Dalam hal ini, skeptikal dengan setiap panggilan yang datang daripada nombor yang tidak kita kenali walaupun nombornya memang ada selepas dicari - pasti akan membantu melindungi diri kita.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Phone scammers exposed : a web of deceit across the region yang diterbitkan pada 30 Mac 2019.


tags :, , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)